Laporan Persidangan Meja Bulat Tokoh Ekonomi 2017

LAPORAN PERSIDANGAN MEJA BULAT TOKOH EKONOMI 2017
PADA 14 JANUARI 2017 (SABTU)
BERTEMPAT DI HOTEL DYNASTY KUALA LUMPUR

Persidangan Meja Bulat Tokoh Ekonomi telah diadakan pada 14hb January 2017 bertempat di Hotel Dynasty Kuala Lumpur. Mengangkat tema “Pemerkasaan Ekonomi Wanita: Antara Mitos dan Realiti”, persidangan yang berlangsung selama 2 jam dihadiri oleh 25 tokoh wanita dari pelbagai latar belakang ekonomi iaitu pengurus, usahawan, wakil NGO, pensyarah IPTA, doktor, guru dan sebagainya. Tokoh-tokoh dari Malaysia dan Indonesia dihimpunkan bersama atas persamaan identiti, rumpun budaya dan bahasa yang sama serta berkongsi jalur sejarah yang sama. Persidangan ini diadakan untuk membongkar dan mencabar kebohongan Ekonomi Kapitalisme yang sedang diterapkan oleh seluruh dunia masa kini. Ekonomi kapitalime yang berasal daripada barat telah mengalihkan pemikiran wanita seluruh dunia daripada peranan hakiki yang sebenar. Bagaikan satu doktrin, empowerment through employment benar-benar mempersonakan kaum wanita menjadikan mereka penggerak utama ekonomi dunia.

Persidangan meja bulat tokoh ekonomi membentangkan 3 tajuk daripada 3 orang panel. Panel pertama, Pn Fika komara (Wakil Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir Asia Tenggara) telah membongkar eksploitasi agenda ekonomi kapitalisme dalam pemerkasaan ekonomi wanita. Beliau mendedahkan bagaimana ekonomi kapitalisme yang barasal dari pandangan hidup sekularisme menjadi punca kesengsaraan hidup wanita terutamnya di Negara-negara Asia Tenggara yang tergolong dalam populasi kemiskinan tinggi. Ekonomi kapitalis sebenarnya gagal mengangkat martabat hidup wanita, sebaliknya menjadi tenaga kerja penggerak ekonomi untuk perusahaan-perusahaan yang mengaut keuntungan maksimum.

Beliau juga mendedahkan realiti rakyat Indonesia yang majoriti wanita menjadi tenaga kerja migran ke luar Negara bertahun-tahun lamanya. Keadaan ini menggoyahkan tatanan sosial institusi kekeluargaan muslim. Kemajuan ekonomi yang mendorong wanita bersaing dalam pasaran kerja telah membunuh generasi muda, menyebabkan dehumanisasi massal dan eksploitasi. Keadaan ini dicirikan dengan Sindrom Budaya Chicago, iaitu satu sindrom kerosakan peradaban Negara-negara maju. Jumlah kes bunuh diri, kriminal, krisis sosial, kekerasan terhadap anak-anak meningkat mendadak di negara-negara yang mengalami pertumbuhan ekonomi pesat.


Panel kedua iaitu Puan Syifa’ Buhari (Ahli Lajnah Fa’aliyat MHTM) menjelaskan tentang kerosakan dan kelemahan sistem ekonomi kapitalisme serta kesan terhadap wanita. Beliau membentangkan tentang kelemahan sistem ekonomi kapitalisme yang mengukur prestasi kemajuan Negara melalui pertumbuhan ekonomi dan keluaran kasar Negara. Ini diikuti dengan peningkatan perbelanjaan dan penggunaan oleh masyarakat yang didorong oleh strategi pengiklanan agresif. Kerosakan sistem ekonomi Kapitalis menjadikan Negara terpaksa berhutang bagi membiayai pembangunan Negara untuk tahun 2017. Kadar hutang isi rumah rakyat adalah paling tertinggi dalam sejarah.

Pengangguran yang dijangka meningkat akan mendedahkan rakyat kepada bahaya kemiskinan dan krisis jenayah. Riba dan hutang juga membawa rakyat kepada bebanan ekonomi ditambah lagi dengan bebanan sara hidup,kos pendidikan,kesihatan yang semakin mahal. Sistem ekonomi kapitalis memberi ruang kepada indidvidu untuk memiliki kekayaan tanpa batas dan menjadikan jurang sangat besar antara golongan kaya dan miskin, ini benar-benar membuktikan sistem ini gagal memberi kesejahteraan hidup. Hal ini membawa kesan negatif kepada wanita untuk menjadi pengurus dan pengatur rumahtangganya, kesibukan bekerja para ibu menjadikan pengabaian jangka panjang kepada anak-anak. Isu penderaan, pencabulan, kematian kanak-kanak di pusat jagaan semakin meningkat. Pendedahan dan eksploitasi kecantikan wanita sebagai pelaris produk dan jualan menyumbang kepada gejala sosial.

Panel ketiga, Puan Iffah Ainur Rochmah (Jurucakap Muslimah Hizbut Tahrir Indonesia) menegaskan bahawa kemiskinan tidak akan boleh dihapuskan dengan pemerkasaan wanita dalam jerat ekonomi. Justeru kemiskinan massal dan kegagalan pembangunan ekonomi mensejahterakan nasib wanita adalah berpunca daripada penerapan sistem ekonomi kapitalisme yang mendunia kini. Kapitalisme mengatur pengagihan pendapatan dalam Negara secara global, bukan seluruh rakyat per individu. Titik masalah semakin membesar apabila perempuan didorong mandiri ekonomi dan mempunyai sumber pendapatan sendiri untuk menafkahi diri dan anak-anaknya. Beliau mengambil iktibar pemerintah zaman kegemilangan Islam seperti Abu Bakar, Umar al-Khattab, Harun Al-rasyid yang bertakwa dan sangat adil dalam mengurus keperluan rakyatnya kerana takutkan pertanggungjawaban Allah di akhirat kelak.

Puan Iffah menjelaskan dengan terperinci tiga mekanisme Islam menjamin keperluan asas wanita dan anak-anak. Pertama, Islam menjamin keperluan asas wanita melalui kewajiban nafkah oleh suami/ayah. Di sini peranan Negara agar mampu menyediakan seluas-luasnya peluang pekerjaan kepada kaum lelaki kerana mereka dalah pencari nafkah utama. Kedua, Islam mewajibkan daripada nafkah kerabat lelaki apabila suami/ayah wanita tidak mampu. Ketiga,Negara melalui Baitul Mal menjamin nafkah para wanita secara langsung apabila tiada sesiapa yang mampu menafkahinya. Demikian besarnya perhatian Islam terhadap peranan wanita sebagai pengasuh dan pendidik generasi. di dalam sistem ekonomi Islam, wanita tidak dibiarkan mencari nafkah sehingga mengabaikan kewajibannya yang mulia. Islam tidak melarang wanita bekerja, bekerja bagi seorang wanita sekadar pilihan seperti mengamalkan ilmunya atau kepakarannya untuk kemaslahatan umat yang memerlukannya.

Persidangan yang dikendalikan oleh moderator, Puan Izzah Zul diteruskan dengan perbincangan hangat dalam sesi sidang terbuka. Tokoh daripada Acheh, Puan Habsa Puteh menyatakan realiti semasa kenaikan harga barang di Acheh yang menghimpit wanita di sana. Walaupun terkenal dengan Negara pertanian, tetapi Indonesia kini menjadi Negara pengimport makanan menjadikan petani-petani tempatan terpinggir. Seterusnya, mahasiswa universiti Acheh, Susan, mengaitkan kebergantungan ekonomi Malaysia dan Indonesia kepada Negara-negara Barat. Sebagai pelajar,beliau menyatakan hampir semua alat pembelajaran seperti jurnal, yang diperlukan bergantung daripada Negara barat.

Seorang pensyarah daripada IPT Malaysia, Puan Rozita Zulaikha menyatakan persetujuan mengenai perkaitan antara pemerkasaan ekonomi wanita dengan penningkatan tahap kriminal. Sebagai Negara yang masih terjajah secara ideologi, Negara-negara muslim terpaksa menerima pelbagai invasi daripada Negara barat samada di bidang ekonomi, pendidikan, budaya, maklumat, hiburan, teknologi dan yang paling memilukan menjadi pasaran pengguna produk Negara barat. Seterusnya bersidangan berakhir dengan ucapan penggulungan daripada Ustazah Aisyah Rahmat, wakil Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia. Persidangan diakhiri dengan bacaan doa dan sesi bergambar kenang-kenangan. Wallahualam.

Ummu Ammar Al-Fateh
Pengarah Persidangan Tokoh Ekonomi 2017


























SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment