Kerosakan Sistem Ekonomi Kapitalis, Hanya Islamlah Satu-Satunya Jalan Penyelesaian

Muqaddimah

Sejarah telah membuktikan bahawa penerapan sistem ekonomi kapitalis akan menyebabkan munculnya kegoncangan demi kegoncangan dalam ekonomi. Ia akan dihadapi oleh dunia dalam sela masa tertentu secara berkala sebagaimana yang dijelaskan oleh Dr. Thahir Abdul Muhsin Sulaiman dalam bukunya Ilajul Musykilah al-Iqtishadiyah bi al-Islam, yang menyebut krisis ekonomi dalam sistem Kapitalisme adalah bersifat ‘siklik’ (kitaran). Ertinya, pertumbuhan ekonomi yang terjadi hanyalah putaran menuju puncak untuk kemudian jatuh semula ke lembah krisis dan begitulah seterusnya. Krisis ekonomi bersifat ‘siklik’ ini benar-benar terjadi di seluruh dunia, hanya sahaja kala putarannya berbeza-beza. Bagi negara-negara maju seperti AS, Eropah dan Jepun kala putarannya adalah sekitar 25 tahun manakala negara-negara dunia ketiga seperti Malaysia, Thailand dan seangkatan dengannya biasanya sekitar 7-10 tahun.

Kesalahan Asas Ekonomi Kapitalis

Sistem ekonomi kapitalis bersifat rapuh dan self-destructive atau bermaksud menghancurkan diri sendiri. Inilah realiti wajah daripada sistem yang terbit daripada akidah sekular yang pasti tidak akan mampu menyelesaikan permasalahan manusia, malah tambah menimbulkan pelbagai masalah seperti kemiskinan, jurang yang besar di antara golongan kaya dan miskin, bahkan perang dan penindasan di mana-mana. Antara kesalahan asas sistem ekonomi kapitalis adalah seperti di bawah:

1. Memandang kelangkaan (scarcity) sebagai masalah utama ekonomi:
Menurut sistem ekonomi kapitalis, masalah ekonomi berpunca daripada kelangkaan (keterbatasan, scarcity) sumber-sumber ekonomi untuk memenuhi keperluan manusia yang dianggap tidak terbatas (beraneka ragam dan kuantiti yang semakin meningkat disebabkan oleh peningkatan populasi manusia). Maka, mereka membuat kesimpulan bahawa cara yang paling ideal untuk mengagihkan kekayaan kepada masyarakat adalah dengan meningkatkan penghasilan sumber-sumber ekonomi sebanyak-banyaknya. Fokus negara adalah untuk menambahkan kekayaan secara menyeluruh. Kesejahteraan negara diukur secara makro melalui pertumbuhan ekonomi negara, KDNK atau KNK.

Ringkasnya, jika pendapatan per kapita di dalam sesebuah negara meningkat, maka ekonomi di negara itu dikatakan baik. Walhal hakikatnya kekayaan negara mungkin hanya dimiliki oleh 20% penduduk manakala 80% lagi hidup melarat. Ini kerana penanda pertumbuhan ekonomi yang digunakan itu tidak dapat menggambarkan (i) siapa yang terlibat dalam penghasilan kekayaan tersebut; adakah hanya sebilangan pemodal kaya atau jutaan rakyat miskin; (ii) bagaimana cara pengagihan kekayaan dalam kalangan rakyat kaya dan miskin; (iii) mekanisme yang digunakan dan kesannya, sama ada dengan jual beli minuman keras dan perjudian, menceroboh, menggondolkan hutan dan mengakibatkan bencana alam atau daripada sektor transaksi kewangan yang spekulatif dan tidak syarie. Permasalahan pengagihan kekayaan diserahkan sepenuhnya kepada mekanisme pasaran. Buruknya pengagihan kekayaan dalam sistem ekonomi kapitalislah yang menimbulkan kemiskinan sistemik. Ini sangat berbeza dengan sistem ekonomi Islam yang sangat mengambil berat mengenai sistem pengagihan kekayaan dalam negara yang terwujud melalui mekanisme syariah untuk menjamin pemenuhan keperluan setiap individu rakyat.

2. Menolak peranan negara dalam pengaturan ekonomi masyarakat:
Dalam sistem ekonomi kapitalis, negara tidak perlu campur tangan dalam masalah perekonomian masyarakat. Hal ini dijelaskan melalui takrif politik ekonomi dalam Kamus Ekonomi, sebagai: Political economy is the science of wealth and deals with effort made by man to supply wants and satisfy desires (Politik ekonomi adalah ilmu pengetahuan tentang kekayaan dan berkaitan dengan usaha-usaha yang dibuat oleh manusia untuk memenuhi keperluan dan memuaskan keinginan). Definisi ini tidak menyebutkan peranan negara sama sekali dalam mengawal selia atau tanggungjawab negara dalam memenuhi keperluan rakyat. Ekonomi hanya dianggap sebagai cabang ilmu dan negara hanya berperanan dengan campur tangan secara minimal sahaja.

Selain itu, peranan swasta (corporate-based) lebih dominan dalam pengelolaan ekonomi kerana diyakini mampu mengembangkan ekonomi negara. Doktrin yang dikembangkan oleh Adam Smith ini percaya apabila kegiatan ekonomi berjalan dengan baik, maka akan ada tangan yang tidak kelihatan (the invisible hand) yang akan mengatur pengagihan kekayaan dengan sebaiknya yang mana akhirnya akan membawa kesejahteraan bersama. Hakikatnya, the invisible hand itu tidak pernah ada. Ironinya, yang terjadi adalah si kaya bertambah kaya, dan si miskin akan semakin miskin dan tertindas. Ketidakadilan ini turut diprotes di negara Amerika Syarikat (AS) sendiri. Sebagai contoh, gerakan Occupy Wallstreet yang turut tersebar di negara-negara kapitalis lain. Dalam poster mereka sentiasa ada tulisan yang berbunyi, “Capitalism is not working”,“We are 99%”, yang bermaksud Kapitalisme itu sebenarnya hanya berpihak kepada orang-orang kaya. Capitalism is simply 1%, by 1%, for 1%! Dalam Islam, keadaan seperti ini dijamin tidak akan terjadi kerana negara berperanan besar dalam pengelolaan dan pengagihan harta kekayaan negara. Negara bertanggungjawab memastikan keperluan rakyat dipenuhi sama ada keperluan asas individu (al-hajat al-asasiyah seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal) serta hak-hak asas masyarakat (seperti keselamatan, kesihatan dan pendidikan).

3. Melakukan penswastaan ke atas pemilikan umum:
Negara juga seakan “berlepas tangan” daripada tanggungjawab mereka terhadap masyarakat apabila menyerahkan tugas menguruskan keperluan rakyat kepada pihak swasta. Contohnya, sejak Dasar Penswastaan Negara yang diperkenalkan oleh Tun Dr Mahathir pada tahun 1983, agensi-agensi kerajaan diswastakan untuk menyediakan utiliti utama seperti pengangkutan, bekalan air, elektrik, telekomunikasi dan lain-lain. Kerajaan Malaysia mengambil teladan dari negara Barat terutama Britain yang mengamalkan dasar itu sejak sekian lama. Maka muncullah Telekom Malaysia Berhad (TM), PLUS Expressway Berhad, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan Pos Malaysia Berhad. Asalnya, ia diharap dapat meningkatkan kecekapan agensi dan syarikat yang kurang berdaya maju agar keperluan rakyat dapat dipenuhi dengan sebaiknya. Hakikatnya, syarikat-syarikat swasta ini cenderung meningkatkan harga kerana pelabur mahukan keuntungan yang tinggi. Mangsanya ialah rakyat sendiri. Manakala kerajaan pula tidak bertanggungjawab jika berlaku kelemahan.

Negara juga menyerahkan harta milik umat kepada pihak swasta untuk diuruskan sepenuhnya. Sebagai contoh, Petronas mendapat hasil galian bernilai RM 248 billion pada tahun 2015 dan dikembalikan semula kepada kerajaan dalam bentuk cukai, dividen dan subsidi minyak. Saban tahun, keuntungan syarikat minyak dan gas ini semakin meningkat. Peningkatan ini bermakna semakin banyaklah hak rakyat yang dirampas oleh pemerintah dengan mempergunakan Petronas untuk merompak hak rakyat ini. Meskipun Petronas berasa gah mengumumkan keuntungan mereka setiap tahun, serta dividen yang bakal dibayar kepada kerajaan, rakyat hanya sekadar mendengar dengan penuh kekecewaan kerana hak mereka dipertaruhkan dan mereka tidak dapat menikmati hak yang sepatutnya mereka perolehi. Kerajaan “berjual beli’ dengan rakyatnya sendiri.

Ini sangat bertentangan dengan syariah Islam yang mana negara hanyalah merupakan pengelola hak milik umum ini, bukan mengaut keuntungan daripadanya. Ini kerana, petroleum merupakan sebahagian daripada pemilikan umum, yang mana negara wajib mengelolakannya secara syarie serta memulangkan semula hak tersebut kepada umat.

4. Menjadikan ekonomi non-real, faedah, cukai dan hutang sebagai tiang-tiang ekonomi: Pemicu kepada terjadinya krisis ekonomi adalah sektor non-real atau kewangan, yang memang dikenali sebagai sektor yang penuh dengan spekulasi. Wang tidak lagi sekadar medium pertukaran untuk mendapat barang atau perkhidmatan dalam sektor realiti, tetapi juga sebagai komoditi dalam sektor non-real iaitu untuk diniagakan (dalam bursa mata wang dunia), diperjudikan (dalam bursa saham dan kegiatan yang sejenis) dan ditarik keuntungan (melalui interest atau dengan kata lain bunga atau riba dalam perbankan) daripada setiap transaksi atau penyimpanan wang. Kekacauan di sektor ini menyebabkan kekacauan di sektor real (produksi, perdagangan dan perkhidmatan). Harga-harga barang dan perkhidmatan naik bukan kerana hukum permintaan dan penawaran (supply and demand) tetapi kerana riba bank yang meningkat dan terjadinya penyusutan nilai ringgit terhadap dollar AS.

Ekonomi Islam Mensejahterakan Seluruh Rakyat

Salah satu cabang syariah terpenting yang seringkali dipandang remeh ialah syariah ekonomi, terutamanya yang berkaitan dengan ekonomi makro. Syariah Islam memandang perkara ekonomi menjadi dua bahagian;

Pertama: ilmu ekonomi iaitu berkait rapat dengan bagaimana suatu barang atau perkhidmatan dihasilkan, misalnya kemajuan teknologi dan industri atau pengembangan sumber semula jadi yang baharu.

Kedua: sistem ekonomi iaitu berhubungan dengan aspek politik, merangkumi pengurusan, konsep, prinsip dan polisi-polisi negara untuk memenuhi keperluan asas setiap individu. Menurut Abdurrahman al-Maliki dalam As-Siyasah Al-iqtishadiyah al-Mutsla (Politik Ekonomi Ideal), politik ekonomi Islam adalah (i) menjamin pemenuhan semua keperluan asas setiap individu dalam masyarakat (makanan, pakaian, tempat tinggal) dan (ii) memberikan peluang kepada setiap orang untuk memenuhi keperluan sekunder dan tertiary sesuai dengan kadar kemampuannya sebagai individu yang hidup dalam satu pola masyarakat yang khas.

Prinsip-prinsip dasar Sistem Ekonomi Islam termasuklah:

(1) Konsep pemilikan; Islam membahagikan pemilikan menjadi tiga – (i) milik peribadi (ii) milik umum mencakupi fasiliti-fasiliti awam yang diperlukan oleh masyarakat yang mana ketiadaannya akan menimbulkan kesulitan ; sumber alam seperti galian, emas, perak, tembaga; serta benda-benda yang sifat pembentukannya menghalangi manusia daripada memilikinya secara peribadi seperti sungai, jalan, laut, tanah-tanah umum dan lain-lain (iii) milik negara
(2) Pengelolaan pemilikan; Pengelolaan milik umum dilakukan oleh negara sebagai wakil umat. Hasilnya digunakan untuk kemakmuran rakyat dan pengelolaannya hendaklah mempertimbangkan kemaslahatan lingkungan, eko-sistem dan sosial.
(3) Pengagihan kekayaan antara individu; Islam mendorong setiap warga negara Khilafah, sama ada lelaki atau perempuan, Muslim atau kafir zhimmi untuk mengelola pemilikannya, mengejar keuntungan tanpa halangan dan memenuhi keperluan dan kehendak mereka sesuai dengan syariah Islam. Eksploitasi, riba dan rasuah dielakkan dalam pengurusan harta.

Pembangunan ekonomi yang stabil dan mensejahterakan rakyat dalam model syariah Islam didasarkan oleh beberapa perkara. Antaranya adalah kerana ekonomi Islam hanya membenarkan warga negara untuk terjun dalam bidang ekonomi di sektor real sahaja seperti dalam bidang pertanian, pembuatan, perdagangan dan perkhidmatan. Ekonomi Islam melarang masyarakat mengembangkan ekonomi di sektor non-real (kewangan) kerana banyak melanggar hukum-hukum Islam yang bersifat qathie. Antaranya adalah larangan riba nashi’ah, riba fadhl, judi, spekulasi, gharar dan lain lain. Ironinya, amalan-amalan inilah yang menjadi asas ekonomi kapitalis yang diterapkan hari ini.

Sistem ekonomi Islam juga menjamin kestabilan ekonomi dan ini mudah diwujudkan jika sistem kewangan kapitalis dirombak secara total serta digantikan dengan sistem Islam. Asas utama dalam sistem kewangan kapitalis adalah kewujudan wang kertas (fiat money). Ini kerana, wang kertas tersebut tidak memiliki nilai hakiki (intrinsic) sama sekali sehingga kestabilannya bergantung kepada kawalan ketat oleh bank-bank pusat. Namun, kenyataannya kawalan tersebut tidak pernah efektif. Akibatnya, fenomena inflasi sentiasa menjadi masalah yang melanda ekonomi dunia. Ekonomi Islam mewajibkan negara untuk mencetak wang emas (dinar) dan perak (dirham) untuk digunakan dalam transaksi-transaksi ekonomi di dalam dan di luar negara. Dinar dan dirham ini sangat stabil kerana menyatukan nilai intrinsic dan nominal sekaligus. Oleh itu, peredaran wang ini tidak memerlukan kawalan daripada badan-badan khusus dan tidak akan mengakibatkan inflasi. Selain itu, untuk mencapai kesejahteraan kepada seluruh rakyat, sistem ekonomi Islam sangat mementingkan sistem pengagihan kekayaan. Sistem Islam akan memastikan keperluan asas setiap individu rakyat dipenuhi selayaknya. Negara juga akan mengadakan pendidikan dan kesihatan berkualiti yang percuma kerana itu merupakan tanggungjawab negara.


Penutup

Kemampuan negara Khilafah untuk mensejahterakan rakyat telah terbukti secara empirik dalam sejarah Islam. Salah satu contoh ialah kesejahteraan rakyat berlaku ketika zaman Khalifah Umar Abdul Aziz (walaupun masa pemerintahannya amat singkat iaitu 3 tahun). Ini digambarkan melalui ucapan Yahya bin Said, seorang petugas zakat yang berkata, “Ketika hendak membahagikan harta zakat, tidak dijumpai seorang miskin pun. Umar bin Abdul Aziz telah menjadikan setiap rakyatnya ketika itu berkecukupan”.

Begitulah sejarah gemilang perekonomian kaum Muslimin ketika itu. Sejarah emas ini hanya boleh diwujudkan semula melalui penerapan sistem ekonomi Islam dalam bingkai negara Khilafah Rasyidah, InsyaAllah.

Wallahualam bisshowab...

Oleh: Dr. Insyirah Ameer (Aktivis MHTM)

Rujukan:

1. Majalah Al-Waei No. 130, 1-30 Jun 2011
2. Majalah Al-Waei No. 55, Edisi Khusus Mac 2005
3. Majalah Al-Waei No. 143, 5-31 Julai 2012
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment