Apakah Yang Sedang Terjadi Di Aleppo Dan Syria Sekarang? (Bahagian 1)


Sautun Nahdhah kali ini akan memaparkan soaljawab yang ditujukan kepada Hizbut Tahrir Pusat, berhubung perkembangan terkini di Aleppo dan Syria, yang dikeluarkan pada 07/12/2016:

Soalan: Turki telah meningkatkan hubungan dengan Rusia mengenai Syria bagi membuka semula rundingan penyelesaian (tajaan) Amerika Syarikat. BBC melaporkan pada 02/12/2016 yang Mevlut Cavusoglu (Menteri Luar Turki) menyatakan bahawa Turki sedang berunding dengan Rusia…demi mencapai penyelesaian krisis Syria. Presiden Recep Tayyip Erdogan membincangkan isu Syria melalui telefon dengan rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin, sekurang-kurangnya tiga kali dalam seminggu lepas. Manakala Cavusoglu bertemu Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov, di Turki pada hari Khamis untuk membincangkan subjek yang sama.

Dengan semua yang berlaku, Russia tetap memperhebat serangan brutalnya terhadap Aleppo, malah menggunakan haknya untuk memveto rang undang-undang di Majlis Keselamatan pada 05/12/2016 yang cuba menetapkan gencatan tindakan ketenteraan selama beberapa hari di Aleppo. Walaupun Rusia bertindak sekejam itu, persoalannya, apakah yang mendesak Turki, memasuki perbincangan ini? Apakah sebenarnya yang sedang berlaku di Aleppo dan Syria sekarang? JazakAllah khair.

Jawapan: Untuk mendapatkan jawapan yang jelas, kita perlu melihat semula hal-hal berikut:

Pertama: Sejak lebih dua bulan lepas, Amerika kelihatan seolah-olah meningkatkan suasana krisis dengan Rusia. Setidaknya, hal itu terlihat berdasarkan kritikan hebat Eropah terhadap Rusia di atas peningkatan serangan udara dan kebrutalan Rusia ke atas Aleppo, serta kuatnya penolakan dari dalam Syria sendiri terhadap peranan AS, yang mencapai kemuncaknya apabila kumpulan-kumpulan penentang enggan mengambil bahagian dalam usaha Turki yang diberi nama Operasi Perisai Eufrat (Operation Euphrates Shield) disebabkan kehadiran Tentera Khas Amerika Syarikat di dalam operasi tersebut. Amerika kemudian sedar bahawa kempen ketenteraan yang lebih ganas perlu dilakukan sebagai pra-syarat untuk menundukkan warga Syria dan kumpulan revolusioner untuk kembali ke meja rundingan yang diharap boleh mencapai kejayaan. Sejak itu, Amerika Syarikat melakukan rencana dalam pelbagai aspek:

1- Amerika membuat Rusia mempercepatkan penghantaran angkatan tentera pembunuh yang menyaksikan kehadiran “Kuznetsov”, satu-satunya pesawat-tempur pengangkut peluru berpandu jarak khas Rusia, ke pantai Syria pada 01/11/2016. Pesawat tersebut dengan segera memulakan kempen pengukuran ke atas sasaran di Syria, terutamanya Aleppo. Ini adalah tambahan kepada pesawat dan peralatan perang Rusia di Syria, khasnya di Lapangan Terbang Tentera Humaimim.

2- Amerika membawa masuk lebih banyak Tentera Khas Iran dan sekutu-sekutu mereka ke Aleppo.

3- Amerika menjinakkan kebanyakan kumpulan lain di Syria melalui Arab Saudi, Turki dan lain-lain, yang memiliki pengaruh kewangan terhadap pasukan-pasukan yang bertelagah di Syria. Hal ini memperlihatkan kebimbangan Amerika terhadap runtuhnya peluang gencatan senjata dan perbincangan. Apa yang berlaku seterusnya menyaksikan adegan bas yang sarat dengan pihak revolusioner dan keluarga mereka menuju Idlib. Semua ini untuk memberi ruang kepada rejim bagi menghantar pasukan bantuan ke Aleppo melalui kumpulan-kumpulan yang dijinakkan itu. Ditambah dengan usaha negara-negara tersebut untuk menghidupkan api fitnah di dalam Aleppo itu sendiri, kita melihat berlakunya pertembungan antara sesama para pejuang yang dijinakkan itu, namun alhamdulillah mereka berjaya dihalang..

4- Sebagai tambahan kepada ini adalah kempen Operasi Perisai Eufrat yang berterusan oleh Erdogan dan usahanya untuk menarik lebih ramai puak militan yang setia kepada Turki ke dalam peperangan Al-Bab selepas Jarablos, yang semua ini dilakukan dalam usaha untuk melemahkan pasukan baris-depan sebenar di Aleppo, yang digantung harapan (oleh banyak pihak) untuk menghilangkan kepungan ke atas bandar Aleppo dan menyelamatkannya…Laporan di lapangan menyebut yang pasukan penentang Syria telah kehilangan satu pertiga daripada kawasan yang mereka kuasai di timur Aleppo, disebabkan pengunduran sejumlah besar pejuang dari medan pertempuran di Aleppo untuk menyokong tentera Turki dalam pertempuran menentang Daesh (ISIS) dan kumpulan Kurdish dalam operasi Operasi Perisai Eufrat”. Pengarah Pemerhati Syria Bagi Hak Asasi Manusia, Rami Abdul Rahman, dalam kenyataannya kepada Sky News Saudi pada hari Isnin berkata, “Arahan Turki sampai kepada pejuang setia dalam Free (Syrian) Army untuk bergabung dalam pertempuran melawan Daesh dalam Operasi Perisai Eufrat” yang dilancarkan oleh Ankara terhadap Daesh dan Kurds, sebulan sebelumnya, kerana Ankara bimbang akan bertambahnya kawalan mereka (Daesh dan Kurds) ke atas kawasan sempadan Turki. Abdul Rahman berkata, campur tangan Turki menjadi kunci dan penyebab penting kepada kekalahan pasukan penentang, kerana Turki menggunakan puak yang bergabung dengan Free (Syrian) Army ke dalam pertempuran mereka (Turki) sendiri, yang menyebabkan barisan depan kosong daripada pejuang penentang yang sepatutnya menghadapi tentera rejim Syria dan sekutu-sekutunya (Sky News Arabia, 28/11/2016).

Kedua: Tekanan yang sangat kuat dihunjamkan ke atas Aleppo dan revolusioner, dengan tentera rejim menawan banyak kawasan bebas daripada revolusioner, lalu kawasan mereka semakin terhad dan kecil. Serangan berat terus berlangsung, yang sedikit demi sedikit memberi ancaman kepada kawasan-kawasan lain. Di sini, dengan seruan antarabangsa agar melakukan gencatan senjata, Amerika mendapati bahawa peluang mungkin wujud untuk menghidupkan semula proses politik untuk penyelesaian Syria, di bawah persekitaran baru yang memerlukan tindakan (politik) segera yang tidak boleh ditangguhkan, dan hal ini dibuktikan oleh fakta-fakta berikut:

1- Amerika tahu bahawa dengan menawan kawasan-kawasan penting di timur Aleppo bukan merupakan penamat kepada revolusi Syria. Usaha Amerika untuk menghapuskan revolusioner di pelbagai belahan Syria adalah umpama mimpi yang tak kesampaian. Amerika juga tahu bahawa tahun-tahun revolusi di Syria telah menciptakan suatu suasana Islami yang membahayakannya. Oleh itu, Amerika bergegas untuk menghapuskan suasana ini. Laluan politik lebih cepat untuk menghapuskannya berbanding mesin ketenteraan yang hanya mempertingkat dan menyemarakkan lagi suasana tersebut. Jadi Amerika sebenarnya telah berputus asa, kerana lebih banyak pembunuhan dan kemusnahan akan hanya membawa kepada penguasaan rakyat di Syria. Selama bertahun-tahun Amerika menunggu peluang untuk penyelesaian politik berdasarkan agendanya.

2- Pentadbiran Obama sekarang akan keluar daripada White House pada 20/1/2017. Obama masih mengimpikan untuk melangkah keluar dengan satu pencapaian yang akan diingati untuk pentadbiran ini. Sebaik sahaja tentera rejim Syria memasuki kawasan Aleppo, Rusia telah menyatakan bahawa Setiausaha Negara AS, John Kerry, berusaha bermati-matian untuk membuat perjanjian di Aleppo. Rusia telah melaporkan pada 28/11/2016 yang “Yuri Ushakov, pembantu kepada presiden Rusia, berkata pada Isnin 28 November, ‘Jika anda tanya tentang usaha Kerry, usahanya sungguh kuat.’ Ushakov menambah, ‘Kita boleh gambarkan usaha ini sebagai suatu yang luar biasa, melihat kepada komunikasi telefon yang belum pernah berlaku seperti ini antara Amerika Syarikat dan menteri-menteri luar Rusia. Tumpuan hanya diberikan kepada satu topik iaitu Syria.’”

3- Tugas dan latihan yang diberikan oleh Amerika kepada Turki untuk melaksanakan peranan politik yang penting bagi pihaknya, sampai ke tahap seolah-olah hubungan dua hala Kerry-Lavrov digantikan dengan hubungan dua hala Turki-Rusia. Hal ini menjelaskan mengenai komunikasi intensif Turki di sepanjang tempoh ini sehingga kejayaan menawan kawasan-kawasan di timur Aleppo, dan menjelaskan mengenai peningkatan drastik mesyuarat antara pegawai-pegawai Turki dan rakan-rakan sejawat mereka dari Rusia serta lawatan oleh pegawai-pegawai Turki ke Lebanon dan Iran. Lawatan dan mesyuarat yang dilakukan oleh Turki sungguh banyak dan serius serta menarik perhatian, seperti berikut:

(i) Presiden Iran, Hassan Rohani berbincang pada hari Sabtu, 26/ 11/2016 di Tehran dengan Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu mengenai krisis Syria dan kes-kes serantau yang lain, sebagai tambahan kepada hubungan dua hala antara kedua-dua negara. Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA) melaporkan bahawa Menteri Luar Turki akan meneruskan rundingan di Tehran dengan rakan sejawatnya dari Iran, Mohammad Javad Zarif (Al Jazeera Net, 26/11/2016).

(ii) Agensi Anatolia melaporkan: Menteri Luar Turki, Cavusoglu berbincang dengan Riad Hijab akan keperluan untuk gencatan senjata segera dan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Aleppo, bersama-sama dengan usaha untuk mencari penyelesaian politik kepada konflik di negara ini (Al-Jazeera Net 30/11/2016).

(iii) Lawatan Lavrov ke Turki pada 30/11/2016: “Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov mengumumkan bahawa perjanjian Rusia-Turki mengenai Syria, di tahap tentera, diplomatik dan politik, sedang berjalan…” (Russia Today, 01/12/2016). Lavrov menambah, “Rusia dan Turki akan meneruskan perbincangan untuk mencari penyelesaian kepada krisis Syria secepat mungkin” (Al Jazeera Net, 01/12/2016).

(iv) Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan membincangkan krisis Syria melalui telefon dengan rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin sekurang-kurangnya tiga kali dalam seminggu yang lepas (BBC, 02/12/2016).

(v) Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu pada sidang akhbar di bandar Alanya, Turki, dengan ditemani oleh rakan sejawatnya dari Rusia, Sergei Lavrov, berkata, “Kami bersetuju mengenai keperluan untuk gencatan senjata untuk menamatkan tragedi tersebut” (BBC Arabic, 01/12/2016). Beliau berkata, “Turki sedang berunding dengan Rusia dan Iran, sekutu Assad dan juga dengan Syria dan Lebanon, untuk mencapai penyelesaian kepada krisis Syria” (BBC, 02/12/2016).

(vi) Sputnik melaporkan kenyataan Samir Nashar, salah seorang ahli pakatan pembangkang, pada Khamis 1 Disember, “Telah ada mesyuarat selama tiga hari berhubung usaha-usaha yang begitu mendalam. Puak-puak pejuang yang bermesyuarat merupakan puak-puak yang Turki boleh mengenakan pengaruh ke atas mereka, tetapi mesyuarat gagal mengeluarkan keputusan yang konkrit” (Russia Today, 01/12/2016). Akhbar The Financial Times melaporkan pada hari Khamis 1 Disember, bahawa beberapa pemimpin pembangkang Syria “sedang melakukan rundingan rahsia dengan pegawai-pegawai Rusia di bawah inisiatif Turki untuk menamatkan pertempuran yang sedang terjadi di Aleppo”. Akhbar itu menambah bahawa “empat orang anggota pembangkang yang berada di utara Syria, memberitahu bahawa Turki menaja perbincangan dengan pegawai-pegawai Rusia di ibu negara Ankara” (BBC Arabic, 01/12/2016). Sebagai kumpulan garis-depan Islam, gerakan Islam Ahrar Ash-Sham mengetuai rundingan dengan pegawai-pegawai Rusia untuk mencapai gencatan senjata di Aleppo, yang membawa kepada pemergian pejuang garis-depan, Fath Ash-Sham, melalui Alcastelo, dan membuka jalan untuk memindahkan mangsa yang cedera dan sakit dari kawasan timur di bawah pengawasan pasukan dari PBB. Menurut sumber “Al-Mudun”, pemergian Fath Ash-Sham dari Aleppo akan melalui pelan yang dibuat oleh Turki; Ankara kemudian akan mengambil alih isu penyediaan bantuan ke kawasan-kawasan yang dikepung, selepas itu (Al-Mudun, 03/12/2016).

(vii) Berhubung kepuasan hati Amerika terhadap usaha-usaha Turki, Jabatan Negara Amerika Syarikat mengalu-alukan kesemua rundingan tersebut. Dalam satu taklimat media, Mark Toner, Jurucakap Kementerian berkata pada Khamis 1 Disember, “Kami telah melihat laporan yang Rusia sedang berunding dengan pemberontak Syria…” Jurucakap itu menambah, “Reaksi kami adalah, kami bersedia untuk mengalu-alukan semua usaha ikhlas yang bertujuan meringankan penderitaan rakyat Syria terutama di Aleppo” (Russia Today, 01/12/2016). Sesungguhnya Amerika berada di belakang apa yang sedang berlaku dan secara khususnya Amerika senada dengan Rusia mengenai perkembangan rundingan dan penyelesaian. Menteri Luar Rusia mendedahkan pada hari Sabtu 3 Disember bahawa rakan sejawatnya dari Amerika, John Kerry, menyampaikan cadangan mengenai penyelesaian itu di Aleppo bahawa “ia adalah selari dengan apa yang Rusia sedang pegang” (Russia Today, 03/12/2016).

Dalam satu sidang media, Lavrov berkata yang Rusia dan Amerika Syarikat akan memulakan rundingan mengenai penarikan balik tersebut di Geneva sama ada petang esok atau pagi Rabu, sambil menambah bahawa Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry telah menghantar cadangan-cadangannya mengenai pelan dan tempoh penarikan balik (Dar Al-Hayat, 05/12/2016). Dia menegaskan bahawa pihak Rusia bersedia untuk memulakan rundingan bermula Isnin 5 Disember, tetapi Washington telah meminta agar mesyuarat pakar-pakar ditangguhkan sementara waktu. Rundingan dijangka bermula pada petang Selasa atau Rabu pagi (Russia Today, 05/12/ 2016). Oleh yang demikian, segala usaha Turki selama ini dan meluasnya usaha itu, tidak memungkinkan Turki bertindak sendiri dalam hal ini tanpa ada orang di belakangnya. Dengan pasti Amerika adalah pihak yang menggerakkan Turki, selangkah demi selangkah. Amerikalah yang menguruskan rundingan dengan Rusia, menurut pelan Amerika, yang diserahkan kepada Rusia, ketika pentadbiran Obama menghitung hari demi hari dengan penuh teliti dan harapan, untuk meraih pencapaian, walaupun ke atas Aleppo sahaja, dalam tempoh berbaki beberapa minggu sahaja lagi untuk pentadbiran itu.

Bersambung..

Sumber: Hizbut Tahrir Malaysia
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment