Hukum Membawa Kes Ke Mahkamah Dalam Sistem Kufur/Sekular


Soalan:
Bolehkah kita membawa kes ke mahkamah untuk menuntut hak kita di bawah sistem sekular/kufur? Jika boleh, adakah terdapat apa-apa syarat untuk keadaan seperti ini?

Jawapan:

1. Siapa pun berhak untuk menuntut hak-haknya dan menuntut untuk menghilangkan ketidakadilan ke atasnya atau untuk mempertahankan dirinya, dengan cara membuktikan hak-haknya atau berusaha menghilangkan ketidakadilan yang dikenakan ke atasnya, sesuai dengan tuntutan syarak. Dia juga mempunyai hak untuk melantik orang lain (seperti peguam) untuk melakukan hal ini bagi pihaknya.

2. Hak tersebut hendaklah hak yang dibenarkan syarak (untuk dituntut) dan bukannya hak yang dibenarkan oleh undang-undang buatan manusia yang bertentangan dengan syarak. Begitu juga dengan ketidakadilan yang dikenakan ke atasnya, yang mesti dibuktikan berdasarkan syarak, bukan berdasarkan undang-undang buatan manusia. Sekiranya seorang Muslim menjual arak dan si pembeli tidak membayar harganya, harga ini tidak dikira sebagai haknya sebagai Muslim, kerana perbuatannya bertentangan dengan syarak, walaupun undang-undang manusia membenarkan. Oleh yang demikian, dia tidak berhak menuntutnya. Sama halnya jika sebuah syarikat insuran tidak membayar penginsuran atas satu kemalangan yakni tidak membayar pampasan kepadanya dan tidak memberi “keadilan” kepadanya dengan cara yang sepatutnya, ini bukanlah dikira sebagai suatu ketidakadilan oleh syarikat insuran, kerana syarak tidak mengiktiraf (mengharamkan) perniagaan insuran. Jadi, adalah salah untuk melakukan tuntutan untuk menghilangkan kezaliman dalam kes seperti ini atau menuntut pampasan. Begitulah hukumnya untuk kes-kes yang seumpamanya.

3. Haram bagi setiap Muslim untuk melakukan tuntutan mahkamah bagi kes-kes yang tidak dibenarkan oleh syarak ataupun menuntut untuk menghilangkan kezaliman yang tidak dibenarkan oleh syarak. Begitu juga dengan peguam, yang tidak boleh (haram) membawa atau mengendalikan kes sama ada untuk menuntut hak atau menghilangkan kezaliman bagi pihak anak guamnya, sekiranya hak atau kezaliman itu merupakan suatu yang tidak diizinkan syarak. Oleh itu, apa jua perbicaraan yang dilakukan oleh seorang Muslim atau peguamnya, dengan mengemukakan bukti-bukti atau nas-nas yang salah, atau dengan menggunakan kebijaksanaannya dalam berhujah, kepetahan atau kelicikannya, dalam rangka mendapatkan suatu hak, dengan bergantung kepada undang-undang buatan manusia atau cara yang tidak syarie, semua ini merupakan kesalahan di sisi Islam. Jika ia menang dan memperolehi apa yang dituntutnya dengan cara ini, maka apa ia perolehi sebenarnya ialah secebis daripada api neraka, sebagaimana dinyatakan dalam hadis.

Apa jua pembelaan yang dilakukan oleh seorang Muslim atau seorang peguam, dengan memuji atau mengagumi undang-undang buatan manusia atau “keadilannya” atau pembuatnya, semua ini akan menjadikan pelakunya berdosa, kerana sesungguhnya kesemua undang-undang buatan manusia itu (selain undang-undang Allah) adalah batil dan zalim. Dalam rangka menuntut hak atau menghilangkan kezaliman atau mempertahankan diri seseorang, apa yang dibenarkan ke atas Muslim atau peguamnya hanyalah untuk mengemukakan bukti, nas dan hujah, yang selari dengan kebenaran atau hukum syarak yang Allah SWT perintahkan.

4. Menuntut hak atau menghilangkan kezaliman atau mempertahankan diri yang dilakukan oleh seseorang atau peguamnya demi mendapatkan kebenaran atau menghilangkan kezaliman atau mengemukakan bukti atau hujah dan sebagainya, dalam keadaan di mana syarak membenarkan hal itu, maka semua ini boleh dilakukan sama ada di Negara Islam mahupun negara kufur, berdasarkan sebab-sebab berikut:-

Nas-nas yang menerangkan tentang hak-hak mempertahankan diri, harta dan maruah, sehingga ke tahap mati (syahid) dalam melakukannya, menunjukkan kebolehan (dengan menyebut tahap yang maksimum sekaligus membenarkan tahap yang minimum) mempertahankan diri dengan mengemukakan bukti dan hujah yang syarie. Nas-nas ini tidak pernah dihadkan kebolehannya untuk dilakukan hanya dalam Darul Islam dengan mengecualikan Darul Kufur. Tidak demikian. Nas-nas menunjukkan kebolehan untuk melakukannya baik dalam mahkamah Negara Islam mahupun mahkamah negara kufur.
Kaum Muslimin yang berhijrah ke Habsyah telah mempertahankan diri mereka di depan (perbicaraan) Raja Najasyi, agar mereka tidak diserahkan kepada kaum kafir Quraisy. Dalam masa yang sama mereka (kaum Muslimin) telah membuktikan kezaliman Quraisy terhadap mereka dan mereka (kaum Muslimin) berada di jalan kebenaran manakala kaum Quraisy di jalan kezaliman.

Taqrir (pembenaran) Rasulullah SAW terhadap kaum Muslimin yang tetap tinggal di Mekah yakni mereka yang tidak berhijrah ke Madinah (sebelum fathu Mekah), secara dalalah al-iqtidha’ (makna yang dikehendaki) bahawa mereka (kaum Muslimin) dibenarkan menuntut hak mereka dan menghilangkan kezaliman ke atas mereka, kerana hal seperti ini sememangnya dharuri (keperluan) dalam kehidupan mana-mana masyarakat di mana-mana negara sekalipun.

Tatkala Bilal diseksa dan diperlakukan dengan amat kejam oleh tuannya, Umayyah bin Khalaf, sesuai dengan undang-undang Jahiliyyah yang sedang berkuatkuasa di Mekah ketika itu yang membenarkan seorang tuan memperlakukan apa sahaja kepada hambanya, Abu Bakar datang lalu membelinya dan kemudian membebaskannya. Semua itu dilakukan dalam rangka menghilangkan kezaliman yang dikenakan ke atas Bilal. Hal itu diketahui oleh Rasulullah SAW dan ternyata Rasulullah SAW membenarkannya.

Atas dasar ini, dalam keadaan di mana seseorang ingin menuntut haknya, sebagai contoh jika tanah atau harta bendanya dirampas oleh pemerintah atau diceroboh oleh orang lain, atau ada pnghutang yang sengaja tidak mahu membayar hutangnya sedangkan penghutang tadi mampu membayarnya, atau dia telah difitnah dengan pelbagai tohmahan keji, maka dia boleh ke mahkamah, baik dalam sistem kufur/sekular mahupun dalam sistem Islam, dalam rangka untuk menuntut haknya atau menghilangkan kezaliman yang terkena ke atasnya. Justeru, Muslim yang tinggal di Amerika, Eropah dan lain-lain negara kafir diperbolehkan untuk menuntut hak mereka di mahkamah negara-negara tersebut asalkan tuntutan mereka itu adalah suatu yang dibenarkan syarak. Sama sebagaiman Muslim yang ada di Malaysia, Indonesia, Pakistan, Turki dan lain-lain negara sekular, pun dibenarkan melakukan hal yang sama.

Apa yang penting, tuntutan yang dilakukannya hendaklah sesuai dengan hukum syarak dan dia tidak menuntut lebih daripada itu. Dengan kata lain, tuntutan yang dilakukannya atau kezaliman yang ingin dihilangkannya, merupakan suatu perkara yang dibenarkan syarak untuk dilakukan dan bukan dilakukan kerana berpegang kepada undang-undang buatan manusia.

Perlu difahami di sini bahawa tindakan menuntut hak atau menghilangkan kezaliman dalam mahkamah di negara kufur/sekular bukanlah bermaksud seseorang itu mengiktiraf kewujudan sistem dan undang-undang kufur/sekular. Hal ini (pengiktirafan sistem/undang-undang kufur/sekular dengan persoalan tuntutan hak) merupakan dua hal yang berbeza. Ini sebagaimana tindakan kaum Muslimin yang berhujah dengan wakil Quraisy di hadapan Raja Najasyi atau tindakan Abu Bakar membebaskan Bilal, yang sama sekali tidak bermaksud bahawa mereka mengiktiraf sistem kufur (Jahiliyyah) yang sedia ada, tetapi hanya sekadar menuntut hak atau menghilangkan kezaliman yang dibenarkan oleh syarak untuk dilakukan oleh kaum Muslimin.

Sumber: Hizbut Tahrir Malaysia
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment