Jual Beli


Kata al-bay’ berasal daripada kata bâ’a–yabi’u–bay’[an]. Ertinya, adalah dhiddu isytarâ (lawan daripada membeli). Al-Bay’ secara bahasa juga bererti pertukaran (mubâdalah) secara mutlak. Kata al-bay’ dalam penggunaan sering ditukarkan dengan lawan katanya iaitu asy-syirâ‘. Ar-Razi di dalam Mukhtâr ash-Shihâh menyatakan, dikatakan bâ’a asy-syay’a wa mabî’[an], ertinya menjual sesuatu dan bâ’ahu syay’an ertinya membeli sesuatu. Kerana itu secara bahasa al-bay’ boleh diertikan jual beli. Jadi kata al-bay’ dan asy-syirâ‘ merupakan lafaz musytarak yang saling berlawanan.

Kata al-bay’ secara bahasa juga mempunyai makna lain. Imam Taqiyuddin Abu Bakar Muhammad al-Hushni di dalam bukunya, Kifâyah al-Akhyâr fi Halli Ghâyah al-Ikhtishâr fi al-Fiqh asy-Syâfie, menyebutkan, al-bay’ secara bahasa ertinya i’tha‘u syay‘i muqâbalah syay’i (memberi sesuatu sebagai pampasan atas sesuatu yang lain).

Muhammad bin Ahmad al-Hanafi di dalam Al-‘Inâyah Syarh al-Hidâyah dan ash-Shan’ani di Subul as-Salâm menyebutkan bahawa secara bahasa, al-bay’ ertinya tamlîk al-mâl bi al-mâl (pemilikan harta dengan harta).

Ibnu Qudamah menjelaskan kata al-bay’ dibentuk daripada al-bâ’a (tangan) sebab masing-masing daripada dua orang yang berakad menghulurkan tangannya untuk mengambil dan memberi. Mungkin juga bahawa masing-masing daripada keduanya berjabat tangan sesamanya ketika berjual-beli. Oleh kerana itu al-bay’ disebut shafqah.

Adapun secara syarie, di dalam Kifâyah al-Akhyâr, Taqiyuddin Abu Bakar menyebutkan, al-bay’ adalah muqâbalatu mâl[in] bi mâl[in] qâbilayn li at-tasharufi bi îjâb[in] wa qabûl[in] ‘alâ al-wajhi al-ma`dzûni bihi (pertukaran harta dengan harta yang dapat di-tasharruf dengan ijab dan qabul menurut cara yang diizinkan).

Ash-Shan’ani di dalam Subul as-Salâm menyebutkan, al-bay’ secara syarie adalah pemilikan harta dengan harta dengan jalan suka sama suka. Dikatakan pula al-bay’ adalah ijab dan qabul pada dua harta yang dalamnya tidak ada makna derma (tabarru’). Namun, pengertian ini masih kurang menyeluruh kerana tidak mencakupi al-mu’âthâh. Dikatakan juga, al-bay’ adalah pertukaran harta dengan harta tidak dalam bentuk tabarru’ sehingga pengertian ini mencakupi al-mu’âthâh.

Muhammad bin Ahmad al-Hanafi di dalam ‘Inâyah Syarh al-Hidâyah menyebutkan, al-bay’ secara syarie adalah pertukaran harta dengan harta secara sama-sama redha dengan jalan al-iktisâb (perolehan).

Ibnu Qudamah di dalam Al-Mughni menyebutkan, al-bay’ secara syarie adalah mubâdalatu al-mâli bi al-mâli tamlîkan wa tamalluk[an] (pertukaran harta dengan harta sebagai tamlik dan tamalluk).

Daripada definisi dan penjelasan menurut para ulama, sekurang-kurangnya terdapat tiga sifat dalam jual beli.

Pertama: Al-Bay’itu adalah pertukaran harta dengan harta. Tidak diungkapkan dengan istilah ijab dan qabul sehingga boleh mencakupi bay’ al-mu’âthâh. Sifat ini juga membezakan dengan ijarah yang merupakan pertukaran harta dengan perkhidmatan atau manfaat.

Kedua: Pertukaran dalam al-bay’ itu merupakan tamlîk[an] dan tamalluk[an]. Tamlîk[an] ertinya adalah dengan pertukaran maka harta itu menjadi milik kedua pihak. Makna tamlîk[an] di sini lebih ditekankan bahawa setelah pertukaran, harta itu menjadi miliknya. Dia sah menggunakan dan mengambilnya.

Adapun tamalluk[an] maknanya bahawa pemilikan itu juga mencakupi kekuasaan untuk memindahkan pemilikan manfaat harta itu melalui ijârah dan pemilikan zat dan manfaatnya melalui al-bay’, hibah, hadiah, wakaf dan sebagainya. Sifat tamalluk[an] ini membezakan akad jual beli dengan akad nikah. Di dalam akad nikah, suami dengan akad nikah itu berhak atas manfaat daripada isteri. Maknanya dia halal mendapatkan manfaat, pelayanan, kenikmatan dan lain-lain perkara daripada isteri. Ini lebih dekat pada sifat tamlîk. Namun, suami itu tidak memiliki hak tamalluk, iaitu dia tidak boleh memindahkan pemilikan atas manfaat daripada isterinya itu kepada orang lain.

Ketiga: Di dalam al-bay’ itu perlu ada at-tarâdhiy, saling redha. Sifat at-tarâdhiy itu secara jelas disebutkan di dalam al-Quran. Allah SWT berfirman:

لاَ تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلاَّ أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ

“Janganlah kalian saling memakan harta sesama kalian dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan dengan suka sama suka di antara kalian” [TMQ An-Nisa’ (4): 29].

Oleh kerana itu, definisi al-bay’ perlu mencakupi tiga sifat tersebut. Dengan demikian al-bay’ itu boleh didefinisikan sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani di dalam Asy-Syakhshiyyah al-Islâmiyah (Juz II) pada bab al-Bay’, bahawa al-bay’ secara syarie adalah mubâdalatu mâl[in] bi mâl[in] tamlîk[an] wa tamalluk[an] ‘alâ sabîli at-tarâdhiy (pertukaran harta dengan harta secara tamlîk[an]—iaitu pemilikan untuk menggunakan, mengambil dan membelanjakan sesuatu—dan tamalluk[an] —iaitu pemilikan yang mencakupi kekuasaan dan bidang kuasa untuk memindahkan manfaat dan zat sesuatu kepada pihak lain—yang berlangsung secara suka sama suka/saling redha).

Hukum al-Bay’

Al-Bay’ atau jual-beli adalah aktiviti yang masyru’ (disyariatkan). Hal itu berdasarkan dalil daripada al-Kitab, as-Sunnah dan Ijmak Sahabat. Dalam al-Quran secara jelas Allah SWT menghalalkan jual beli:

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَوا

“Allah telah menghalalkan jual-beli dan mengharamkan riba” [TMQ Al-Baqarah (2): 275].

Dalil daripada as-Sunnah juga banyak. Di antaranya, Rasul SAW bersabda:

الْبَيِّعَانِ بِالْخِيَارِ مَا لَمْ يَتَفَرَّقَا فَإِنْ صَدَقَا وَبَيَّنَا بُورِكَ لَهُمَا فِى بَيْعِهِمَا، وَإِنْ كَتَمَا وَكَذَبَا مُحِقَتْ بَرَكَةُ بَيْعِهِمَا

“Penjual dan pembeli memiliki pilihan selama belum berpisah. Jika keduanya jujur dan telus maka keduanya diberkahi dalam jual belinya. Sebaliknya, jika keduanya tutup-menutupi (kerosakan pada barang) dan berbohong maka keberkahan jual beli dihapuskan daripada keduanya” [HR Al-Bukhari].

Ibn Hajar al-‘Ashqalani di dalam Fath al-Bârî mengatakan, “Kaum Muslim sepakat atas keharusan berjual beli. Hal ini kerana, keperluan manusia terkait dengan benda yang ada di tangan orang lain dan pada umumnya kita tidak akan menyerahkannya kecuali dengan pampasan. Dalam pensyariatan jual-beli itu, tujuan akan dapat diraih tanpa ada keberatan.”

Ketentuan Umum Jual Beli

Al-Bay’ (jual beli) sah jika memenuhi rukun dan syarat-syaratnya. Rukun jual-beli terdiri daripada: (1) ijab dan qabul; (2) dua pihak yang berakad; (3). Barang yang dijual (al-mabî’).

Tentang ijab dan qabul, Imam Malik seperti dikutip oleh Ibnu Qudamah di dalam Al-Mughni (IV/4) menyatakan, “Akad-akad itu sah dengan setiap hal yang menunjukkan maksudnya, sama ada melalui ucapan atau perbuatan dan tidak disyaratkan teks tertentu di dalam ijab dan qabul. Hal itu kerana yang dimaksud adalah konotasi yang menunjukkan keredhaan saling keduanya dan itu boleh terjadi dengan al-mu’âthâh (saling memberi yang menunjukkan persetujuan) atau sebandingnya.”

Ijab dan qabul boleh dengan lafaz baik ucapan atau tulisan atau sesuatu yang dapat diletakkan sama dengan lafaz, seperti isyarat. Adapun bay’ al-mu’âthâh, jual beli melalui perbuatan seperti seseorang mengambil segelas air minuman atau roti lalu membayar harganya dan pembeli menerima harganya itu. Hal ini hanya sah untuk barang yang harganya sudah makruf, tetap dan jelas, serta tidak adanya tawar-menawar. Jika ada tawar-menawar maka tidak sah.

Syariah tidak mengatur dan tidak membataskan tatacara ijab dan qabul. Jadi, boleh sahaja dengan berjabat tangan atau tidak. Boleh menggunakan tulisan, isyarat dan cara lainnya.

Penjual dan pembeli secara syarie perlu memenuhi syarat kelayakan untuk melakukan tasharruf, iaitu berakal dan sekurang-kurangnya mumayyiz (dapat membezakan). Dia juga bukan dalam keadaan sedang di-hijr (dilarang untuk melakukan urus niaga). Anak-anak yang belum baligh tetapi sudah mumayyiz akadnya sah, tetapi pelaksanaannya bergantung pada izin walinya atau orang yang bertanggungjawab terhadap anak itu. Untuk urus niaga yang skalanya kecil yang tidak perlu tawar-menawar, contohnya jual beli makanan kecil, mainan yang relatif tidak mahal dan barang yang harganya tetap, diketahui khalayak, dan tidak perlu tawar-menawar, maka ‘urf masyarakat membenarkan jual belinya dilakukan oleh anak kecil dan tidak perlu pengesahan kepada walinya.

Jual beli berlangsung secara sempurna ketika terjadinya akad ijab dan qabul dalam proses jual beli itu dan ia sah sehingga hukum hasil daripada akad jual beli itu berlaku. Bagi menyempurnakan jual beli barang yang ditimbang, disukat atau dihitung (al-mawzûn, al-makîl, al-ma’dûd), maka perlu dilangsungkan serah terima fizikal barang. Manakala, untuk selain barang tersebut seperti haiwan, maka jual belinya sempurna ketika akadnya selesai tanpa memerlukan perlangsungan serah terima fizikal barang.

Selain itu ada beberapa syarat yang perlu dipenuhi pada barang yang dijual. Barang itu perlu barang yang halal zatnya, bukan najis, boleh dimanfaatkan, milik penjual (kecuali pada as-salam dan al-istishnâ’), boleh diserahkan, jelas dan tidak gharar. Masing-masing ada ketentuan rincinya.

Selain itu, secara lebih spesifik syariah juga menjelaskan rincian hukum jenis-jenis jual-beli tertentu, di antaranya jual beli secara kredit (hutang) dan ansuran, as-salam, al-istishna’, begitu juga jual beli buah yang masih di pohonnya.

Wallah a’lam bi ash-shawab.

Oleh: Yoyok Rudianto

Sumber: https://hizbut-tahrir.or.id/2015/08/04/jual-beli/
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment