Apakah Yang Sedang Terjadi Di Aleppo Dan Syria Sekarang? (Bahagian 2)


…sambungan

Ketiga: Berhubung kejayaan peluang Amerika untuk membawa pihak-pihak penentang ke meja rundingan dan menghidupkan semula proses politik di Syria, hal ini ditentukan oleh fakta-fakta berikut:

1- Dari dalam Syria, terdapat peningkatan terhadap penolakan solusi damai (tajaan Amerika). Warga Syria sedar akan plot negara-negara Arab dan Turki, yang bersama dengan Amerika dan Rusia, terhadap mereka. Semakin jelas dan tanpa ragu sedikitpun bahawa negara-negara tersebut sebenarnya menentang revolusi Syria. Situasi dalam negeri ini telah memberi tekanan kepada kumpulan-kumpulan penentang untuk memperbetulkan semula perjuangan mereka setelah tercemar dengan kesetiaan kepada asing dan terpengaruh dengan sokongan kewangan yang kotor. Hal ini tampak dalam proses rundingan dan gencatan senjata serta tempoh bertenang (dari pertempuran), serta komitmen kepada garis merah (sekatan) dan arahan ko-ordinasi daripada Pusat Operasi Ketenteraan (MOC).

Kebangkitan warga Syria yang memberi tekanan kepada pihak-pihak pejuang, terjadi sebelum kempen terbaru rejim Assad dan sekutunya di timur Aleppo. Kini kebangkitan semakin meningkat dan mereka menggambarkan yang pihak yang tunduk kepada pelan damai sebagai pembelot, sehingga menyeru agar pemimpin kumpulan-kumpulan tersebut berundur. Berhadapan dengan serangan ketenteraan dahsyat ini, pihak-pihak pejuang yang berada di Aleppo telah mengambil inisiatif untuk membubarkan kumpulan masing-masing dan menubuhkan Jaysh al-Halab (Tentera Aleppo) sebagai satu pasukan. Sungguh, ini merupakan langkah yang baik dan semoga ia membawa kepada terbebasnya mereka daripada kepatuhan kepada asing dalam suasana menghadapi bahaya yang sedang mengancam sekarang, Samir Nashar, seorang anggota pakatan pembangkang Syria menjelaskan yang faktor kegagalan rundingan para penentang dengan Rusia dan Turki ialah kerana keputusan asas terletak di tangan kumpulan bersenjata yang sedang dikepung di kota Aleppo. Dia mengatakan, “Mesyuarat gagal mencapai keputusan yang konkrit kerana mereka yang terperangkap di kota Aleppo memiliki keputusan sendiri, yang bebas daripada pemimpin mereka yang berada di luar Aleppo. Oleh itu, keputusan mereka, berhubung mereka yang terkepung di dalam kota, tidak bergantung kepada sesiapa” (Russia Today, 01/12/2016).

Kumpulan bersenjata di dalam Aleppo tidak mempedulikan apa yang berlaku di luar berhubung rundingan khianat dan ancaman keras agar menyerah diri. “Seorang pegawai dalam pembangkang Syria berkata yang pejuang penentang tidak akan menyerahkan Aleppo Timur kepada tentera kerajaan, setelah Rusia menyatakan kesudiannya untuk mengadakan dialog dengan Amerika Syarikat berhubung pengunduran kesemua pejuang penentang dari kawasan tersebut, sebagaimana dilaporkan oleh agensi berita Reuters pada hari Sabtu” (AlHurra, 03/12/2016).

2- Begitulah, orang-orang yang bangkit untuk mencari permata revolusi, “Aleppo”, di bawah keadaan yang cukup merbahaya, tidak sesekali terdorong untuk pasrah dan bersetuju dengan penyelesaian politik. Namun, terdapat dorongan yang lebih besar untuk mereka membetulkan jalan kumpulan-kumpulan yang setia dengan negara-negara Arab dan Turki.

Golongan yang telah bertukar untuk menghentikan revolusi kerana (mendapat) bantuan kewangan yang mencegah mereka daripada meneruskan revolusi…sesungguhnya (hal ini) membezakan yang buruk dari yang baik…yang buruk tunduk kepada tuan-tuan mereka di Turki, Arab Saudi dan lain-lain, dan berlumba-lumba untuk memasuki proses politik di bawah tajaan Amerika beserta sekutunya dan pendukungnya, lalu terjunamlah mereka ke dalam lembah (yang dibina oleh) pihak yang berkonspirasi terhadap revolusi…adapun golongan yang baik adalah orang yang benar dalam pendiriannya; tidak tunduk kecuali kepada Allah, dan hal ini amatlah baik yang Insya Allah akan menjadikan segala kejahatan yang dihimpunkan oleh Amerika dari Iran, Rusia, Turki dan negara-negara Arab, sia-sia.

Serangan ganas ini dan kehebatan para mujahidin mengatasi rintangan di Aleppo, telah mendedahkan bukan sahaja keburukan dalam skala lokal, malah ia turut mendedahkan segala keburukan lain terutama di rantau Iran, Arab Saudi dan Turki. Iran menyumbang terhadap pembunuhan ganas, yang (tahap keganasannya) hanya berjaya dikalahkan oleh pembunuhan oleh Rusia yang menuruti rancangan Amerika. Arab Saudi pula menyumbang wang kotor dengan menyuap beberapa kumpulan untuk turut serta dalam pelbagai perjanjian khianat. Turki menggunakan maklumat yang dikelirukan sebagai senjata untuk menjalankan rancangan Amerika. Ia memekik dengan suara nyaring bahawa ia tidak akan mengecewakan Aleppo, tetapi hakikatnya ia telah mengecewakan Aleppo di hadapan semua orang yang menyaksikannya. Bahkan kakinya yang tertanam di kawasan Aleppo, tidak melindungi Aleppo, tetapi dipindahkan dari Aleppo ke kawasan yang jauh!

Kemudian Turki meninggikan lagi suaranya bahawa ia tidak akan membenarkan berlakunya Hama yang kedua, tetapi hakikatnya bukan sahaja terjadinya Hama yang kedua, malah yang ketiga, yang semuanya terjadi tanpa ia melakukan apaapa, bahkan satu jari pun tidak digerakkannya! Bila ia dilanda malu dengan situasi-situasi ini, baru-baru ini ia cuba untuk meningkatkan suara (retorik) sekali lagi. Erdogan menyatakan bahawa tujuan di sebalik Operasi Perisai Eufrat ialah “pengunduran Assad”. Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata di Istanbul, pada hari Selasa 29 November, dalam satu ucapan khusus yang ditujukan kepada Jerusalem, bahawa “Kami telah memasuki Syria dengan Free Syrian Army.” Erdogan melanjutkan, “Mengapa kami masuk? Kami masuk untuk menghentikan pemerintahan diktator Assad, yang mengganas ke atas warga Syria dengan keganasan negara. Kemasukan kami bukan untuk tujuan selain itu” (Rusia Today, 29/11/2016)

Akan tetapi belum pun gema suaranya hilang, Erdogan telah menarik kembali untuk menyenangkan Rusia yang mengebom Aleppo siang dan malam! “Presiden Erdogan menyampaikan ucapan dalam pertemuan Mehter ke-30 yang diadakan di perkarangan Presiden, “Al-Kulliyah”. Presiden Recep Tayyip Erdogan mengatakan bahawa Operasi Perisai Eufrat yang terus berlangsung di Syria yang dipimpin oleh angkatan tentera Turki tidak mensasarkan individu atau negara tertentu. “Operasi yang berlangsung sejak 24 Ogos itu mensasarkan kumpulankumpulan pengganas” (TRT Arabic, 01/12/2016).

Russia faham bahawa kenyataan Erdogan tentang pengunduran Asad adalah suatu yang kosong tanpa makna. Menteri Luar Russia memberi komen terhadap kenyataan Erdogan pada hari Khamis 01/12/2016 dengan mengatakan, “Moskow bersandar kepada aspek praktikal perjanjian yang telah dipersetujui antara kedua-dua presiden yang sedang dilaksanakan, dan bukan kepada kenyataan-kenyataan sepihak yang sering ditimbulkan” (Russia Today, 01/12/2016).

Pada 07/12/2016, semasa kunjungan Yildirim (Perdana Menteri Turki) ke Moskow, ia menyatakan dengan jelas dalam wawancara dengan agensi berita Russian Interfax, bahawa Operasi Perisai Eufrat “tidak terkait dengan apa yang berlaku di tengah-tengah kota Aleppo dan tidak ada hubungannya dengan proses pertukaran rejim Syria” (Gulf Online, 07/12/2016).

Keempat: Begitulah, Amerika berkoordinasi secara penuh dengan Russia dalam serangan-serangan brutalnya dan Amerikalah yang ada di belakang Operasi Perisai Eufrat yang sasarannya adalah menarik kumpulan-kumpulan garis-depan Aleppo ke Operasi Perisai Eufrat dan seterusnya memperlemah barisan hadapan Aleppo…Amerika jugalah yang mengatur segala rundingan kumpulan-kumpulan yang mencurigakan, dengan Russia.

Demikian juga Amerikalah yang berada di belakang mobilisasi Iran dan para pengikutnya. Amerika juga berada di sebalik halangan sampainya senjata yang efektif kepada pembangkang. Hal itu tidak ubah seperti mana laporan media massa pada 07/ 12/2016 bahawa Dewan Perwakilan Amerika telah meluluskan rang undang-undang yang membenarkan pentadbiran presiden terpilih, Donald Trump untuk mengirimkan peluru berpandu antipesawat darat ke udara, kepada kumpulan pembangkang di Syria…Akhbar The Washington Post melaporkan yang draf resolusi tersebut mencakup beberapa sekatan untuk memindahkan senjata-senjata ini” (Al-‘Arabiya, 07/12/2016).

Keputusan tersebut datang pada masa-masa kecederaan setelah Aleppo hampir hancur, dan pengiriman senjata itu diragukan akan benar-benar terjadi. Jika pun ia benar terjadi, maka itu akan menjadi senjata yang tidak berfungsi! Senjata itu tidak akan digunakan kecuali dengan izin dari musuh Islam dan musuh kaum Muslimin. Apakah tanaman berduri akan berbuah anggur?! Selanjutnya, rang undang-undang itu dipersetujui untuk tidak dilaksanakan sekarang, akan tetapi pada masa pemerintahan Trump. Trump sebelumnya telah pun mengumumkan untuk mencegah senjata dari sampai kepada pembangkang, sebelum dia mula duduk di kerusi pemerintahan! Sungguh itu merupakan penyesatan di atas penyesatan dan sungguh merupakan pendustaan yang besar.

Meskipun apa yang berlaku dan seteruk mana sekalipun Aleppo dihancurkan, ia akan bangkit kembali. Bumi Syam seluruhnya dan Aleppo khususnya akan menjadi duri beracun di tenggorok Amerika, Rusia, para pengikut serta pendukungnya. Ia akan mengganggu tidur mereka dan akan membunuh mereka dek kejahatan-kejahatan mereka. Sesungguhnya Amerika, Rusia dan sekutu-sekutu mereka tidak akan menikmati kemenangan yang mereka dakwakan. Jika mereka hanya dapat masuk ke satu negeri setelah menghancurkannya, itu hanyalah kemenangan palsu. Jika mereka tidak dapat mengalahkan para pejuang kecuali setelah para pejuang itu syahid, itu hanyalah kemenangan dalam kekalahan. Jika mereka dapat mengumpulkan peluru-peluru berpandu dan bom-bom barel yang banyak lagi memusnahkan, dan ratusan atau ribuan pasukan, namun tidak dapat menghadapi para pejuang kecuali melalui pengeboman dari udara dan kapal-kapal perang, maka itu merupakan kemenangan seorang pengecut yang takut untuk menghadapi para pejuang secara langsung. Sesungguhnya kemenangan seperti itu tidak akan bertahan lama.

Sungguh, Amerika dan Russia beserta sekutu dan pengikut mereka ingin mengulangi kejahatan-kejahatan ganas mereka, sekaligus mengikuti sejarah rakan-rakan mereka sebelumnya dari kaum Salabiyyyin (tentera Salib), Mongol dan Tatar dengan kejahatan-kejahatan yang mereka lakukan di Iraq dan Syam. Akan tetapi, mereka tidak mengambil pelajaran dari nasib yang menimpa kaum Salibiyyin, Mongol dan Tatar. Kaum-kaum tersebut telah dicampakkan oleh kaum Muslimin dari negeri mereka dan kaum Muslimin bangkit kembali. Kemuliaan Islam dan kaum Muslimin pun kembali semula. Negara Khilafah menjadi kuat kembali, sehingga kaum Muslimin berjaya membebaskan kota Hercules dan kota itu menjadi kota Islam “Istanbul”. Khilafah juga telah menghampiri Moskow dan mengetuk pintu Vienna. Sesungguhnya hari-hari itu silih berganti dan dipergilirkan, dan sungguh hari esok sangat dekat bagi orang yang menantinya.

“Dan orang-orang yang zalim itu kelak akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali” [TMQ al-Syu’ara’ (26):227].

Rabu, 08 Rabiul Awal 1438 H
07 Disember 2016 M

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment