Laman Sesawang Hizbut Tahrir Disekat

[ Kenyataan Rasmi ] - Laman Sesawang Hizbut Tahrir Disekat: Langkah Terdesak Kerajaan dan Jabatan Agama Menghalang Dakwah dan Usaha Penegakan Khilafah oleh Hizbut Tahrir

Sejak semalam (17/01/2017), laman sesawang Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) di URL https://hizbut-tahrir.org.my dan blog Muslimah HTM di URL http://fikratulummah.blogspot.my tidak dapat diakses melalui pembekal perkhidmatan internet (internet service provider - ISP) yang utama di Malaysia, TMnet, anak syarikat milik penuh Telekom Malaysia. Selain kedua laman sesawang tersebut, laman sesawang Hizbut Tahrir Indonesia, Hizbut Tahrir Britain, Hizbut Tahrir Amerika, Hizbut Tahrir Australia, Hizbut Tahrir Skandinavia, Hizbut Tahrir Pakistan, Hizbut Tahrir Palestin dan banyak lagi juga turut disekat. Selain itu, laman sesawang pejabat media pusat Hizbut Tahrir di URL http://www.hizb-ut-tahrir.info/en dan laman sesawang lain yang terkait dengan Hizbut Tahrir seperti http://www.khilafah.com, http://www.al-aqsa.org dan http://www.al-waie.org pun turut disekat.

Antara notis yang tertera di laman sesawang HTM ialah “Akses kepada laman sesawang ini dihalang di bawah Seksyen 263 (2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana melanggar undang-undang Malaysia di bawah peruntukan Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Syariah Selangor 1995 yang mana Agensi Penguatkuasanya ialah Jabatan Agama Islam Selangor.”


Di beberapa laman sesawang Hizbut Tahrir yang lain terdapat notis yang sama, tetapi di bawah kesalahan Seksyen 62 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 yang mana Agensi Penguatkuasanya ialah Jabatan Agama Islam Melaka. Seksyen 16 memperuntukkan kesalahan penyiaran apa-apa bentuk dokumen yang melanggar hukum syarak, manakala Seksyen 62 memperuntukkan kesalahan mengolok-olok, mengajuk atau mengejek-ejek agama Islam. Subhanallah! Pendustaan dan fitnah apa lagi yang pihak berkuasa ingin lontarkan kepada Hizbut Tahrir? Kami ingin bertanya dan tegaskan kepada pihak berkuasa agama, sila buktikan apa dan di manakah kandungan dalam laman-laman sesawang Hizbut Tahrir yang disekat itu, yang telah melanggar hukum syarak dan mengolok-olok, mengajuk atau mengejek-ngejek agama Islam yang anda dakwakan!? Kami tanya dan cabar sekali lagi, sila buktikan dakwaan anda, dan jangan hanya menggunakan kuasa yang ada pada anda untuk merekayasa dan menabur fitnah serta menyekat usaha-usaha dakwah untuk menegakkan agama Allah (swt) oleh Hizbut Tahrir!

Setelah mengeluarkan fatwa yang memfitnah Hizbut Tahrir dan menampal kain rentang serta papan iklan fitnah tersebut di banyak masjid, surau dan jalanraya, pihak berkuasa agama di Selangor kini, menggunakan saluran Kementerian Komunikasi dan Multimedia, untuk cuba menghalang dakwah Hizbut Tahrir melalui internet pula. Kali ini turut melibatkan pihak berkuasa agama Melaka dan turut membabitkan kerajaan Persekutuan. Nampaknya mereka ini sudah tidak lagi takutkan Allah (swt) dengan terus menyebarkan fitnah di muka bumi dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menghalang dakwah dan usaha mulia penegakan Khilafah yang dilakukan oleh Hizbut Tahrir. Padahal kesemua laman sesawang yang disekat itu adalah laman yang memaparkan aktiviti-aktiviti Hizbut Tahrir, fikrah dan tsaqafah Islam yang jernih, analisis politik yang mendalam, ulasan isu-isu semasa dan

seumpamanya, yang semuanya selari dengan hukum syarak, di samping pembongkaran makar puak kuffar Barat ke atas umat Islam, persekongkolan penguasa kaum Muslimin dengan Barat, pengkhianatan penguasa sekular ke atas umat Islam dan banyak lagi. Adakah ini yang menjadi ketakutan kerajaan dan pihak berkuasa agama sehingga laman sesawang Hizbut Tahrir disekat? Sedangkan laman sesawang lucah dan merosak akhlak, laman perjudian dan perbankan ribawi, laman yang menyebarkan assabiyyah, perjuangan golongan sekular dan liberal, dan banyak lagi laman maksiat yang benar-benar menyalahi syarak, dibiarkan akses!

Kami ingin mengingatkan pihak berkuasa agama dan juga kerajaan Persekutuan bahawa dengan kuasa sementara yang ada pada anda di dunia ini, anda boleh menyekat laman sesawang kami, anda juga boleh menyekat segala aktiviti kami, anda boleh memfitnah kami, dan anda boleh mengisytiharkan kepada seluruh dunia untuk memboikot kami, namun anda sama sekali tidak boleh menyekat ideologi Islam yang kami miliki dan kami perjuangkan, sebagaimana anda sama sekali tidak boleh menyekat kembalinya Khilafah al-Rasyidah ala minhaj nubuwwah yang kami perjuangkan.

Kami ingin mengingatkan anda bahawa Rasulullah (saw) dan para sahabat dulu juga pernah difitnah dan disekat aktiviti mereka serta diboikot oleh golongan kafir Quraisy, namun semua itu sedikitpun tidak menghalang mereka daripada usaha menegakkan agama Allah dan Daulah Islam akhirnya berdiri dengan izin Allah (swt). Sesungguhnya merekalah yang menjadi suri teladan bagi kami dalam perjuangan ini dan Daulah Khilafah yang kami usahakan akan berdiri kembali sedikit masa lagi dengan izin Allah (swt). Apa yang kami kesali ialah jika di zaman Rasulullah (saw) dahulu, usaha dakwah disekat oleh golongan kafir, namun kini ia disekat oleh orang Islam, malah oleh golongan yang bekerja di jabatan agama Islam itu sendiri! Ketahuilah bahawa kami memberi peringatan ini kepada anda kerana kami menginginkan kebaikan buat anda, kerana jika kami inginkan keburukan buat anda, nescaya kami hanya akan membiarkan sahaja anda melakukan kerja-kerja yang mengheret anda ke api neraka ini, tanpa mengingatkan anda. Maka ambillah peringatan ini, buang semula sekatan ke atas semua laman sesawang kami dan marilah kita sama-sama berusaha untuk menjadi penegak agama Allah, bukannya menjadi penghalang, yang hanya akan mengundang murka Allah (swt)!

Abdul Hakim Othman
Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment