Laporan Konferens Sistem Ekonomi Islam & Wanita

KONFERENS SISTEM EKONOMI ISLAM DAN WANITA:
WANITA EJEN PEMERKASA GENERASI
KEMPEN CELIK SYARIAH CINTA KHILAFAH

Kuala Lumpur, 14hb Januari 2017 – Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia dengan kerjasama Khilafah Center telah berjaya menganjurkan Konferens Sistem Ekonomi Islam dan Wanita di Hotel Dynasty, Kuala Lumpur dengan tema Wanita Ejen Pemerkasa Generasi. Konferens ini merupakan kemuncak Kempen Celik Syariah Cinta Khilafah melalui siri kempen media sosial, street dakwah dan Open Circle yang telah selesai dilancarkan di seluruh Malaysia bermula awal November 2016. Kehadiran peserta dan tokoh dari seluruh Malaysia dan Indonesia telah memenuhi ruang dewan konferens yang memuatkan kapasiti seramai 500 orang.

Objektif utama konferens ini adalah untuk membongkar agenda kapitalis melalui pemerkasaan ekonomi wanita dan menjelaskan mekanisme sistem ekonomi Islam yang mensejahterakan wanita.

Majlis ini bersiaran secara langsung dengan dimulai bacaan ayat suci al Quran dari surah As Sof ayat 7 hingga 13 seterusnya diikuti dengan ucapan pembukaan oleh Pengarah Konferens Sistem Eknomi Islam Islam 2017, Dr. Aslam Diyana Selamat (Pimpinan Pusat MHTM). Melalui kata ucapannya, beliau menekankan bahawa agenda pemerkasaan wanita adalah sebahagian daripada usaha puak kapitalis untuk menyelamatkan sistem ekonomi yang sedia ada telah membuatkan wanita meninggalkan peranan asalnya sebagai pengatur rumahtangga dan pemerkasa generasi secara alami sehingga menyebabkan krisis generasi yang mendasar.

Persidangan konferens ini telah dibentangkan oleh 4 orang speaker yang diundang dari dalam dan luar negara. Speaker pertama, Ustazah Ummu Maryam (Ketua MHTM Cawangan Shah Alam) telah membentangkan tajuk ”Wanita, Ekonomi dan Realiti Masa Kini“. Antara isi pembentangannya dijelaskan bahawa cabaran ekonomi dalam sistem kehidupan sekarang tehadap wanita sedang mengundang pelbagai masalah sosio ekonomi seperti pemakanan yang kurang berkhasiat, kediaman kurang sempurna dan tahap pendidikan serta kesihatan yang rendah seterusnya menunjukkan realiti kemiskinan yang mendominasi wanita yang terpaksa menjadi ketua keluarga seperti ibu tunggal bagi menampung kos kehidupan yang tinggi berbanding peningkatan pendapatan. Permasalahan ini umumnya mengakibatkan ramai wanita yang gagal mengimbangi peranan dalam kerjaya dan keluarga dalam skala besar sehingga menimbulkan pelbagai masalah rumahtangga seperti perceraian, fenomena kahwin lambat, pengabaian penjagaan anak-anak semasa waktu bekerja dan masalah kesihatan mental.

Setelah itu, diteruskan pula dengan pembentangan kedua yang bertajuk “Mitos Kapitalis Dalam Agenda Pemerkasaan Wanita“ oleh Puan Noor bt Nadzri ( Pimpinan Pusat Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia). Dalam teks pembentangannya, beliau menyatakan bahawa agenda pemerkasaan wanita adalah antara strategi halus negara kapitalis yang bertujuan menggalakkan penyertaan wanita dalam pembangunan ekonomi negara sedang giat diwar-warkan di media massa sehingga menjadi agenda utama dalam Rancangan Pembangunan Negara dan ini bertitik tolak daripada kelangsungan idea dari peringkat global. Dalam konteks global, agenda ini sangat penting dalam meningkatkan penyertaan wanita dalam pembangunan ekonomi bagi membuka hambatan bagi wanita dalam pasar global kerana kurangnya kemampuan sebahagian besar wanita dalam bidang ekonomi yang dihambat oleh faktor sosial budaya

Speaker ketiga, Puan Iffah Ainurr Rochmah yang telah diundang khas dari Indonesia selaku Jurucakap Muslimah Hizbut Tahrir Indonesia telah membincangkan tajuk “Dampak Masyarakat Ekonomi ASEAN Bagi Keluarga” yang memberi gambaran sebenar realiti ekonomi di peringkat negara Asia Tenggara khususnya dalam konteks perdagangan bebas yang telah mewujudkan persaingan antara negara Barat dan Asean. Beliau menegaskan bahawa dasar yang sedia ada telah memburukkan situasi ekonomi masyarakat dengan peningkatan kadar pengangguran dan kemiskinan serta memaksakan wanita turut keluar bekerja secara massal.

Pembentangan terakhir telah disampaikan oleh Puan Syamsiyyah Jamil (Pimpinan Pusat MHTM) dengan tajuk “Wanita Sejahtera Dengan Ekonomi Islam”. Beliau menyatakan bahawa kesejahteraan ekonomi dalam Islam diukur bukan berdasarkan penawaran dan permintaan, pertumbuhan ekonomi negara, nilai matawang atau indeks harga di pasaran bukan real. Bahkan Islam menuntaskan permasalahan ekonomi khususnya kemiskinan yang sedang melanda masyarakat dunia secara global dengan memastikan keperluan asas setiap individu dipenuhi, mengatur kepemilikan di tengah umat dan menyediakan lapangan pekerjaan serta peluang pendidikan bagi masyarakat.

Sesuai dengan tema konferens yang telah dilangsungkan iaitu Wanita Ejen Pemerkasa Generasi, pihak penganjur juga turut tidak ketinggalan mengendalikan aturcara khusus bagi anak-anak. Dengan tema khusus buat anak-anak peserta “Bright Kids : Bright Future With Syariah, Bright Future With Khilafah” – pelbagai aktiviti khusus telah disediakan mengikut kesesuaian umur anak-anak. Antara aktiviti yang dianjurkan adalah pertandingan mewarna, kuiz, jigsaw puzzle dan pertandingan hafazan.

Penghujung sesi sidang konferens ini diakhiri dengan bacaan doa setelah selesai interaktif bersama peserta konferens yang hadir. Alhamdulillah secara keseluruhannya program yang berlangsung sepanjang hari tersebut sangat mengujakan dan mendapat sambutan yang memberangsangkan dari semua pihak yang terlibat. Yang paling utama, mudahan konferens ini menjadi wadah bagi umat Islam dalam membina kesedaran Islam yang mendasar seterusnya mencetus perubahan luar biasa dalam masyarakat.













































































SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment