Qard[un] (Hutang)

Al-qardhu berasal daripada kata qaradha–yaqridu–qardh[an]. Secara bahasa erti asalnya adalah al-qath’u (potongan). Hutang disebut qardh[un] kerana pemiutang (yang memberi hutang) seakan telah memotong sepotong harta miliknya yang dia hutangkan. Di dalam berbagai kamus dikatakan bahawa al-qardhu adalah harta yang diberikan untuk dibayar kembali nanti.


Hukum

Memberi hutang kepada orang yang sedang kesulitan merupakan salah satu bentuk taqarrub kepada Allah SWT. Memberi hutang bagi penghutang hukumnya sunnah. Abu Hurairah RA. meriwayatkan bahawa Nabi SAW pernah bersabda,

مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَاْلآخِرَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللهُ فِي الدُّنْيَا وَاْلآخِرَةِ وَاللهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ

“Siapa sahaja yang meringankan suatu kesulitan dunia daripada seorang Mukmin niscaya Allah meringankan daripadanya kesulitan akhirat. Siapa sahaja yang mempermudahkan seseorang yang sedang mengalami kesukaran niscaya Allah memberinya kemudahan di dunia dan akhirat. Siapa sahaja yang menutupi aib seorang Muslim niscaya Allah menutupi aibnya di dunia dan akhirat. Allah selalu menolong hamba selama hamba menolong saudaranya” [HR Muslim, Abu Dawud dan at-Tirmidzi].

Ibn Mas’ud RA menuturkan bahawa Nabi SAW pernah bersabda,

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يُقْرِضُ مُسْلِماً بِقَرْضٍ مَرَّتَيْنْ إِلاَّ كَانَ كَصَدَقَةٍ مَرَّةٍ

“Tidaklah seorang Muslim memberi hutang sebanyak dua kali kepada Muslim yang lain kecuali (pahalanya) seperti sedekah satu kali” [HR Ibn Majah, Ibn Hiban dan al-Baihaqi].

Adapun bagi pihak yang berhutang, hukumnya adalah mubah. Hal itu kerana Rasul SAW juga pernah berhutang. Aktiviti Baginda itu bukan merupakan penjelasan atas suatu perintah. Juga tidak ada pujian atasnya; tidak mempunyai maksud taqarrub di dalamnya. Oleh kerana itu, hukum berhutang adalah mubah.

Ketentuan Berkenaan Hutang

Hutang merupakan akad. Oleh kerana itu, akad hutang itu perlu memenuhi rukunnya iaitu: (1) Dua pihak yang berakad iaitu al-muqridh (pemberi hutang/pemiutang) dan al-mustaqridh (yang berhutang/penghutang). (2) Ijab dan qabul yang dapat menggunakan lafaz qardh atau salaf atau yang maknanya sama iaitu hutang. (3) Harta yang dihutangkan.

Akad hutang merupakan akad pemindahan pemilikan (‘aqd tamlîk) sehingga perlu dilakukan oleh orang yang secara syarie boleh melakukan tasharruf. Dalam akad hutang pemiutang memindahkan pemilikan hartanya kepada penghutang. Itu menunjukkan pemiutang haruslah pemilik harta yang dihutangkan atau orang yang diizinkan oleh pemilik harta tersebut.

Akad hutang tidak sempurna kecuali dengan serah terima. Jika harta yang dihutang termasuk harta yang ditakar, ditimbang atau dihitung maka perlu diserah terimakan zatnya. Al-Mustaqridh (penghutang) baharu boleh melakukan tasharruf terhadap harta itu setelah diserah terimakan kepadanya zat harta itu. Ertinya, harta itu perlu sudah di dalam genggamannya. Manakala bagi harta selain yang ditakar, ditimbang dan dihitung, pemilikan harta itu sah berpindah kepada al-mustaqridh (penghutang) sejurus selesai akad. Ertinya, setelah selesai akad, al-mustaqridh terus boleh melakukan tasharruf terhadapnya meskipun harta itu belum dia pindahkan atau belum dia pegang (belum berada di dalam genggamannya).

Harta yang dihutang secara umum ada dua jenis. Pertama harta ghayr mitsliy[an], iaitu barang yang tidak mempunyai padanan dan tidak boleh dicarikan padanannya seperti haiwan, kayu bakar, pakaian, hartanah dan barang sejenis yang hanya boleh dihitung berdasarkan nilainya. Secara lebih spesifik hutang seperti harta jenis ini disebut dayn.1 Dayn juga mencakupi hutang berupa pampasan harta lain dalam akad pertukaran harta yang penunaiannya ditunda setelah tempoh tertentu atau harga barang yang disepakati akan dibayar setelah tempoh tertentu.

Kedua: harta yang bersifat mitsliy[an] (memiliki padanan dan boleh dicarikan padanannya). Contoh: beras jenis tertentu, kain jenis tertentu, emas, perak, wang dan sejenisnya. Secara umum barang yang piawaian takaran, timbangan dan hitungan termasuk harta jenis ini. Secara lebih spesifik hutang harta jenis ini disebut qardh[un]. Hutang dalam bentuk qardh[un] ini perlu dikembalikan dengan harta yang sama baik dari sisi jenis, jumlah mahupun sifatnya.

Pembayaran Hutang

Syariah menetapkan, akad hutang tidak boleh dijadikan sebagai cara untuk memperoleh penghasilan juga bukan cara untuk melakukan eksploitasi. Syariah melarang hutang yang melahirkan tambahan manfaat, baik berupa faedah lain atau tambahan jumlah harta yang dihutang. Tambahan itu adalah riba. Jika tambahan itu disyaratkan di dalam akad maka itu adalah riba dan hukumnya haram. Ali RA. berkata,

إِنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم نَهَى عَنْ قَرْضٍ جَرَّ مَنْفَعَةً

“Sesungguhnya Nabi SAW telah melarang hutang yang menarik suatu faedah” [HR al-Harits bin Abi Usamah].

Ibn al-Mundzir menyatakan, para Sahabat Nabi SAW telah berijmak bahawa jika pemberi hutang mensyaratkan kepada pihak berhutang suatu tambahan atau hadiah, lalu dia memberi hutang berdasarkan hal itu maka mengambil tambahan itu adalah riba. 2

Jika tidak disyaratkan di dalam akad, maka jika tambahan itu berupa tambahan jumlah harta yang sama maka jelas itu adalah riba. Jika tambahan itu berupa harta lain seperti dalam bentuk hadiah atau faedah seperti tumpangan maka itu juga tidak boleh; kecuali hal itu biasa terjadi di antara keduanya sejak sebelumnya dan bukan kerana akad hutang itu. Yahya bin Abiy Ishaq al-Huna’i menuturkan, “Aku bertanya kepada Anas bin Malik RA, tentang seseorang yang menghutangi (memberi qardh) saudaranya harta, lalu saudaranya itu memberinya hadiah. Anas RA, berkata Rasulullah SAW pernah bersabda,

إِذَا أَقْرَضَ أَحَدُكُمْ قَرْضًا فَأَهْدَى لَهُ أَوْ حَمَلَهُ عَلَى الدَّابَّةِ فَلاَ يَرْكَبْهَا وَلاَ يَقْبَلْهُ إِلاَّ أَنْ يَكُونَ جَرَى بَيْنَهُ وَبَيْنَهُ قَبْلَ ذَلِكَ

“Jika salah seorang di antara kalian memberi hutang (qardh), lalu dia diberi hadiah (oleh penghutang) atau si penghutang membawanya di atas haiwan tunggangan maka jangan dia menaikinya dan jangan menerima hadiah itu kecuali yang demikian itu biasa terjadi di antara keduanya sebelum hutang-piutang itu berlaku” [HR Ibn Majah].

Hadis penuturan Abu Rafi’ RA,
Nabi SAW pernah berhutang seekor anak unta. Lalu datanglah seekor unta sedekah. Kemudian Nabi SAW menyuruhku untuk membayar anak unta itu. Aku berkata, “Saya tidak menemukan unta selain unta yang lebih baik yang berupa unta berumur enam tahun.” Rasul SAW bersabda,

أَعْطِهِ إِيَّاهُ إِنَّ خِيَارَ النَّاسِ أَحْسَنُهُمْ قَضَاءً

“Berikan kepadanya. Sesungguhnya sebaik-baik manusia adalah yang lebih baik pengembaliannya” [HR al-Bukhari, Muslim, Malik, Abu Dawud dan at-Tirmidzi].

Daripada hadis tersebut jelas menunjukkan bahawa pengembalian yang lebih baik itu tidak disyaratkan sejak awal tetapi atas inisiatif murni daripada pihak yang berhutang (al-mustaslif). Itu juga bukan tambahan atas jumlah sesuatu yang dihutang kerana tidak ada tambahan atas jumlah unta yang dibayarkan dan tidak ada pula tambahan apapun atas unta yang dihutangkan. Itu tidak lain adalah pengembalian yang semisal dengan apa yang dihutangkan; seekor haiwan dengan seekor haiwan, namun lebih tua dan lebih besar tubuhnya. Itulah yang dimaksud dengan pengembalian yang lebih baik (husn al-qadhâ’).

Secara syarie husn al-qadhâ’ hukumnya boleh. Husn al-qadhâ’ adalah mengembalikan hutang semisal apa yang dihutangkan (jumlah dan jenisnya) tetapi dengan kualiti atau ukuran lebih baik. Jika diperhatikan, husn al-qadhâ’ ini boleh dilakukan dalam hutang yang berbentuk dayn dan tidak dalam qardh[un]. Hutang dalam bentuk qardh[un] perlu dikembalikan dengan harta yang sama baik jenis, ukuran, sifat, dan jumlahnya.

Memberi Penangguhan Dan Pengurangan Hutang

Hukum memberi penangguhan kepada orang yang dalam kesulitan saat tiba tempoh pembayaran baik hutang dalam bentuk dayn atau pun qardh adalah sunnah (TMQ al-Baqarah [2]: 280). Memberi pengurangan hutang baik sebahagian atau semua juga sunnah hukumnya. Abu Qatadah berkata, bahawa Rasul SAW pernah bersabda,

مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُنْجِيَهُ اللهُ مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ فَلْيُنَفِّسْ عَنْ مُعْسِرٍ أَوْ يَضَعْ عَنْهُ

“Siapa yang senang diselamatkan Allah daripada kesulitan pada Hari Kiamat maka hendaknya memberi keringanan kepada orang yang sedang kesulitan atau menggugurkan hutangnya” [HR Muslim].

Pengurangan hutang itu perlu inisiatif murni daripada pemberi hutang dalam bentuk tabarru’ (pemberian). Pengurangan hutang itu tidak boleh disyaratkan sejak awal di dalam akad baik dalam jumlah, kualiti atau ukurannya. Pengurangan itu juga tidak boleh diberikan sebagai pampasan daripada percepatan pembayaran hutang baik permintaan daripada pemberi hutang atau daripada pihak yang berhutang. Sebab, yang demikian adalah riba.

Segera Membayar Hutang Sebelum Ajal

Rasul SAW pernah bersabda,

نَفْسُ الْمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ، حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

“Jiwa seorang Mukmin tergantung kerana hutangnya hingga hutangnya dibayarkan” [HR Ahmad, ad-Darimi, Ibn Majah dan at-Tirmidzi].

Wallâh a’lam wa ahkam.

Oleh: Yahya Abdurrahman

Nota kaki:

1. Dayn lebih umum daripada qardh. Dayn sebenarnya juga mencakupi qardh. Setiap qardh adalah dayn tetapi tidak setiap dayn adalah qardh. Lihat perbezaan keduanya dalam Samih ‘Athif az-Zain, Al-Mu’amalat, hlm. 285 dan 303-304, Dar al-Kitab al-Lubnani, Lubnan, cetakan I, 1995; Abu Hilal al-‘Askari, Al-Furuq al-Lughâwiyah, 1/425. Adapun terkait dengan pemanfaatan cagaran hutang baik dayn atau qardh lihat: an-Nabhani, Asy-Syakhshiyyah al-Islâmiyyah, II/340-343, min mansyurat Hizb at-Tahrir, Dar al-Ummah, Beirut, cet. v (mu’tamadah). 2003.
2. Muhammad bin Ibrahim bin al-Mundzir an-Nisaburi, Al-Ijmâ’, 1/95, ed. Dr. Fuad Abdul Mun’im Ahmad, Dar ad-Da’wah, Iskandariyah, cet. iii. 1402

Sumber: https://hizbut-tahrir.or.id/2008/12/30/qardun-utang/
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment