Kenyataan Media: JAIS Cemari Mimbar Masjid Dengan Fitnah


Kenyataan Media

JAIS Cemari Mimbar Masjid Dengan Fitnah

Setelah berusaha menghalang akses ke laman sesawang Hizbut Tahrir, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini sekali lagi menggunakan kuasa yang ada untuk terus menyebarkan fitnah ke atas Hizbut Tahrir. Untuk kali yang kedua, JAIS telah menggunakan mimbar masjid di seluruh Selangor sebagai pentas fitnah untuk menuduh Hizbut Tahrir sebagai sebuah gerakan sesat. Khutbah Jumaat bertajuk “Karam di Lautan Kesesatan” yang disediakan oleh JAIS telah dibacakan oleh khatib di masjid seluruh Selangor pada hari ini, yang memasukkan Hizbut Tahrir sebagai sebuah ajaran sesat sebaris dengan Syiah, Qadiani, Milah Abraham dan lain-lain.

Khutbah yang menyenaraikan Hizbut Tahrir sebagai sebuah gerakan sesat ini dilakukan tatkala kes Semakan Kehakiman sedang berjalan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, di mana Hizbut Tahrir memohon kepada Mahkamah untuk memerintahkan Mufti Selangor dan Jawatankuasa Fatwa Selangor (JFS) menarik balik fatwa sesat yang dikeluarkan ke atas Hizbut Tahrir. Selain Mufti dan JFS, Hizbut Tahrir turut menamakan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebagai Responden-responden dalam kes ini. Dengan khutbah yang dikeluarkan oleh JAIS pada hari ini, JAIS nampaknya bukan sahaja tidak menghormati institusi Mahkamah Syariah yang sedang mendengar kes ini, malah lebih buruk JAIS telah mencemarkan kesucian mimbar masjid di seluruh Selangor dengan menjadikannya medan untuk menabur fitnah. Hizbut Tahrir telah pun mengeluarkan bantahan/jawapan rasmi terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama Selangor, yang sehingga kini tidak dijawab. Sebaliknya pihak berkuasa agama di Selangor masih terus melakukan kerja-kerja fitnah yang diharamkan oleh Islam ini.

Wahai pihak berkuasa agama! Gunalah kuasa yang di tangan kalian untuk meneruskan fitnah dan pendustaan ini sehingga tiada satu pintu pun di muka bumi ini yang tidak dimasuki oleh fitnah tersebut! Inilah yang kalian mahukan, maka teruskanlah usaha ini dan kami serahkan urusan kalian kepada Allah (swt)! Sesungguhnya Hizbut Tahrir sudah pun mengingatkan kalian dan akan terus mengingatkan kalian. Semoga Allah (swt) melembutkan hati-hati kalian dengan nasihat kami, sebelum kalian kembali ke sisiNya, yang pada waktu itu semua penyesalan sudah tidak berguna. Maka beruntunglah orang-orang yang mendengar dan rugilah orang-orang yang keras jantungnya.

Wahai para khatib yang dikasihi! Sebelum menyampaikan khutbah, kajilah kebenaran teks khutbah yang kalian sampaikan agar institusi masjid yang mulia tidak digunakan sebagai tempat penyebaran fitnah yang dimurkai oleh Allah (swt). Jika kalian tidak mengetahui tentang Hizbut Tahrir, semoga Allah mengampuni kalian dengan apa yang kalian sampaikan tanpa ilmu. Namun, jika kalian mengetahui kebenaran bahawa Hizbut Tahrir bukanlah gerakan sesat sebagaimana fitnah yang dilontarkan oleh JAIS, maka beranilah untuk berkata benar, walaupun ada “harga” yang kalian perlu bayar untuk berbuat demikian. Sabda Rasulullah (saw)

«قُلِ الْحَقَّ وَإِنْ كَانَ مُرًّا»
“Katakanlah kebenaran walaupun pahit” [HR al-Baihaqi].

Kalian adalah para ulama yang sepatutnya takutkan Allah dan berkhutbah kerana mencari redha Allah semata-mata, bukannya berkhutbah kerana takutkan manusia dan mencari redha manusia. Maka berkata benarlah tentang Hizbut Tahrir jika kalian mengetahuinya dan kajilah Hizbut Tahrir jika kalian tidak mengetahuinya. Sesungguhnya pihak pemfitnah itu sudah jelas dan pihak yang difitnah juga jelas, sebagaimana jelasnya matahari di siang hari.

Abdul Hakim Othman
Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia

Jumaat, 03 Jamadil Awal 1438 H
03/02/2017 M
Ruj: HTM/PR/03/1348

Sumber: Hizbut Tahrir Malaysia
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment