Ekonomi Islam, Ubat Derita Wanita


Muqaddimah

Sistem Kapitalisme yang berlandaskan pada ekonomi pasaran bebas dan model kewangan riba telah menjerumuskan wanita kepada kemiskinan dan eksploitasi. Kapitalisme mengeksploitasi wanita secara fizikal, kewangan mahupun maruahnya atas nama pemerkasaan ekonomi. Padahal Allah SWT tidak pernah menuntut wanita untuk memikul tanggungjawab berat ini yang hanya mampu digalas oleh negara. Allah SWT telah menyediakan model ekonomi terunggul bagi manusia. Ia telah terbukti menjamin kepentingan semua pihak, malah bagi seluruh alam.

Kedudukan Wanita Dalam Islam

Kesejahteraaan dalam kehidupan setiap individu rakyat termasuklah golongan wanita merupakan tanggungjawab pemerintah/pemimpin. Rasulullah SAW menekankan sifat penyayang mesti ada dalam diri pemimpin. Sabda Baginda kepada al-Aqra bin Haris,

“Aku tidak akan mengangkat engkau sebagai pemimpin apabila Allah telah mencabut rasa kasih sayang daripada hatimu. Sesiapa yang tidak menyayangi, tidak disayangi” [Muttafaq alaih].

Dalam skop keluarga pula, Baginda juga menunjukkan teladan. Baginda bersabda,
“Lelaki yang terbaik adalah yang paling baik kepada isterinya dan aku adalah yang paling baik kepada isteriku. Tiada seorang yang memuliakan wanita, melainkan dia seorang yang mulia. Tidak ada yang menghinakan wanita melainkan orang yang rendah pekertinya” [HR Abu Daud].

Islam mengajarkan bahawa syurga di bawah tapak kaki ibu, sehingga kebajikan ibu diberi perhatian besar. Dalam Islam juga, anak perempuan tidak boleh diabaikan. Nabi SAW bersabda,

“Sesiapa diuji daripada anak-anak perempuannya kemudian dia berbuat baik kepada mereka, nescaya mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka” [HR Muslim].

“Sesiapa menaungi dua anak perempuan sehingga dewasa maka dia akan datang pada hari kiamat bersamaku”. Anas bin Malik berkata; Nabi SAW menggabungkan jari-jari Baginda” [HR Muslim].

Islam mengajarkan jika seseorang balik ke rumah dengan membawa hadiah, hendaklah mendahulukan anak perempuan. Nabi SAW pernah menolong seorang hamba perempuan yang kehilangan wang majikannya, Baginda menggantikan wangnya dan menghantarkan hamba itu ke rumahnya. Akhirnya hamba itu dibebaskan oleh tuannya. Rasulullah telah memberi contoh sikap mulia terhadap wanita, sekalipun hanya hamba sahaya.

Bagaimanakah Syariat Islam Menjamin Kesejahteraan Wanita?

Syariah Islam membezakan ilmu ekonomi dan sistem ekonomi. Ilmu ekonomi hanya berhubungan dengan pengeluaran barang dan perkhidmatan, sedangkan sistem ekonomi berhubungan dengan pemenuhan keperluan setiap individu serta usaha mencapai kemakmuran. Berbeza dengan ilmu ekonomi, sistem ekonomi Islam digali daripada dalil sehingga pelaksanaannya merupakan bentuk ketaatan kepada Allah SWT.

Manakala, politik ekonomi Islam pula adalah: (1) menjamin terpenuhinya keperluan asas (makanan, pakaian, tempat tinggal) setiap orang; (2) membuka peluang kepada setiap orang untuk memenuhi keperluan sekunder dan tertiarnya (lebih tinggi daripada keperluan asas) sesuai kemampuannya sebagai individu yang hidup dalam masyarakat yang memiliki cara hidup tertentu. Ini diwujudkan melalui polisi-polisi ekonomi, termasuk belanjawan. Bagi menjamin kesejahteraaan ekonomi bagi wanita khususnya, polisi-polisi berikut akan dilaksanakan:

1) Islam menjamin pemenuhan keperluan asas setiap orang. Caranya adalah: Pertama, mewajibkan ketua keluarga bekerja (TMQ 2: 233) demi memenuhi keperluan diri dan keluarganya. Isteri boleh mengambil duit suaminya untuk keperluan diri dan anak-anaknya.


Daripada Aisyah RA, katanya: Isteri Abu Sufyan (Hindun binti Utbah) menghadap Rasulullah SAW, lalu berkata: "Wahai Rasulullah! Sesungguhnya Abu Sufyan itu seorang lelaki yang kedekut. Dia tidak memberi nafkah kepadaku dan kepada anakku yang mencukupi, kecuali apa yang aku ambil daripada hartanya tanpa pengetahuannya. Apakah aku berdosa atas perbuatanku itu?" Rasulullah SAW bersabda: "Ambillah daripada hartanya apa yang mencukupi keperluanmu dan anakmu" [Riwayat An-Nasaie dalam Kitab Sunannya].

Kedua, mewajibkan waris dan saudara mara yang mampu untuk memberi nafkah yang kekurangan (TMQ 2: 233). Negara wajib memastikan mereka memenuhi tanggungjawab ini. Ketiga, jika mereka tiada atau tidak mampu menanggung nafkahnya, ia akan ditanggung oleh negara (Baitul Mal). Keempat, jika Baitul Mal ketiadaan harta, maka kewajipan itu beralih kepada kaum Muslimin. Mereka secara individu membantu orang-orang miskin atau negara memungut dharibah (cukai) daripada orang-orang kaya untuk mencukupi keperluan orang miskin. Apabila tidak diperlukan lagi, pungutan cukai akan dihentikan.

Jika suami menghentikan nafkah atau meninggalkan isteri, maka isteri boleh meminta cerai untuk berkahwin dengan orang lain atau kembalilah kepada ayahnya. Setelah suami syahid dalam perang Uhud, Sayyidah Hafshah kembali kepada ayahnya, Umar bin Khattab. Setelah bercerai dengan suami, Ruqayyah dan Ummu Kulsum kembali kepada Rasulullah SAW. Jika ayah tidak berkemampuan, pemerintah mesti membantu janda ini agar boleh berkahwin lagi ataupun mendapat bantuan dari Baitul Mal. Ketika Fatimah binti Qais diceraikan oleh suaminya, Rasulullah memberi tempat kepadanya untuk menghabiskan masa iddahnya, kemudian menikahkannya dengan Usamah bin Zaid. Ketika Ummu Aiman diceraikan suaminya, Rasulullah SAW menawarkan kepada para sahabat “Sesiapa ingin masuk syurga, nikahilah Ummu Aiman”

2) Negara pula wajib menciptakan lapangan kerja bagi rakyatnya supaya mereka dapat memenuhi kewajipan memberikan nafkah.

3) Negara wajib menyediakan kemudahan terbaik secara percuma dalam perkhidmatan yang menjadi keperluan sekunder manusia iaitu kesihatan, pendidikan dan keselamatan.

4) Hukum asal bagi seorang wanita adalah berkewajipan sebagai ibu dan pengatur rumah tangga. Khilafah akan memastikan kaum wanita mampu menjalankan tugas ini kerana masa depan negara terletak pada kualiti sumber manusia. Nafkah wanita menjadi kewajipan walinya agar wanita boleh menumpukan kepada tugas keibuannya.

5) Wanita tidak boleh dipaksa bekerja sehingga mengorbankan syariat seperti jilbab, solat, bekerja malam, bertabarruj, bersafar sehari semalam tanpa mahram dan sebagainya. Jika wanita memilih untuk bekerja tanpa mengabaikan tugas keibuannya, maka pendapatannya menjadi miliknya.

6) Wanita mempunyai hak ke atas hartanya. Seorang suami tidak boleh menggunakan harta isteri tanpa izinnya. Apa-apa pemberian suaminya menjadi milik isteri dan suami dilarang mengambilnya semula. Wanita juga berhak mendapat harta pusaka. Seorang wanita berhak mewarisi harta daripada suami dan anak lelakinya. Apabila suami menceraikan isterinya, dia tidak berhak mengambil apa yang telah diberikan termasuklah mahar. Jika berlaku pergaduhan, suami tidak boleh meminta isterinya keluar, kerana rumah juga menjadi hak isteri. Apabila kedua-duanya berpisah, pengasuhan anak kecil adalah hak isteri dan suami tetap wajib menyediakan keperluan anak-anaknya.

7) Pekerjaan yang mengeksploitasi kecantikan wanita atau berunsur tarikan seksual adalah haram. Dengan cara ini maka suasana bekerja lebih selamat bagi wanita.

8) Negara mendorong amalan membantu golongan yang lemah. Nabi SAW bersabda,

“Aku ingatkan kepada kalian tentang hak dua orang yang lemah, iaitu anak yatim dan kaum wanita” [HR Ahmad, Ibn Majah dan al Hakim].

“Orang yang membantu janda dan orang miskin umpama pejuang di jalan Allah atau orang yang berqiyamullail sepanjang malam dan puasa sepanjang siang” [HR Bukhari].

“Aku dan orang yang menanggung anak yatim berada di syurga seperti ini sambil Baginda memberi isyarat dengan jari telunjuk dan jari tengah serta merenggangkan sedikit antara kedua jarinya” [HR Bukhari].

Khatimah

Ketika krisis ekonomi global semakin menghangat, sudah tiba masanya kita meninjau dengan lebih mendalam tentang sistem ekonomi Islam yang mampu menjamin kesejahteraaan ekonomi bagi wanita. Sistem Kapitalisme makin menampakkan sisi gelapnya, umpama racun yang membunuh kemuliaan manusia, termasuklah kaum wanita. Dunia perlu kembali kepada keadilan ekonomi Islam agar kesejahteraan dan ketenteraman kembali memenuhi alam. Tiada pilihan lain selain kita mengerahkan segenap usaha dalam mengembalikan Daulah Khilafah yang akan menerapkan sistem Islam.
Wallahhu’alam..

Oleh: Ustazah Nurul Ilmi (Aktivis MHTM)

Sumber: 
4. As-Siyâsah al-Iqtishâdiyah al-Mutslâ (Politik Ekonomi Ideal), Abdurahman al-Maliki
5. Amin al Anshar; 1000 jalan ke syurga; Penerbit Ziyad Book Surakarta, 2008
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment