Kesederhanaan Isteri Sang Khalifah

Menjadi isteri kepada seorang pemimpin negara mungkin satu kebanggaan bagi sesetengah wanita. Ini kerana isteri kepada pemimpin negara dalam sistem kapitalis ini kebiasaannya pasti dilimpahi dengan kemewahan, mempunyai status sosial yang tinggi, mendapat penghormatan yang tinggi dan sebagainya. Tetapi tidak bagi Fatimah binti Abdul Malik bin Marwan. Seorang sosok yang layak dijadikan teladan kepada para isteri masa kini. Fatimah ialah anak kepada Khalifah Abdul Malik bin Marwan. Beliau satu-satunya puteri daripada lima orang adik beradik yang turut terkenal dalam sejarah umat Islam. Walaupun lahir daripada keluarga yang mewah, beliau telah diberikan didikan yang sempurna oleh ayahandanya sehingga menjadi seorang wanita yang terhormat, amanah, taat beribadah dan seorang wanita yang suka hidup dalam kesederhanaan.

Fatimah telah berkahwin dengan Khalifah Umar Abdul Aziz yang juga lahir daripada keluarga yang mewah. Mereka dikurniakan dua orang cahaya mata. Umar Abdul Aziz dilantik dan dibaiat oleh kaum Muslimin pada 99 H iaitu selepas pemerintahan Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik. Umar Abdul Aziz merasakan pelantikan beliau sebagai Khalifah merupakan suatu amanah yang sangat berat untuk dipikul. Wajah sugul beliau jelas kelihatan selepas pulang dari Kota Damaskus iaitu tempat pelantikan beliau sebagai Khalifah dan hal ini merisaukan Fatimah.

Beliau bertanya kepada Fatimah, “Fatimah, isteriku...! Bukankah engkau telah tahu apa yang menimpaku? Beban yang amat berat dipikulkan ke bahuku, menjadi nakhoda bahtera yang dipenuhi serta ditumpangi oleh umat Muhammad SAW. Tugas ini benar-benar menyita waktuku hingga hakku terhadapmu akan terabai. Aku bimbang kelak engkau akan meninggalkanku apabila aku akan menjalani hidupku yang baharu, padahal aku tidak ingin berpisah denganmu hingga ajal menjemputku.” Fatimah lantas bertanya apa yang diingini oleh suaminya. Beliau meminta agar Fatimah mengumpulkan keseluruhan harta mereka termasuk barang perhiasan Fatimah yang telah dihadiahkan oleh bapanya semasa perkahwinannya untuk diserahkan kepada Baitul Mal. Ketika diminta berbuat demikian, Fatimah tidak membantah sama sekali bahkan menyokong apa yang diinginkan oleh suaminya. Khalifah Umar Abdul Aziz hanya menerima 60 dirham sebulan daripada Baitul Mal. Bukan itu sahaja, beliau malah meminta agar santunannya dikurangkan lagi serta menolak segala kelengkapan yang disediakan untuk beliau sebagai seorang Khalifah. Semua ini diterima oleh isterinya yang taat kepadanya dengan penuh keredaan terhadap Allah SWT.

Mereka membina rumah di sebidang tanah yang dimiliki hasil daripada usaha Khalifah Umar sendiri semasa beliau menjadi pegawai. Walaupun kehidupan mereka dalam kesederhanaan tetapi Khalifah Umar sentiasa memastikan keperluan Fatimah mencukupi. Makanan yang disantap dan pakaian yang dipakai tidak pernah menunjukkan yang Fatimah merupakan isteri sang Khalifah. Bahkan ada orang yang belum mengenalinya akan menganggap bahawa beliau hanya seorang wanita biasa.

Dengan hidup yang penuh kesederhanaan, Fatimah tetap sabar dan setia mendampingi dan menjadi pendukung Umar bin Abdul Aziz. Ketika Umar meninggal dunia, Fatimah kerap menangis, bukan kerana bimbang kehidupannya akan bertambah sulit setelah pemergian suaminya yang hanya mewariskan sebidang tanah. Namun beliau menangis kerana berasa bimbang jika beliau tidak dapat mempertahankan konsep kesederhanaan dalam kehidupannya semasa bersama suaminya. Namun ternyata Fatimah tetap memilih cara hidup yang sederhana. Buktinya dapat dilihat apabila Khalifah Yazid yang menggantikan Khalifah Umar Abdul Aziz, menyerahkan kembali harta milik Umar dan Fatimah tetapi telah ditolak oleh Fatimah kerana tidak mahu mengkhianati permintaan suaminya dahulu.

Khatimah

Itulah sekilas tentang kehidupan isteri sang Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Semoga kisah ini dapat kita jadikan teladan dan menjadi inspirasi kepada kita untuk menjadi Muslimah yang sentiasa berasa cukup dengan apa yang ada. Firman Allah SWT,

“Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian” [TMQ Al- Furqan (25):67].

Muslimah yang sederhana juga tidak menjadikan pangkat dan kemewahan sebagai matlamat hidup sehingga mengabaikan hukum Allah SWT tetapi menggunakan apa sahaja yang mereka miliki untuk berkorban di jalan Allah SWT.

Oleh: Pn. Hidayah Muhammad (Ketua MHTM Cawangan Sandakan)

Rujukan:
1. Terjemahan Al-Quran
2. http://m.republika.co.id/berita/dunia/islam/khazanah/12/07/16/m79ao2-mujahidah-fatimah-binti-abdul-malik-istri-khalifah-yang-bersahaja-1
3. http://hizbut-tahrir.or.id/2010/10/10/khalifah-umar-bin-abdul-aziz/



SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment