Di Mana Tidak Syarienya RUU 355?

Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) terus hangat diperkatakan menjelang perhimpunan besar yang akan diadakan di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada hari Sabtu (18hb) nanti. Ia semakin panas apabila tercetusnya perbezaan pendapat dalam kalangan agamawan dan juga ahli politik, sehingga menimbulkan suasana saling “menghentam” antara satu sama lain. Kepanasannya semakin merebak apabila hujah yang sepatutnya dilawan dengan hujah, kemudiannya bertukar menjadi serangan peribadi yang juga dibalas dengan serangan peribadi yang akhirnya semakin jauh dari tajuk asal. Kepentingan politik dan keegoan pihak-pihak tertentu juga semakin lama semakin zahir apabila isu ini semakin rancak dibincangkan. Bagi umat Islam yang mempunyai pemikiran yang jernih, mereka akan nampak segala kekeruhan dan cara penyelesaiannya dalam isu ini. Manakala bagi mereka yang kurang ilmu, taksub dan tidak berfikir jauh, akan terus tenggelam di dalam kejumudan berfikir dan perdebatan yang tidak berpenghujung.

Tidak ada seorang Muslim pun yang berhak menolak hukum Allah SWT, kerana perbuatan ini bukan sahaja boleh mendatangkan dosa yang besar, malah boleh menggelincirkan akidah. Namun persoalannya dalam isu RUU 355 ini ialah, adakah ia merupakan hukum Allah SWT sehingga tidak boleh ditolak atau dipertikaikan? Inilah persoalan yang mesti dirungkai terlebih dahulu sebelum terjun ke dalam perbincangan yang lebih jauh. Dengan syarat tidak ada agenda tertentu, sesungguhnya usaha untuk memastikan RUU 355 diluluskan oleh Parlimen mencerminkan kehendak umat Islam kepada pelaksanaan hukum Islam yang begitu membara. Sayangnya banyak pihak tidak nampak bahawa kehendak dan cita-cita murni untuk melihat hukum syarak diterapkan, hendaklah juga dilakukan dengan “jalan” yang menepati syarak.

Jalan demokrasi dan Parlimen yang disediakan oleh sistem sekular, bukanlah jalan yang syarie untuk menegakkan hukum Allah SWT. Ini kerana, sistem demokrasi yang berpaksikan kepada konsep al-siyadah li sya’bi (kedaulatan di tangan rakyat) meletakkan kehendak/suara majoriti manusia sebagai syarat sebelum sesuatu undang-undang, termasuklah “hukum Allah” diluluskan. Dengan kata lain, hukum Allah mana pun tidak akan dapat dilaksanakan selagi manusia (ahli Parlimen) tidak bersetuju secara majoriti! Melalui sistem kufur ini, manusia telah mengambil hak Allah sebagai Al-Syari’ (Pembuat hukum) dan hal ini merupakan keharaman secara mutlak, malah boleh menjerumuskan seseorang kepada kesyirikan jika disertai dengan i’tiqad. Mana mungkin hukum Allah boleh ditundukkan kepada kehendak majoriti manusia sebelum dilaksanakan? Justeru, pembuatan hukum di Parlimen tidak akan menjadikan sesuatu hukum itu sebagai hukum Allah, kerana hukum Allah bukanlah suatu yang tertakluk kepada pembuatan dan kelulusannya oleh manusia.

Sekilas Isi RUU 355

Hujah di atas sahaja sudah cukup untuk menyatakan bahawa RUU 355 adalah suatu yang tidak syarie, apatah lagi jika dilihat rinciannya. Sepertimana peruntukan dalam Akta 355 yang sedia ada, RUU 355 juga tidak terpakai ke atas orang-orang kafir. Lebih menyedihkan, usaha keras dilakukan bagi memberi penerangan kepada orang-orang kafir bahawa RUU 355 tidak terpakai kepada mereka dan mereka tidak perlu takut. Sedangkan hukum Allah SWT adalah hukum untuk manusia, tidak kira kafir atau Muslim, kecuali beberapa hukum khusus yang dinyatakan oleh Islam yang tidak terpakai kepada orang-orang kafir seperti hal-hal perkahwinan, pakaian, makan-minum dan beberapa yang lain yang sangat sedikit jumlahnya. Selebihnya, dalam masalah jinayat, hudud, ta’zir, mukhalafat dan muamalat kesemua hukum Allah terpakai ke atas Muslim dan kafir secara sama rata.

Dalam al-Quran dan al-Hadis, terlalu banyak nas yang menjelaskan bahawa orang-orang kafir juga tertakluk kepada hukum Islam, baik uqubat mahupun muamalat. Negara Islam ialah sebuah negara yang menerapkan hukum Islam secara kaffah, baik ke atas warga Muslim mahupun non-Muslim, kerana undang-undang Islam merupakan undang-undang negara, bukannya undang-undang ke atas orang-orang Islam sahaja. Firman Allah SWT,

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu menghukum antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu” [TMQ al-Nisa (4):105].

Rasulullah SAW pernah menulis surat kepada penduduk Najran yang beragama Nasrani, dengan kalimat yang amat tegas sekali, di mana baginda bersabda,

“Sesungguhnya siapa saja di antara kamu yang melakukan transaksi (jual beli) dengan riba, maka tidak ada lagi perlindungan (zimmah) atasnya.”

FirmanNya yang lain,

“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab sebahagian dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik” [TMQ al-Ma’idah (5):49].

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim,
“Bahawa Rasulullah SAW telah menghukum rejam dua orang Yahudi. Kedua-duanya sebelum berzina telah merasai persetubuhan melalui perkahwinan di dalam agamanya.”

Dalam usul RUU 355, hukum bunuh dikecualikan dan hukum potong tangan tidak dinyatakan. Ini bermakna, mahkamah syariah tetap tidak mempunyai bidangkuasa untuk menghukum bunuh atau memotong tangan pesalah. Sedangkan di dalam Islam terdapat hukum bunuh (qisas) bagi si pembunuh, bagi orang-orang yang murtad, penzina muhsan (yang telah berkahwin), pelaku liwat dan lain-lain. Manakala hukuman potong tangan bagi pencuri, juga merupakan hukum Islam yang sangat jelas nas-nasnya, yang tidak termasuk dalam RUU 355. Justeru, apa guna usaha pemerkasaan mahkamah syariah jika mahkamah tetap tidak dapat melaksanakan hukuman sebagaimana yang Allah perintahkan?

Manakala dari aspek hukuman penjara maksimum 30 tahun yang terdapat dalam RUU 355, perlu difahami bahawa menghadkan bidangkuasa mahkamah untuk menjatuhkan hukuman maksimum kepada 30 tahun bukanlah suatu yang syarie. Ini kerana, untuk kesalahan hudud, ya, Allah SWT telah menghadkan hukuman kepada batas-batas tertentu, tetapi bagi kesalahan ta’zir, ia tidak terhad. Dalam kes pembunuhan berkumpulan (jinayat) sebagai contoh, sesiapa sahaja yang terlibat secara langsung dengan pembunuhan tersebut, maka ia hendaklah diqisas. Namun jika ia hanya bersubahat dan tidak membunuh, maka hukumannya adalah penjara dan boleh dipenjarakan seumur hidup (lebih daripada 30 tahun) bergantung kepada berat-ringan kesalahannya. Diriwayatkan oleh Imam Syafie daripada Ali bin Abi Thalib di mana Ali berkata dalam satu kes pembunuhan berkumpulan,
“Pembunuhnya hendaklah dibunuh, sedangkan yang lain dimasukkan ke penjara sampai mati” [Nidzam al-Uqubat, Abdurrahman al-Maliki].

Ada yang beranggapan bahawa hukuman sebat 100 rotan, yang bakal dipinda dalam RUU 355 itu bertepatan dengan syariah. Ya kita tidak nafikan dari segi bilangan sebatan maksimum untuk kes hudud ialah sebanyak 100 kali. Namun kita perlu ingat bahawa hukum syarak itu merupakan hukum yang terpancar atau lahir daripada akidah Islam, bukannya hukum yang lahir daripada kelulusan majoriti manusia. Jika sesuatu hukum itu dilaksanakan atas dasar majoriti manusia yang meluluskannya, dan bukannya atas dasar akidah yang melahirkannya, maka apa bezanya sekiranya negara seperti Amerika Syarikat meluluskan sebatan 80 kali untuk peminum arak, dengan Malaysia meluluskan sebatan 80 kali untuk kesalahan yang sama? Walaupun bilangannya sama dengan kehendak Islam, apakah kita akan mengatakan bahawa Amerika Syarikat telah melaksanakan hukum hudud ke atas peminum arak? Hakikatnya, pelaksanaan suatu hukum yang datang daripada kelulusan manusia, maka statusnya tetaplah bukan merupakan hukum Allah, tetapi merupakan hukum buatan manusia. Ingatlah bahawa hukum Allah itu wajib dilaksanakan, tidak kira seluruh manusia setuju atau tidak, kerana hukum Allah itu tidak tertakluk kepada persetujuan atau kelulusan manusia sedikit pun.

Sesungguhnya hukum Islam itu terpancar daripada akidah Islam, yang bererti pelaksanaan segala undang-undang Islam itu dilakukan kerana akidah Islam yang kita miliki mewajibkan pelaksanaannya, bukan pelaksanaannya dilakukan kerana majoriti ahli parlimen meluluskannya. Dalam konteks ini, negara (pemerintah) adalah pihak yang ditaklifkan oleh Allah SWT untuk menerapkan undang-undang Islam, tanpa melalui proses kelulusan manusia. Jika pemerintah tidak melakukannya, maka tanggungjawab bagi setiap Muslim dan parti politik Islam ialah memuhasabah pemerintah dan menggantikannya jika ia tetap ingkar.

Mahkamah Dalam Islam

Selain itu, RUU 355 sebenarnya hanya melibatkan sedikit pindaan terhadap bidangkuasa mahkamah dari segi “hukuman” semata-mata, tanpa merubah “jenis-jenis kesalahan” syariah yang masih lagi tertakluk kepada Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Dengan kata lain, apa yang ingin dipinda hanyalah konsep “3-5-6” (3 tahun penjara, 5 ribu ringgit denda dan 6 kali sebatan) yang sering dipalitkan terhadap mahkamah syariah. Kita kena faham bahawa mahkamah syariah tetap tidak mempunyai bidangkuasa ke atas kes-kes bunuh, mencuri, merompak, rasuah, kes-kes wasiat dan pewarisan, kes tanah, kontrak, syarikat dan banyak lagi kesalahan lain yang termaktub dalam Jadual Kesembilan dan juga di bawah Kanun Acara Jenayah (Akta 593). Bidang kuasa mahkamah syariah sangat sempit dan terbatas, kerana “kesalahan syariah” hanya dihadkan kepada kesalahan-kesalahan tertentu di bawah Jadual Kesembilan, yang bermaksud kesalahan-kesalahan seperti membunuh, mencuri, rasuah dan lain-lain, bukan merupakan kesalahan syariah!

Kesilapan besar para pejuang dan penyokong RUU 355 ialah apabila tidak memahami bahawa mahkamah yang ada sekarang bukanlah mahkamah syariah sebagaimana tuntutan Islam. Sesungguhnya Islam tidak mengenal pemisahan antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah, kerana dalam sebuah Negara Islam sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan Khulafa’ al-Rasyidin, semua warganegara adalah tertakluk kepada mahkamah yang sama, yakni mahkamah yang menerapkan hukum Islam sepenuhnya berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah. Adapun mahkamah syariah yang wujud sekarang ialah mahkamah yang menerapkan undang-undang yang diluluskan oleh manusia, baik di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri di bawah sistem demokrasi. Kerana itulah, bidangkuasa mahkamah dan segala peraturan dan prosedurnya hanyalah terbatas setakat “kehendak” (kelulusan) manusia sahaja, bukannya berdasarkan kehendak Allah SWT.

Di dalam Islam, terdapat tiga jenis mahkamah iaitu Mahkamah Madzalim (yang membicarakan kes-kes terkait dengan pemerintah dan persengketaan antara pemerintah dan rakyat), Mahkamah Khusumat (yang membicarakan kes-kes persengketaan sesama warganegara) dan Mahkamah Hisbah (untuk kes-kes yang melanggar hak umum). Inilah tiga jenis mahkamah yang diistinbat (digali) kewujudannya berdasarkan nas-nas yang jelas dan telah pun wujud di sepanjang kekhilafahan Islam lebih daripada 13 abad. Adapun pemisahan antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah yang ada pada hari ini hanyalah merupakan rekayasa penjajah kuffar yang telah menjajah negara kita dan memaksakan sistem kufur mereka ke atas kita. Dalam konteks ini, apa yang perlu kita lakukan sekarang ialah merombak keseluruhan sistem mahkamah agar kembali kepada mahkamah Islam dan berhukum dengan Kitabullah dan Sunnah Rasul sepenuhnya, bukannya dengan “memperkasakan” mahkamah syariah dengan sedikit batas hukuman yang diluluskan oleh kita sendiri!

Sistem demokrasi yang diterapkan pada hari ini memang telah rosak dari akar-akarnya. Sistem ini telah meracun dan membius umat Islam sehingga ramai yang tidak nampak kebatilannya. Gerakan Islam yang terjebak dengan demokrasi sering tersasar dari landasan kerana segala ruang lingkup fikrah dan aktivitinya didasarkan kepada sistem kufur ini. Hasilnya, gerakan Islam semakin jauh daripada fungsinya sebagaimana digariskan oleh Allah SWT di dalam Surah Ali Imran ayat 104 apabila tidak lagi menyeru kepada Islam, sebaliknya menyeru kepada demokrasi. Tugas gerakan Islam untuk melakukan muhasabah kepada pemerintah juga telah terabai apabila ia turut sama dengan parti pemerintah dalam hal menggubal undang-undang di bawah sistem demokrasi.

Pemerintah di bawah sistem demokrasi lagi jauh masuk ke dalam jurang. Mereka telah memisahkan agama daripada kehidupan (sekularisme) sesuai dengan ajaran demokrasi kepada mereka. Urusan pemerintahan sama sekali tidak boleh dicampur adukkan dengan urusan agama. Agama merupakan hak Tuhan, manakala pemerintahan adalah hak manusia. Atas dasar itu, untuk menjalankan roda pemerintahan, manusia membuat hukum sendiri dengan mengenepikan hak Tuhan sebagai Pembuat hukum! Malah hukum Tuhan sama sekali tidak boleh dilaksanakan kecuali dengan izin daripada manusia! Walhal tugas pemerintah dalam Islam ialah menerapkan hukum Allah secara kaffah.

Khatimah

Sungguh sedih apabila menyaksikan seluruh kekuatan gerakan Islam, dan seluruh kekuatan umat Islam dikerahkan untuk menghadiri perhimpunan 355, yang bukan sahaja menunjukkan bahawa perjuangan melalui Parlimen sudah tidak lagi berkesan untuk menerapkan Islam, malah kekuatan umat dikerahkan untuk merealisasikan hakikat yang demokrasi itu lebih tinggi daripada hukum Islam! Alangkah baiknya jika kekuatan itu dikerahkan untuk memuhasabah pemerintah agar menerapkan Islam secara kaffah, bukannya menumpu kepada RUU 355 yang dijadikan bola oleh pemerintah untuk ditendang ke sana ke mari. Sukar sangatkah untuk kita memahami bahawa jika pemerintah ini mahukan Islam, nescaya sudah lama mereka menerapkannya, tetapi ternyata mereka tidak melakukannya. Maka, apakah kita akan terus membiarkan diri dipermainkan oleh pemerintah, atau kita turut ingin “bermain-main” dengan pemerintah dalam hal ini? Semoga Allah SWT membuka hati-hati kita untuk melihat kebenaran sebagai kebenaran dan kebatilan sebagai kebatilan. Ayuhlah, kita berjuang untuk membawa Malaysia dan lain-lain negara umat Islam, ke arah penerapan Islam secara kaffah di dalam bingkai negara Khilafah, bukan hanya menyempitkan perjuangan kepada penerapan “hukuman” semata-mata.
Wallahu a’lam.

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment