Nafkah Suami kepada Isteri Menurut Islam


Hukum Menafkahi Isteri Oleh Suami

Sesungguhnya seorang lelaki yang telah menikahi seorang wanita maka wajib baginya memberikan nafkah kepada wanita tersebut mengikut kadar kemampuannya secara makruf. Ini berdasarkan firman Allah SWT,

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka” [TMQ an-Nisa’ (4): 34].

Imam Ibnu Katsir menjelaskan ayat di atas “Dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka” iaitu berupa mahar, nafkah dan tanggungan yang Allah wajibkan kepada suami untuk ditunaikan kepada isteri mereka [Tafsir Ibnu Katsir, 2/292].

Allah SWT juga berfirman, “Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya dengan cara yang makruf” [TMQ al-Baqarah (2): 228].

Menurut Imam Ibnu Katsir berkenaan ayat di atas, “Para isteri mempunyai hak diberikan nafkah oleh suaminya yang seimbang dengan hak suami yang diberikan oleh isterinya, maka hendaklah masing-masing menunaikan kewajipannya dengan cara yang makruf dan hal itu mencakup kewajipan suami memberi nafkah kepada isterinya sebagaimana hak-hak lainnya” [Tafsir al-Qur’anil Adhim 1/272].

Nabi SAW bersabda,
“Cukuplah seseorang dikatakan berdosa jika dia mensia-siakan orang yang menjadi tanggungannya” [HR Abu Daud No. 1692, Ibnu Hibban No. 4240, dihasankan oleh Al Albani dalam Shahih Abi Daud].

Nafkah Yang Syarie Adalah Keperluan Asasnya

Setelah kita mengetahui dengan jelas tentang kewajipan nafkah oleh suami kepada isterinya, maka kita juga perlu mengetahui nafkah yang bagaimanakah wajib diberikan oleh suami kepada isterinya. Nafkah atau an-nafaqah secara bahasa ertinya pengeluaran. Dalam kitab al-Fiqhul Muyassar (1/337) dijelaskan,

“An-Nafaqah secara bahasa diambil daripada kata al-infaq, yang pada dasarnya bermakna pengeluaran yang merujuk kepada hal yang baik”.

Maka semua jenis pengeluaran harta itu secara bahasa dapat disebut infaq atau nafaqah, termasuk pengeluaran harta seorang suami untuk isterinya. Manakala, makna nafaqah secara istilah dalam al-Fiqhul Muyassar (1/337) disebutkan,

“Secara syarie, nafaqah ertinya memberikan keperluan yang mencukupi kepada orang yang menjadi tanggungannya dengan makruf yang berupa quut (makanan asasi), pakaian dan tempat tinggal”.

Berdasarkan sabda Nabi SAW, “Wajib bagi kalian (para suami) memberikan rezeki (makanan) dan pakaian dengan makruf kepada mereka (para isteri)” [HR Muslim 1218].

Allah SWT berfirman, “Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu” [TMQ at-Thalaq (65): 6].

Maka dapat difahami bahawa nafkah adalah mencukupkan keperluan orang-orang yang ditanggungnya baik berupa makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal dengan batasan atau kadar cakupan nafkah yang mana ia kembali kepada ‘urf (adat kebiasaan) di sesuatu tempat tersebut.

Pemberian Suami Selain Daripada Nafkah Adalah Bentuk Sedekah Yang Paling Afdal

Setelah memahami dengan jelas berkenaan hukum dan makna nafkah suami kepada isteri, maka tidak bermakna suami tidak perlu memberikan sesuatu sebagai tambahan kepada nafkah yang wajib kepada isterinya. Bahkan pemberian selain nafkah yang wajib merupakan sedekah yang paling afdal. Rasulullah SAW bersabda,

“Empat jenis dinar: dinar yang engkau berikan kepada orang miskin, dinar yang engkau berikan untuk membebaskan hamba, dinar yang engkau infakkan di jalan Allah dan dinar yang engkau infakkan untuk keluargamu, yang paling afdal adalah yang engkau infakkan untuk keluargamu” [HR Al-Bukhari dalam Adabul Mufrad 578, disahihkan Al-Albani dalam Shahih Adabil Mufrad].

Oleh yang demikian, seorang suami sangat digalakkan untuk memberikan sedekah kepada keluarganya sesuatu yang akan membawa kebaikan kepada keluarganya seperti buku-buku atau bahan pembelajaran yang bermanfaat, pakaian-pakaian tambahan, kenderaan dan sebagainya. Ini termasuk juga wang saku yang boleh digunakan oleh si isteri untuk membeli keperluannya yang makruf. Namun begitu, sudah pasti pemberian tersebut sesuai dengan kemampuan suami dengan tanpa berlebih-lebihan.

Wallahua'lam.

Oleh: Saudari Farisha Aris (Aktivis MHTM)

Rujukan:

1) Sistem Pergaulan Dalam Islam; Taqiyuddin An-Nabhani; HTI Press; 2012
2) https://hizbut-tahrir.or.id/2016/04/07/bagaimana-rincian-hukum-nafkah-menurut-islam/

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment