Memerangi Bahasa Arab Adalah Sama Seperti Memerangi Akidah Islam

1- Mengapakah terdapat serangan ganas terhadap Bahasa Arab?

Bahasa Arab ialah bahasa Al-Quran dan merupakan bahasa kepada undang-undang terbaik yang telah diturunkan oleh yang Maha Kuasa kepada manusia, yakni undang-undang Syariah. Bahasa Arab telah menjadi medium penyampaian risalah Islam yang telah disebarluaskan ke serata penjuru dunia dengan menterjemahkan perintah-perintah dan hikmah-hikmah yang terdapat di dalam Al-Quran. Keindahan dan keagungan Al-Quran yang tiada duanya dapat diperkasakan lagi dengan Bahasa Arab, mempesonakan mereka yang benar-benar menguasainya.

أَمْ يَقُولُونَ افْتَرَاهُ قُلْ فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِثْلِهِ وَادْعُوا مَنِ اسْتَطَعْتُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ

"Adakah patut mereka mengatakan dia (Muhammad) yang telah membuat-buatnya? Katakanlah, “Buatlah sebuah surah yang semisal dengan surah (Al-Quran), dan ajaklah siapa saja di antara kamu orang yang mampu (membuatnya) selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar" [TMQ Yunus (10): 38].

Kaum Muslimin telah memelihara kesucian dan mengangkat darjat Bahasa Arab; mereka menguasainya untuk memahami perintah-perintah sang Pencipta yang terdapat dalam Kitabullah dan hadis-hadis Rasulullah SAW. Darjat yang tinggi serta kepentingan Bahasa Arab dalam memahami al-Deen telah menyebabkan bahasa tersebut menjadi sasaran musuh-musuh Islam. Mereka berusaha keras untuk meminggirkan dan mengasingkan bahasa tersebut agar ia tampil sukar dan kuno, menyebabkan umat kehilangan minat untuk mempelajarinya.

Masyarakat Barat sering memandang semua orang Arab sebagai Muslim secara keseluruhan dan mereka percaya bahawa Islam merupakan suatu ancaman kepada tamadun Barat dan kebangkitan semula Islam akan menyebabkan kehancuran mereka. Oleh itu, mereka berusaha sedaya-upaya untuk mencegah kebangkitan semula Islam dan serangan mereka terhadap Bahasa Arab merupakan salah satu inisiatif terbaik mereka. Samuel Huntington telah berkata, “Selagi Islam kekal sebagai Islam, dan hal ini tidak dapat diragui, dan selagi Barat kekal sebagai Barat, konflik di antara mereka tidak akan berakhir sebagaimana semenjak empat belas abad lalu. Dan tiada siapa menjangka bahawa Barat akan menjadi Timur.”

Bagi memastikan rancangan mereka agar Islam terpisah daripada kehidupan berjalan lancar, mereka bekerja untuk menyerang bahasa ini (alat untuk memahami peraturan Islam) dan menggesa penggunaan dialek-dialek Bahasa Arab. Mereka (Barat) mengupah para orientalis seperti Wilhelm Spita dan Dufferin untuk menggalakkan perkembangan dialek-dialek dan menyebabkan umat mengabaikan Bahasa Arab tulen. Selain itu, terdapat juga saudara-saudara kita, seperti Taha Hussein dan Lutfi as-Sayyed, yang bekerjasama dengan Barat dalam menjayakan rancangan ini. Mereka mengatakan bahawa mereka sedang memartabatkan dan menghalusi Bahasa Arab, tetapi sebaliknya mereka bekerja untuk menghancurkannya dan mengasingkannya daripada kehidupan umat Islam.

Sewaktu Daulah Islamiyah masih berdiri kukuh dan Bahasa Arab merupakan bahasa rasminya, segala perjanjian dan urusan dengan negara-negara lain adalah di dalam bahasa tersebut. Bahasa Arab mempunyai martabat yang sama tinggi dengan Daulah yang bertanggungjawab memeliharanya. Tetapi malangnya selepas kejatuhan kekhilafahan Uthmaniyah, musuh-musuh Islam telah berjaya menguasai umat Islam dan wilayah-wilayahnya dan Bahasa Arab telah menjadi semakin lemah. Puak-puak penjajah mengakui bahawa bahasa tersebut merupakan medium terbaik untuk memahami ideologi Islam, oleh itu mereka berusaha untuk mengasingkan bahasa tersebut daripada kehidupan umat Islam dan memperkenalkan bahasa mereka. Bahasa mereka telah dijadikan bahasa rasmi di institusi-institusi pengajian seterusnya mencipta generasi yang tidak mempedulikan bahasa al-Deen mereka sendiri. Barat telah berjaya menanam suatu premis di dalam diri generasi kini bahawa mereka yang menguasai bahasa asing merupakan golongan yang intelektual, moden dan layak dipandang tinggi. Puak penjajah berusaha untuk memenjarakan mereka yang mempunyai Bahasa Arab sebagai bahasa ibunda dengan harapan untuk menyemadikan kejayaan dan keagungan umat Islam. Mereka (Barat) mencipta generasi yang menerapkan ideologi dan mengikuti konsep-konsep mereka.

2- Pemusnahan identiti islamik dengan ketiadaan Bahasa Arab

Identiti dapat didefinisikan sebagai sifat-sifat yang terdapat pada seseorang atau sesuatu yang sebagai suatu keseluruhan memperkenalkannya atau mengasingkannya daripada yang lain. Identiti sesebuah negara bermaksud kualiti-kualiti yang menunjukkan ketamadunan negara tersebut seterusnya membezakan negara tersebut dengan negara-negara lain. Justeru isu identiti merupakan isu yang asas dan vital dalam memastikan keberlangsungan dan kewujudan sesebuah negara kerana tanpanya negara tersebut akan menjadi lemah, tidak penting dan akan menjadi subordinat pihak luar. Setelah kejatuhan Daulah Islamiyah, sasaran Barat adalah untuk menghapuskan identiti dan budaya umat Islam bagi mengasingkan al-Deen daripada kehidupan umat dan menerapkan ideologi para kapitalis.

Sasaran mereka pada peringkat permulaan adalah untuk menggoyahkan kedudukan Islam yang teguh kerana Islam mengajar tentang erti kehidupan yang sebenar yang merupakan suatu cahaya yang diikuti oleh Muslim; segala perbuatan dan tingkah laku seseorang Muslim adalah tertakluk kepada syariat Islam. Seterusnya, mereka (Barat) menyasarkan untuk menyisihkan dan menghapuskan alat utama untuk memahami konsep-konsep Islam – Bahasa Arab, kemudiannya menggantikannya dengan bahasa mereka. Ketiganya, mereka mempersoalkan sejarah agung umat Islam dan memaksa umat mempelajari sejarah ketamadunan mereka.

Musuh-musuh Islam telah berjaya dalam mencapai okjektif mereka untuk mengaburkan identiti Daulah Islamiyyah dan menghancurkan struktur kegemilangan dan kemakmurannya. Richard Nixon telah menulis di dalam bukunya, “Seize the Moment”, “Kami tidak takut akan serangan nuklear, tetapi kami takut akan Islam dan perang ideologi yang mungkin akan membinasakan identiti Barat”. Jelas dapat dilihat di sini bahawa Barat sedar dan takut akan kebangkitan semula umat Islam untuk mengembalikan zaman kegemilangan Islam di muka bumi, hanya jika umat Islam mewujudkan kembali identiti islamik yang telah kian hilang. Jika umat Islam memandang kehidupan dengan perspektif yang benar, anjakan paradigma akan berlaku dan umat akan bangkit, dunia akan kembali disinari oleh cahaya Islam dan panduan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Hal inilah yang menyebabkan Barat mengupah saudara-saudara seIslam kita untuk membantu melaksanakan rencana-rencana batil mereka dalam mengelirukan identiti umat. Sekutu-sekutu Barat sebegini telah digambarkan sebagai pengkhianat dan penjenayah oleh Sheikh Jad Al-Haq Ali Jad, bekas Sheikh di masjid Al-Azhar, “Pencarian suatu identiti baru bagi umat Islam ialah sebuah pengkhianatan yang besar, dan merupakan suatu jenayah berat”

Antara yang menerajui senarai pengkhianat Islam ialah Mustafa Kamal, dia telah memansuhkan Khilafah dan mahkamah Syariah serta menggantikan tulisan Arab dengan Latin. Objektif di sebalik jenayah-jenayah ini adalah untuk menghapuskan identiti negara Khilafah dan kekuasaan Daulah Islamiyyah ke atas pihak musuh, lalu menyebabkan Daulah menjadi lemah dan mudah ditembusi. Mustafa Kamal kemudiannya diikuti oleh Taha Hussein yang digelar sebagai “Dekan Pembaratan”, dia telah menggesa umat agar mengikuti setiap jejak langkah Barat, sungguh pun langkah tersebut bercanggah dengan syariat dengan berkata “Jika agama Islam ialah suatu penghalang di antara kita dan pharaohisme kita, kita perlu menolaknya (Islam)”. Para pentaklik buta yang berlumba-lumba untuk memuaskan hati Barat dengan menggagas idea-idea nasionalisme telah memusnahkan ikatan yang telah menyatukan umat di seluruh pelusuk dunia, mereka ini ialah manusia yang telah lupa akan kehebatan dan kegemilangan umat yang bersatu suatu masa dahulu. Sesetengah daripada mereka malah bermusuhan dengan setiap sesuatu yang menunjukkan identiti Islamik. Ahmad Lutfi al-Sayyed tanpa perasaan malu telah mengatakan bahawa terdapat satu seksyen dalam Perlembagaan Daulah sebagai sesuatu yang mengancam kerana telah ditetapkan di dalam seksyen itu bahawa agama negara ialah Islam. Terdapat banyak lagi pengkhianat yang telah berkhidmat untuk Barat untuk menghapuskan identiti Islam hanya demi pangkat dan sedikit harta, akan tetapi terdapat banyak juga pejuang Ummah yang bekerja keras untuk mempertahankan identiti Islam seperti Ibnu Taimiyyah, Ar-Rafi’i dan Mahmoud Shakir.

Orang-orang Islam hidup pada hari ini dalam pengasingan di antara Islam dan kehidupan, walhal mereka sepatutnya hidup berlandaskan peraturan daripada Akidah supaya hidup mereka menjadi aman dan identiti mereka sebagai seorang Muslim terpelihara. Sebaliknya, identiti mereka telah dihapuskan dan diganti dengan identiti asing, umat Islam akan terus merasa terasing and tersisih.

Identiti mana-mana masyarakat merupakan sebuah benteng yang melindungi ahli-ahlinya, membantu mereka untuk mengelakkan ketidakstabilan dan kerugian, membuatkan mereka rasa selamat dan juga memberi mereka keyakinan dan kekuatan. Jika identiti tersebut lenyap, masyarakat tersebut juga akan pupus dan akan timbul banyak konflik dalaman yang menyukarkan pembentukan sebuah ikatan yang kukuh. Seandainya masyarakat tersebut tidak melindungi identitinya, ia akan sesat dan mengadaptasi identiti lain dan segala kelebihannya akan hilang. Firman Allah SWT:

وَدَّ كَثِيرٌ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَوْ يَرُدُّونَكُمْ مِنْ بَعْدِ إِيمَانِكُمْ كُفَّاراً حَسَداً مِنْ عِنْدِ أَنْفُسِهِمْ

"Banyak di antara ahli Kitab menginginkan sekiranya mereka dapat mengembalikan kamu setelah kamu beriman, menjadi kafir kembali, kerana rasa dengki dalam diri mereka..." [TMQ al-Baqarah (2): 109].

Mereka merancang siang dan malam untuk menghapuskan identiti umat Islam.
Ia merupakan suatu yang menyeksakan untuk menyaksikan generasi muda dalam umat kini, betapa mereka jahil tentang bahasa ibunda (Bahasa Arab) malah ada yang memandang rendah terhadapnya. Mereka berlumba-lumba untuk mempelajari bahasa asing supaya dipandang sebagai seseorang yang tidak ketinggalan zaman dan mereka malu untuk menggunakan Bahasa Arab klasik kerana khuatir akan diejek. Keyakinan mereka dengan bahasa mereka sendiri telah melemah dan kebanggaan mereka dengan identiti mereka telah goyah. Inilah apa yang telah dirancang oleh Barat dan inilah apa yang terjadi. Ia menjadi semakin mudah untuk membuatkan generasi muda umat Islam tertarik dan mudah dibentuk menjadi apa yang Barat mahukan: Para pemuda yang tiada identiti dan hanyut di dalam “ketamadunan” Barat, yang kemudiannya akan menjadi suruhan Barat untuk melindungi identitinya daripada segala ancaman. Mereka (Barat) yakin bahawa kehancuran Islam hanya dapat dicapai dengan penghapusan Bahasa Arab.

3- Pemerkasaan dialek Bahasa Arab ialah suatu penyisihan terhadap Bahasa Arab tulen

Bagi mengukuhkan cengkaman mereka ke atas mangsa, Barat melancarkan perang yang berterusan ke atas Bahasa Arab klasik dan berusaha untuk mengangkat darjat dialek harian bagi menanam semangat nasionalisme dalam kalangan umat. Hal ini akan memudahkan Barat untuk menghapuskan kesatuan umat. Pembahagian wilayah-wilayah umat Islam dan pengenalan kepada sempadan Sykes dan Picot bukanlah langkah terakhir dalam jenayah mereka, malah mereka telah pergi lebih jauh ke dalam bahasa dan sejarah umat Islam bagi memastikan perpecahan umat secara total.

Apa yang telah dilakukan oleh golongan intelektual yang berkhidmat untuk Barat dan tamadunnya merupakan sesuatu yang tragis dan perbuatan-perbuatan mereka akan kekal sebagai suatu penghinaan yang tidak dapat dipadam selama-lamanya. Mereka telah mengungguli perlumbaan untuk memuaskan hati Barat dan membunuh identiti Islam dan Bahasa Arab. Orang pertama yang mempromosikan penggunaan dialek harian ialah Rafa’ at-Tahtawi. Dia menekankan, “Bahasa yang dituturi ialah dialek harian, yang digunakan untuk memahami transaksi. Ia adalah diterima untuk mempunyai prinsip yang mudah dan boleh mengklasifikasikan buku-buku kemudahan awam dan manfaat di rumah”. Tambahan pula, para orientalis memainkan peranan penting dalam menggalakkan pengunaan dialek harian dan menerbitkan idea tersebut, seperti apa yang telah dilakukan oleh Pengarah Perpustakaan Negara Mesir, Wilhelm Spita – dia telah menulis buku “The Grammar of the Colloquial Language in Egypt”.

Barat telah melancarkan perang ke atas Bahasa Arab dan membangkitkan semangat nasionalisme dan dialek harian di banyak negara untuk menghancurkan kesatuan umat. Morocco ialah antara mangsa yang dicengkam Barat apabila Bahasa Arab telah menjadi bahasa kedua setelah bahasa Perancis – bahasa penjajah. Menurut sebuah laporan yang telah ditulis oleh seorang pekerja jawatankuasa Morrocan French, “Tugas pertama yang harus dilakukan adalah untuk mengurangkan kepentingan Bahasa Arab dan memesongkan orang daripadanya dengan membangkitkan dialek setempat dan dialek harian di Afrika utara”.

Para saintis penjajah orientalis juga telah menulis buku-buku menurut peraturan di dalam dialek bahasa Amazigh (Tamazight) untuk menenggelamkan Bahasa Arab. Hal ini dapat dihuraikan oleh Shehadeh dalam penulisannya, “Para penjajah dapat merasa bahawa ia adalah mustahil untuk menggantikan Bahasa Arab dengan bahasa Perancis di Algeria, jadi mereka mengambil jalan lain dengan menanam idea dalam kalangan anak muda Algeria bahawa bahasa asal di Algeria ialah bahasa orang Barbar –bahasa Amazigh. Orang Perancis sudah menawarkan diri untuk menulis huruf-hurufnya supaya bahasa tersebut boleh ditulis”

Para orientalis telah memutarbelitkan kata-kata mereka dengan licik, mereka menghiasi niat jahat mereka dengan kata-kata yang indah seolah-olah mereka mempunyai niat yang murni. Salah seorang dari mereka berkata, “Perkara yang menghalang orang-orang Mesir dalam penciptaan (teknologi) ialah tulisan di dalam Bahasa Arab klasik. Apa yang menyebabkan saya untuk bertindak ialah rasa cinta saya untuk berkhidmat untuk kemanusiaan dan keinginan saya untuk menyebarkan ilmu”. Dia kemudiannya mengumumkan pada penghujung kuliah tentang pertandingan kepetahan dalam dialek harian Bahasa Arab dan menjanjikan hanya empat Pound.

Seperti biasa, terdapat saudara-saudara seakidah kita - mereka menggelar diri mereka terpelajar tetapi sebenarnya terus disuap oleh Barat- yang giat mempromosikan konsep-konsep dan slogan-slogan Barat, misalnya Salama Moussa dan penyair Iraq, Jamil Sidqi al-Zahawi, yang telah berkata, “Saya sudah mencari untuk sekian lama sebab-sebab kejatuhan orang-orang Islam dan saya telah menjumpai dua sebab: yang pertama ialah hijab, saya telah menulis tentang keburukannya di dalam artikel saya yang pertama. Dan yang kedua ialah Muslim, terutamanya orang Arab, menulis dalam bahasa yang lain daripada bahasa yang mereka tuturkan”. Sesetengah manusia yang membenci Islam malah mengumumkan penolakan mereka terhadap Bahasa Arab klasik dan menyuarakan kepentingan menggunakan dialek harian sebagai satu-satunya bahasa yang diterima: “Ia adalah sesuatu yang bijak untuk menyisihkan segala tanggapan buruk terhadap dialek harian dan untuk menerimanya sebagai satu-satunya bahasa di negara ini.” (Sildan Welmore, The Local Arabic in Egypt).

Antara taktik lain yang digunakan dalam perang ke atas Bahasa Arab ialah penerbitan akhbar, majalah dan buku dalam dialek harian. Para orientalis berlumba-lumba untuk menerbitkan kajian-kajian mengenai dialek harian, contohnya kajian oleh Stankovski mengenai dialek di Morocco dan Tunisia. Musuh-musuh bahasa al-Quran malah bertindak meggantikan penggunaan tulis Arab dengan tulisan Latin! Wahai umat Islam, sungguh ia adalah sesuatu yang memalukan apabila musuh-musuhmu melakukan segala ini kepadamu!

4- Penggunaan huruf-huruf Latin: Perang yang berterusan ke atas Bahasa Arab

Sedalam manakah kebencian generasi muda umat Islam terhadap bahasanya sendiri sehingga mereka sanggup menuntut untuk menulis dalam tulisan Latin? Apakah kebencian yang tersemat di sanubari anak-anak ini sehingga mereka sanggup menikam bahasa ibundanya sendiri? Abdul Aziz Fahmy merupakan salah seorang daripada mereka yang menyokong penggunaan tulisan Latin untuk menulis Bahasa Arab dan dia telah menulis sebuah buku. Penerbit buku tersebut berkata, “Pengalaman di Turki telah membuahkan hasil, mereka telah membaca bahasa Turki dengan skrip Latin, tetapi mereka yang ketakutan berpendapat bahawa ia adalah suatu kekufuran”. Anis Fariha Khoury antara lainnya mencadangkan untuk menulis dialek harian dengan tulisan Latin, dan supaya dialek harian menjadi bahasa rasmi orang Arab, kerana menurutnya tulisan Arab tidak sesuai untuk menulis dialek.

Bahasa Arab telah menjadi bahasa rasmi negara yang terkuat di dunia (Daulah Islamiyah) dan musuh-musuh luaran mahu pun dalaman telah bersekongkol untuk menjatuhkannya sebagaimana mereka bekerjasama untuk menjatuhkan Daulah Islamiyah. Ia adalah suatu pengkhianatan yang besar apabila Akademi Bahasa Arab – yang sepatutnya melindungi Bahasa Arab daripada sebarang ancaman – telah membuat kajian selama tiga tahun untuk menulis Bahasa Arab dalam tulisan Latin bagi memuaskan hati anggotanya yang memusuhi Bahasa Arab. Hal ini adalah tidak mengejutkan apabila kebanyakan anggotanya merupakan orang-orang Mesir seperti Taha Hussein dan Ahmed Lutfi al-Sayyed. Perbuatan-perbuatan mereka (musuh-musuh Bahasa Arab) telah membantutkan perkembangan Bahasa Arab, menjadikannya suatu bahasa yang kuno dan berdebu, dan tidak mampu untuk berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan bahasa-bahasa lain.

5- Adakah bahasa al-Quran tidak mampu untuk bersaing dengan evolusi sains?

Musuh-musuh umat Islam sedar bahawa Islam dan Bahasa Arab tidak dapat dipisahkan malah mereka saling melengkapi satu sama lain untuk membina tiang negara yang kukuh, oleh sebab itu musuh-musuh bekerja untuk memisahkan mereka agar negara tersebut runtuh dan tidak dapat dibangunkan semula. Barat mencipta kekurangan dalam Bahasa Arab dalam kalangan generasi muda supaya Barat dapat mengawal umat sepenuhnya kerana umat telah menjadi lemah. Bahasa Arab dikatakan gagal untuk menggambarkan sains moden, kerana menurut mereka, “Ia (Bahasa Arab) ialah bahasa yang baku dan sentiasa memandang ke belakang dan tidak maju ke hadapan”.

Bahasa Arab telah dipinggirkan dan disisihkan daripada segala sesuatu yang berkaitan dengan sains, seperti perubatan dan kejuruteraan, dan dianggap tidak mampu untuk menyatakan sains dengan tepat, menyebabkan generasi kini menolaknya dan mereka jatuh ke dalam lautan bahasa dan budaya masyarakat lain. Bahasa Arab telah menjadi bahasa yang mati di mata generasi kini dan mereka hanya menerima segala yang datang dari Barat, kerana bagi mereka Barat mempunyai budaya dan ketamadunan yang maju.

Ia adalah suatu penipuan dan tuduhan palsu ke atas sesuatu bahasa bahawa kosa katanya mampu untuk menampung sains Arab – sains yang diterajui oleh para saintis Islam dan memberikan manfaat yang berterusan kepada manusia sejagat. Sheikh al-Bashir Ibrahimi telah berkata, “Bahasa Arab mampu menampung kajian-kajian dalam bidang perubatan yang diterajui oleh orang-orang Arab – jika kita menyisihkan sepatah dua kata bahasa Greek dan Persia yang diperkenalkan oleh al-Farabi dan Ibnu Sina daripada keturunan Persia”. Inilah Bahasa Arab, ibarat sebiji cawan yang tiada dasar, jika diisi dengan ilmu tidak akan pernah penuh malah sentiasa mengalir, suatu bahasa yang tidak memerlukan sandaran kepada bahasa lain kerana ia mampu untuk menampung dirinya sendiri – bahasa yang terbaik yang dicipta oleh ar-Rahman. Brockelmann mengatakan bahawa Bahasa Arab (disebabkan penurunan al-Quran) telah mencapai tahap perkembangan seperti tiada bahasa lain di dunia ini, French Louis Massignon berkata, “Bahasa Arab ialah bahasa yang memperkenalkan kaedah-kaedah saintifik kepada Barat dan Bahasa Arab ialah bahasa yang paling tulen. Ia ialah bahasa yang unik dalam menyatakan kaedah saintifik and seni. Ia adalah sungguh kaya dalam menyampaikan (sesuatu idea)”.

6- Globalisasi dan peranannya dalam penyisihan Bahasa Arab

Globalisasi, atau lebih tepat lagi, neo-kolonialisme telah mengubah cara penjajahan Barat untuk mendominasi negara-negara lain terutamanya umat Islam yang telah menjadi lemah setelah kehilangan negara dan identiti. Globalisasi menyerang sesebuah ketamadunan dari pelbagai aspek: politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan, menyasar kepada penghancuran identiti ketamadunan tersebut. Penjajahan ini merupakan salah satu langkah musuh untuk menerapkan hegemoni Amerika secara paksa, mereka menyebarluaskan bahasa, budaya dan tamadun kapitalis Barat melalui janji-janji manis mahupun ancaman-ancaman keras. Globalisasi bahasa merupakan antara jenis sekularisasi yang paling berbahaya kerana ia mengangkat martabat dan keunggulan bahasa Inggeris untuk menjadi penghulu segala bahasa dan juara kemajuan dan kemodenan. Globalisasi ialah kaedah yang digunakan oleh Amerika untuk menerapkan undang-undang dan kawalan politik, ekonomi dan sosialnya ke atas sesebuah negara.

Pada hari Rabu, 25/05/1994, Anis Mansour telah menulis dalam akhbar Ahram: “Orang-orang Perancis sangat berbangga dengan bahasa indah mereka, ia mampu untuk menyatakan segalanya di dalam falsafah, sastera dan sains dengan jelas. Jadi, mereka menolak penggunaan ekspresi Amerika atau nama Inggeris untuk menyatakan apa yang mereka kehendaki kerana ia merupakan suatu penghinaan kepada bahasa Perancis… Negara tidak memberikan lesen kepada sebarang perniagaan atau syarikat yang tidak menggunakan nama Perancis”.

Bahasa Arab telah dilabel sebagai bahasa yang ketingalan zaman dan tidak sesuai untuk menyatakan kemodenan yang umat manusia kecapi pada hari ini. Kuasa-kuasa Barat berlumba-lumba untuk menyebarluaskan bahasa mereka, misalnya Amerika dengan bahasa Inggeris dan Perancis dengan bahasanya. Persoalannya ialah di manakah umat Islam sewaktu Barat menjalankan rancangan keji mereka untuk menjatuhkan al-Deen kita? Apakah yang dilakukan oleh umat ketika Barat sibuk merendah-rendahkan martabat bahasa al-Quran?

7- Media dan “sumbangannya” dalam penyisihan Bahasa Arab

Menjelang abad ke-21 kini, media sememangnya memainkan peranan penting dalam menyampaikan mesej dan mempengaruhi orang ramai, media mampu untuk mencetuskan suatu revolusi sekiranya digunakan dengan betul. Akan tetapi, apakah yang berlaku sekiranya media digunakan sebagai medium penyebaran fahaman-fahaman dan ideologi Barat? Apakah yang akan berlaku jika media Barat yang digunakan sebagai panduan dan rujukan untuk diukur sebagai tahap kemajuan?

Apa yang dapat kita lihat dalam siaran televisyen pada hari ini ialah bahawa sekularisme merupakan penyelesaian terbaik bagi setiap masalah yang umat manusia hadapi dan pada masa yang sama, mereka (Barat) menyerang segala yang dilihat berkaitan dengan Islam seperti Hijab dan sekolah-sekolah al-Quran. Semua itu sudah cukup untuk menyedarkan kita bahawa media merupakan salah satu wasilah untuk Barat melancarkan perang ke atas umat Islam.

Media telah berjaya menyisihkan Bahasa Arab apabila segala program dan iklan tidak menggunakan Bahasa Arab klasik, iklan-iklan yang merupakan hasil daripada ketamadunan kapitalis telah menjana keuntungan yang melampau kepada pemilik-pemilik. Iklan yang menyampaikan mesej kepada pendengar/penonton perlulah dizahirkan dengan kata-kata yang mudah difahami supaya pendengar/penonton tertarik untuk membeli produk tersebut, oleh itu penggunaan dan penyebaran dialek harian adalah sangat digalakkan dan menyebabkan orang ramai menjadi terbiasa dengan dialek harian dan bukannya dengan Bahasa Arab tulen. Puak kapitalis bukan sahaja dapat menjana pendapatan lumayan, bahkan mereka dapat menghapuskan identiti umat Islam bak kata pepatah “sambil menyelam minum air”.

Siaran bersiri, yang ibarat rantai yang mengikat penonton kepada televisyen, yang diterjemah di televisyen juga mestilah disampaikan dalam dialek harian kerana kononnya lebih mudah difahami, sekaligus menyisihkan Bahasa Arab klasik daripada kehidupan umat. Bahasa yang dahulunya telah menyatukan umat kini telah diganti dengan bahasa yang dicedok sedikit demi sedikit dari musuh.

8- Bahasa Arab lambang maruah umat Islam

“Apabila bahasa sesuatu kaum dihina, kaum itu juga telah dihina, dan apabila ia (bahasa) merosot, segala urusan kaum tersebut juga akan hilang. Puak penjajah asing sedar akan hal ini dan memaksa penggunaan bahasa mereka ke atas masayarakat yang dijajah untuk membuatkan orang ramai merasa takut dan kagum akan kehebatan bahasa mereka (Barat), dan mengawal mereka melaluinya..” (Wahi al-Qalam: Mustafa Sadiq Rafii)

Cubaan untuk menghina, mencemuh dan menindas umat Islam adalah sungguh berat dan usaha untuk menghancurkan identiti mereka dan menyisihkan bahasa mereka adalah serius; ia adalah suatu kitaran yang tidak akan berakhir selagi umat Islam tidak bangkit dan menuntut kembali kedudukan mereka sebagai umat yang terbaik. Ketamadunan Barat hanya berjuang untuk terus hidup dengan menyebarkan hegemoni mereka secara paksa manakala ketamadunan Islam berjuang untuk mengembalikan pelaksanaan perintah-perintah Allah di muka bumi supaya umat manusia dapat hidup dan beribadah dengan aman. Para Muslimin telah memelihara identiti Islam mereka dan Bahasa Arab semasa zaman kegemilangan Islam, dan mereka tidak pernah ditawan atau dikalahkan, malah dipandang tinggi dan disegani. Ibnu Taimiyyah berkata, “Para Salaf membenci akan perubahan kebiasaan orang Arab, walaupun sekiranya seseorang bertutur dalam bahasa selain Bahasa Arab, kecuali jika perlu”, seperti yang telah ditetapkan oleh imam Malik, al-Shafie dan Ahmad. Imam Malik malah berkata, “Sesiapa yang bertutur dalam bahasa lain selain Bahasa Arab di dalam masjid kita, dia akan diusir keluar”.

Hal ini kerana mereka sedar akan darjat dan kepentingan Bahasa Arab yang tinggi. Jika mereka memandang remeh kepada bahasa mereka, maka mereka juga memandang remeh kepada al-Deen mereka kerana Bahasa Arab mengikat umat dengan ikatan Akidah yang kukuh walau di mana pun mereka berada:

ويَجمَعُنا إذا اختَلَفَت دِيارٌ *** بَيانٌ غيرُ مُختَلِفٍ ونُطْقُ (أحمد شوقي

Dan apabila kita bercanggah pendapat, bahasa ibundalah yang menyatukan kita (Ahmed Shawki)

Hari ini ramai ilmuwan Bahasa Arab yang menganjurkan konferens antarabangsa untuk membincangkan situasi umat Islam yang kian ditindas dan Bahasa Arab yang kian ditinggalkan. Mereka menyeru akan pengawasan terhadap penindasan ke atas umat Islam di seluruh dunia dan status Bahasa Arab yang semakin jatuh.

Akan tetapi hanya dengan mengawasi tidak dapat mengubah apa-apa, sama ada dari aspek pengawasan antarabangsa mahupun pengawasan linguistik kerana maruah umat Islam telah dicabul, darah mereka tumpah di tanah mereka sendiri. Mereka dibiar kelaparan, bergelandangan dan tersekat di antara sempadan negara-negara umat Islam. Pada masa yang sama, Bahasa Arab semakin tersisih dari kehidupan umat. Punca bagi semua masalah ini hanyalah satu – ketiadaan perisai (Daulah Islamiyah) yang melindungi umat dan identitinya. Daulah akan memelihara segala urusan umat berlandaskan peraturan yang telah diturunkan oleh yang Maha Adil. Umat Islam akan kembali bangkit menguasai segala bidang di dunia dengan hati yang tenang dan rasa bangga.

French Ernest Renan berkata, “Perkara yang paling pelik yang berlaku dalam sejarah manusia ialah penyebaran Bahasa Arab. Ia adalah asing dan tiba-tiba wujud dengan sempurna, lancar, indah dan komprehensif. Ia adalah bahasa yang tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas. Ia adalah bahasa yang mengatasi bahasa-bahasa lain dalam aspek kosa kata, makna yang tepat dan sistem penstrukturan yang baik”.

Itulah bahasa al-Quran yang seharusnya dipelihara dengan nyawa sendiri seperti kita memelihara Deen kita kerana Deen kita tidak akan lengkap tanpa Bahasa Arab.

Di sini kami ingin menyeru kepada semua muslimin dan muslimat supaya tidak meremehkan Bahasa Arab kerana Bahasa Arab adalah suci. Dalam Bahasa Arablah al-Quran telah diturunkan dan melaluinya kita memahami peraturan al-Deen kita. Marilah kita berusaha berganding bahu dengan saudara-saudara kita yang saban hari bekerja untuk mendirikan semula Daulah Islamiyah di atas manhaj kenabian – di belakangnya kita berlindung dan perintah-perintah Allah akan terlaksana. Hanya dengan ini bahasa al-Quran kita akan kembali bercahaya dengan gemilang dan Deen kita akan terpelihara. Janganlah berani mencabar mereka (para pejuang Islam), wahai ejen musuh yang pengecut!

Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir oleh
Zeinah As-Samit
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment