Jawapan Pertanyaan Seputar Hukum-Hukum Terkait Jual Beli

بسم الله الرحمن الرحيم


Rangkaian Jawapan Asy-Syeikh Al-‘Alim Atha’ Bin Khalil Abu Ar-Rasytah Amir Hizbut Tahrir Atas Pertanyaan Di Akaun Facebook Beliau

Jawapan Pertanyaan Seputar Hukum-Hukum Berkaitan Jual Beli

Kepada Abu Ali

Pertanyaan:

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Kita mengetahui bahawa tidak boleh menjual emas dengan perak atau daripada yang berbeza jenis kecuali dengan serah terima tunai dan tidak boleh berhutang. Akan tetapi kadang kala kita membeli garam secara hutang atau roti secara hutang. Apakah urusan ini haram atau bagaimana? Saya mohon penjelasan dan semoga keberkahan tercurah kepada Anda.

Saudaramu Abu Ali, Palestin.

Jawapan:

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

1. Rasul SAW bersabda:

اَلذَّهَبُ بِالذَّهَبِ، وَالْفِضَّةُ بِالْفِضَّةِ، وَالْبُرُّ باِلْبُرِّ، وَالشَّعِيْرُ بِالشَعِيْرِ، وَالتَّمْرُ بِالتَّمْرِ، وَالْمِلْحُ بِالْمِلْحِ مِثْلاً بِمِثْلٍ سَوَاءً بِسَوَاءٍ يَداً بِيَدٍ. فَإِذَا اِخْتَلَفَتْ هَذِهِ اْلأَصْنَافُ فَبِيْعُوْا كَيْفَ شِئْتُمْ إِذَا كَانَ يَداً بِيَدٍ

“Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, sya’ir (gandum yang lebih rendah kualitinya) dengan sya’ir, kurma dengan kurma dan garam dengan garam, pertukarannya mesti sebanding, sama dan tunai. Jika berbeza jenis, maka lakukanlah jual beli sesuka kalian selama ia dilakukan secara tunai" [HR Al-Bukhari dan Muslim daripada jalur Ubadah bin ash-Shamit RA].

Nas tersebut jelas mengatakan apabila berbeza jenisnya, maka jual belinya boleh dilakukan sesuka kalian. Ertinya tidak disyaratkan perlu sebanding, namun yang disyaratkan adalah serah terima tunai. Lafazh al-ashnâf (jenis-jenis) dinyatakan secara umum mencakupi semua jenis barang ribawi iaitu enam jenis dan tidak dikecualikan daripadanya kecuali dengan nas. Disebabkan tidak ada nas, maka hukum yang ada adalah bolehnya gandum dengan sya’ir atau gandum dengan emas, atau sya’ir dengan perak, atau kurma dengan garam, atau kurma dengan emas atau garam dengan perak dan seterusnya. Walau bagaimanapun bezanya nilai pertukaran dan harganya perlu dilakukan secara tunai dan bukan secara hutang (kredit). Sebagaimana hukum yang berlaku atas emas dan perak, begitu juga yang berlaku atas wang kertas dengan berdasarkan ‘illat (sifat kewangan) iaitu penggunaannya sebagai harga dan upah.

2. Terdapat pengecualian (atas kewajipan serah terima tunai dalam jual beli barang ribawi) dalam keadaan rahn (cagaran) pada pembelian jenis-jenis barang ribawi (gandum, sya’ir, garam, kurma) dengan wang. Hal ini sebagaimana pernyataan hadis Muslim daripada Aisyah RA:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «اشْتَرَى مِنْ يَهُودِيٍّ طَعَامًا إِلَى أَجَلٍ، وَرَهَنَهُ دِرْعًا لَهُ مِنْ حَدِيدٍ»

“Bahawa Rasulullah SAW membeli daripada orang Yahudi makanan sampai tempoh tertentu dan Baginda menjadikan baju besi milik Baginda sebagai cagaran”

Ertinya, Rasul SAW membeli makanan secara hutang akan tetapi disertai cagaran. Makanan mereka pada waktu itu adalah jenis-jenis barang ribawi. Seperti yang dinyatakan di dalam hadis:

«اَلطَّعَامُ بِالطَّعَامِ مِثْلاً بِمِثْلٍ وَكَانَ طَعَامُنَا يَوْمَئِذٍ الشَّعِيْرُ»

“Makanan dengan makanan perlu sebanding dan makanan kami pada waktu itu adalah sya’ir” [HR Ahmad dan Muslim dari jalur Mu’ammar bin Abdullah].

Atas dasar itu, boleh menjual jenis-jenis barang ribawi yang empat secara hutang (kredit), jika disertai cagaran sesuatu yang diserahkan kepada penjual sehingga dilangsaikan pembayaran barangannya.

3. Jika antara pemberi hutang dan orang yang berhutang saling percaya satu sama lain, maka tidak perlu cagaran. Dalilnya adalah firman Allah SWT:

وَإِنْ كُنْتُمْ عَلَى سَفَرٍ وَلَمْ تَجِدُوا كَاتِبًا فَرِهَانٌ مَقْبُوضَةٌ فَإِنْ أَمِنَ بَعْضُكُمْ بَعْضًا فَلْيُؤَدِّ الَّذِي اؤْتُمِنَ أَمَانَتَهُ وَلْيَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ

“Jika kamu dalam perjalanan (dan bermu’amalah secara hutang) sedangkan kamu tidak memperoleh seorang penulis, maka hendaklah ada barang cagaran yang dipegang (oleh yang memberi hutang). Akan tetapi jika sebahagian kamu mempercayai sebahagian yang lain, maka hendaklah yang dipercayai itu menunaikan amanatnya (hutangnya) dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah Tuhannya” [TMQ Al-Baqarah (2): 283].

Ayat yang mulia ini memberi pengertian bahawa cagaran pada hutang sepanjang tempoh perjalanan tidak diperlukan jika orang yang berhutang dan yang memberi hutang saling percaya satu sama lain. Hukum ini juga terkena pada pembelian secara hutang atas empat jenis barang ribawi iaitu gandum, sya’ir, kurma dan garam”. Iaitu sebagaimana yang Allah firmankan:

فَإِنْ أَمِنَ بَعْضُكُمْ بَعْضًا فَلْيُؤَدِّ الَّذِي اؤْتُمِنَ أَمَانَتَهُ

“Akan tetapi jika sebahagian kamu mempercayai sebahagian yang lain, maka hendaklah yang dipercayai itu menunaikan amanatnya (hutangnya)” [TMQ Al-Baqarah (2): 283].

Dalalahnya jelas bahawa cagaran pada keadaan seperti ini boleh untuk tidak dilaksanakan.

4. Atas dasar itu, maka boleh menjual empat jenis barang ribawi iaitu gandum, sya’ir, kurma dan garam dengan wang secara hutang sama ada disertai cagaran untuk melunasi hutang atau tanpa cagaran jika saling mempercayai satu sama lain. Oleh kerana hal ini memerlukan pembuktian dan kepercayaan, hendaknya pemberi pinjaman dan peminjam saling mengenali dengan baik dan percaya satu sama lain. Hal ini tidak selalu dilaksanakan. Oleh yang demikian, agar seorang Muslim tidak mendekati yang haram, maka yang lebih afdhal (baik) hendaknya jenis-jenis barang ribawi ini tidak dijual secara hutang kecuali percaya dan yakin satu sama lain. Jika penjual dan pembeli yakin dengan hal itu, maka penjualan jenis-jenis ini secara hutang adalah boleh. Ertinya garam yang anda tanyakan tentang penjualannya secara hutang adalah boleh jika terlaksana ayat yang mulia:

فَإِنْ أَمِنَ بَعْضُكُمْ بَعْضًا

“Akan tetapi jika sebahagian kamu mempercayai sebahagian yang lain” [TMQ Al-Baqarah (2): 283].

5. Perlu diketahui, telah dinyatakan di dalam Syarh Shahîh al-Bukhârî karya Ibn Baththal pada bab Syirâ’ ath-tha’âm ilâ ajalin (jual beli makanan sampai tempoh tertentu), “Tidak ada perbezaan pendapat di antara ahlu al-‘ilmi bahawa boleh menjual makanan dengan harga yang jelas sampai tempoh yang jelas”.

Dinyatakan di buku al-Fiqh ‘alâ al-Madzâhib al-Arba’ah karya al-Jazairi tentang penjualan jenis-jenis barang ribawi, “Adapun jika yang berurus niaga satu pihak berupa wang dan yang lain seperti makanan, maka boleh dalamnya ada penundaan”.

Juga dinyatakan di al-Mughni oleh Ibn Qudamah dan beliau membicarakan tentang pengharaman jual beli barang-barang ribawi antara satu dengan yang lain secara hutang (kredit)… Ibn Qudamah berkata, “Berbeza jika dijual dengan dirham atau (mata wang) lainnya dengan barang yang ditimbang secara tempoh (hutang), maka keperluan menuntut yang demikian”.

Saudaramu,
Atha’ bin Khalil Abu Ar-Rasytah
22 Syawal 1434 H
29 Ogos 2013 M

Sumber: http://www.hizb-ut-tahrir.info/info/index.php/contents/entry_28682
https://hizbut-tahrir.or.id/2013/09/07/jawaban-pertanyaan-seputar-hukum-hukum-terkait-jual-beli/


SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment