Demokrasi Sistem Gagal, Khilafah Solusi Tunggal

Bunga-bunga pilihan raya umum (PRU) ke-14 telah mula kelihatan. Buktinya cukup mudah apabila melihat pucuk pimpinan negara dan anak-anak buahnya telah memulakan lakonan mendekati dan menyantuni rakyat serta mengerahkan keseluruhan jentera penerangannya untuk memperbesarkan watak keheroannya. Pesta demokrasi 5 tahun sekali bakal kembali dan parti-parti pembangkang pun kini dilihat sedang rancak memalu gendang ke arah itu. Pesta kali ini bakal menampakkan kelainannya yang tersendiri apabila wujud tahaluf barisan pembangkang yang baru dan turut menyaksikan sebuah kapal pembangkang yang mula menyendeng kepada kapal pemerintah, mungkin dengan harapan dapat menikmati sebahagian kek dan kuih-muih pesta, bersama.

Banyak pihak, termasuklah daripada kalangan alim ulama, meyakini bahawa demokrasi merupakan sistem pemerintahan terbaik yang ada pada masa kini dan umat Islam tidak mempunyai pilihan lain selain demokrasi. Malah, tidak sedikit daripada mereka yang menggunakan kaedah fiqh dan justifikasi agama bagi membolehkan sistem kufur yang berasal dari Barat ini, diamalkan oleh umat Islam. Padahal sistem demokrasi ini tidak pernah dikenal dalam Islam. Istilah demokrasi itu sendiri bukanlah istilah Arab dan ia dinisbahkan kepada dua kata Yunani kuno, iaitu demos yang bererti rakyat dan kratos yang bererti kekuasaan atau pemerintahan. Kerana itulah, demokrasi diertikan sebagai kekuasaan atau pemerintahan rakyat. Penisbahan itu sendiri menunjukkan bagaimana demokrasi sebenarnya bukan berasal daripada Islam, tetapi memiliki akar sejarah yang menjulur hingga ke masa Yunani.

Sekilas Sejarah Demokrasi

Sistem pemerintahan demokrasi dijalankan di kota Yunani kuno, Athens, sejak abad ke-5 SM. Sistem itu sering dirujuk sebagai terbentuk atas prakarsa Cleisthenes, seorang ahli politik Athens yang dikatakan peletak dasar kepada perlembagaan demokratik pada tahun 507-8 SM. Dalam sistem demokrasi purba Athens, kedaulatan dipegang oleh sebuah majlis yang disebut demos (rakyat). Namun, sistem demokrasi Yunani kuno tidak bertahan lama apabila kekaisaran Rom, penganut pemerintahan monarki mutlak (sistem teokrasi), berjaya mengalahkan mereka. Dalam sistem teokrasi tersebut, golongan bangsawan menjadi penguasa yang berkolaborasi dengan golongan agamawan (gereja). Raja dianggap sebagai wakil tuhan dan kehidupan rakyat dikendalikan menurut doktrin gereja iaitu doktrin para agamawan yang dinisbahkan kepada tuhan.

Kolaborasi antara penguasa dan agamawan (raja dan gereja) inilah yang telah melahirkan penindasan yang tidak terperi kepada masyarakat Eropah. Raja dianggap sebagai manusia terpilih yang mewakili tuhan untuk mengurus dunia. Segala hal, termasuk pemikiran dan sains yang bertentangan atau menyimpang daripada doktrin gereja merupakan satu kesalahan dan akan dihukum jika dipercayai atau diamalkan. Atas dasar itu, ratusan ribu ilmuwan dibunuh, di mana puluhan ribu di antaranya dibakar hidup-hidup, hanya kerana kepercayaan atau amalan mereka yang bertentangan dengan gereja. Dari sinilah munculnya gerakan penentangan oleh para ilmuwan dan ahli falsafah sehingga muncul dua kubu yang saling berseteru. Kubu pertama ialah kolaborasi antara raja dan gereja yang mengusung teori “kedaulatan tuhan” dengan sistem teokrasi, berhadapan dengan kubu kedua, para ilmuwan dan ahli falsafah yang menolak peranan gereja, bahkan tidak sedikit daripada mereka yang sebenarnya tidak mengakui agama.

Bersamaan dengan itu juga terjadi penentangan daripada bangsa yang ditindas dan pemberontakan kaum Protestan terhadap kekuasaan gereja Katholik Rom. Peperangan dan konflik tersebut berlangsung berabad-abad lamanya, hingga akhirnya ditandatangani perjanjian Westphalia tahun 1648. Perjanjian itu mengakui kemerdekaan Belanda, Swiss dan negara-negara kecil di Jerman daripada kekaisaran Rom (terlepas daripada penguasaan gereja). Perjanjian ini meletakkan dasar hubungan antara negara, tidak lagi atas hubungan kegerejaan, tetapi didasarkan atas kepentingan nasional negara masing-masing, yang mana sebelumnya gereja memiliki kekuatan atas hubungan antara negara.

Perjanjian Westphalia juga meletakkan dasar tentang negara dan pemerintahannya, yakni dengan memisahkan kekuasaan/pemerintahan negara daripada pengaruh agama (gereja). Perjanjian Westphalia tersebut sebenarnya telah meneguhkan doktrin sekularisme iaitu pemisahan agama daripada kehidupan/ pemerintahan. Oleh kerana kehidupan/pemerintahan telah dipisahkan daripada kekuasaan gereja, maka pengaturan (sistem dan undangundang) negara akhirnya diserahkan kepada kehendak rakyat dan untuk itulah dihidupkan kembali konsep demokrasi dengan sistem perwakilannya. Diwujudkan pula satu Majlis yang beranggotakan wakil yang dipilih oleh rakyat, yang bertujuan mewakili rakyat, dalam hal membuat hukum dan undang-undang negara.

Jadi demokrasi itu dijalankan atas dasar doktrin sekularisme yakni pemisahan agama daripada kehidupan/pemerintahan. Ia muncul hasil kompromi (antara ilmuan dan ahli falsafah di satu pihak, dengan golongan bangsawan dan gereja di pihak yang lain) yang mengakhiri konflik di Eropah sepanjang abad pertengahan. Dari situ tampak jelas bahawa demokrasi itu sebenarnya langsung tidak ada kena mengena dengan Islam dan merupakan ciptaan khas Eropah sebagai solusi terhadap penindasan atas nama agama yang melanda Eropah pada waktu itu. Masalah seumpama itu sebenarnya tidak dialami oleh umat Islam. Islam tidak pernah memisahkan agama daripada kehidupan. Islam tidak pernah menindas umatnya atas nama agama, sebagaimana yang berlaku di Eropah. Atas dasar itu, sebenarnya sejak awal lagi umat Islam tidak pernah memerlukan solusi yang namanya demokrasi seperti halnya masyarakat Eropah.

Demokrasi: Sistem Gagal Dan Rosak

Sesungguhnya sistem demokrasi sarat dengan kerosakan, kegagalan dan kelemahan, selain merupakan sistem kufur yang jelas lagi nyata. Demokrasi gagal merealisasi doktrin mendasarnya iaitu kedaulatan rakyat, kerana realitinya, rakyat hanya memiliki autoriti hanyalah tatkala pilihan raya. Itu pun hanya beberapa saat ketika ingin memangkah undi! Lebih buruk, wakil yang dipilih itu pun sebenarnya bukanlah wakil rakyat, tetapi wakil parti. Sebaik sahaja selesai memangkah undi, kedaulatan tidak ada lagi di tangan rakyat. Apatah lagi setelah parti-parti yang bertanding memenangi pilihan raya, kedaulatan berada di tangan mereka sepenuhnya, dan di belakang mereka pula terdapat para kapitalis yang mendanai mereka semasa pilihan raya atau semasa pemerintahan mereka. Kerana ituah, pasca pilihan raya, kepentingan para kapitalis ini jauh lebih diutamakan daripada kepentingan rakyat. Akhirnya, “wakil rakyat” tidak pernah mewakili rakyat, akan tetapi hanya mewakili parti dan golongan kapitalis yang berdiri di belakang mereka!

Demokrasi juga gagal menghilangkan aristokrasi yang cirinya kekuasaan dikuasai oleh kaum elit. Dalam praktis demokrasi di mana pun, kekuasaan tetap sahaja dipegang oleh kaum elit yang kaya raya dan hal itu sangat ketara. Golongan pemerintah di negara demokrasi mana pun selalu berasal daripada dinasti kelas atas yang berkuasa dari segi ekonomi dan mempunyai pengaruh dalam kelompoknya. Jangan harap untuk golongan miskin atau sederhana menjadi kelompok pemerintah, malah golongan bawahan ini tidak mampu pun untuk masuk bertanding dalam pilihan raya yang memerlukan ratusan ribu atau jutaan dana untuk terlibat atau menang.

Demokrasi merupakan sistem yang rosak dan melahirkan banyak kerosakan, disebabkan tiang utamanya ialah kebebasan. Kebebasan ini telah memproduksi banyak kerosakan dalam segala bidang baik agama, pemerintahan, undang-undang, ekonomi, akhlak dan lain-lain. Kebebasan beragama (freedom of religion) dalam demokrasi membolehkan seseorang itu murtad tanpa dihukum, dan siapa pun boleh berpindah-randah dalam hal agama tanpa sekatan. Malah dengan kebebasan bersuara di negara-negara Barat dan sebahagian negara kaum Muslimin, penghinaan ke atas agama dibenarkan dan tidak diambil apa-apa tindakan. Dengan dalih demokrasi dan kebebasan, pornografi, seks bebas, LGBT, pelacuran, pengguguran dan yang seangkatan dengannya, menjadi perkara biasa dan sah.

Di bidang pemerintahan, rasuah dan penyelewengan amat subur. Kebebasan kepemilikan melahirkan sistem ekonomi kapitalisme dan liberalisme ekonomi tanpa mempedulikan halal-haram. Penguasa dan syarikat mahupun individu boleh menguasai dan memiliki apa sahaja harta milik umum. Sistem ekonomi halal-riba, halal-judi, halal-arak, halal-saham, halal-insurans dan menghalalkan segala yang Allah haramkan, sudah mendarah daging dalam demokrasi. Institusi sosial dan kekeluargaan turut runtuh berantakan di bawah sistem demokrasi, menyusuli runtuhnya sistem pendidikan yang bertunjangkan manfaat duniawi dengan mengabaikan aspek ukhrawi.

Demokrasi menghasilkan undang-undang yang bersifat diskriminatif, yang tumpul ke atas (golongan pemerintah) dan tajam ke bawah (golongan rakyat). Ini kerana, undang-undang yang dibuat oleh ahli Parlimen sangat dipengaruhi oleh kepentingan peribadi, parti dan pihak-pihak berkepentingan yang ada di belakang mereka. Maka undang-undang yang terhasil akan berpihak kepada diri sendiri dan golongan yang mengendali pemerintahan serta perekonomian negara, yang menjadikan mereka terus berkuasa dengan pemerintahan kuku besi dan dalam masa yang sama dapat memasukkan segala kekayaan negara ke dalam poket masing-masing. Manakala golongan bawah (rakyat) terus tertindas dan menderita.

Demokrasi dijadikan alat penjajahan oleh Barat ke atas dunia, khususnya dunia Islam. Barat akan menghentam dan menyerang mana-mana negara yang tidak tunduk kepada mereka, atas nama demokrasi. Melalui tekanan dan pembuatan undang-undang di peringkat antarabangsa, Barat berjaya menundukkan banyak negara kepada mereka, sekaligus berjaya mengalirkan kekayaan negara-negara tersebut kepada mereka. Bahkan Barat dengan brutalnya melakukan intervensi dan invasi ke atas banyak negara di dunia seperti yang terjadi di Panama, Haiti, Iraq, Afghanistan, Syria dan lain-lain atas alasan ingin memasukkan demokrasi ke negara-negara tersebut. Amat jelas bahawa demokrasi merupakan alat penjajahan Barat ke atas umat Islam khususnya dan dunia umumnya.

Kuffar Barat benar-benar memahami bahawa kaum Muslimin tidak akan pernah menerima demokrasi dengan pengertiannya yang hakiki. Oleh itu, negara-negara kafir penjajah (khususnya AS saat ini) terus berusaha memasarkan demokrasi di negeri-negeri kaum Muslimin, dengan usaha tadhlil (penyesatan) pendapat bahawa demokrasi hanya merupakan alat untuk memilih pemimpin. Kita dapat lihat bagaimana Barat mampu menghancurkan kesatuan dan perasaan kaum Muslimin dengan seruan demokrasi seperti itu, yakni dengan memfokuskan pada pengertian demokrasi sebagai pemilihan pemimpin. Tujuannya tidak lain kecuali untuk memberikan gambaran yang menyesatkan kepada kaum Muslimin seolah-olah perkara yang paling mendasar dalam demokrasi adalah pemilihan pemimpin.

Dengan mewar-warkan demokrasi sebagai alat memilih pemimpin secara majoriti oleh rakyat, Barat berjaya menggula-gulakan umat Islam, termasuk para cendekiawan dan alim ulama, dan berjaya menutupi serta menyembunyikan bahagian mendasar daripada demokrasi itu sendiri, iaitu sebuah sistem yang meletakkan autoriti membuat hukum serta menetapkan halal dan haram berada di tangan manusia, bukan di tangan Tuhan manusia! Berapa banyak daripada gerakan dan aktivis Islam, termasuk di antara mereka yang ikhlas, telah termakan dengan penipuan ini, sehingga jika kita bertanya kepada mereka tentang demokrasi, maka mereka akan menjawab bahawa demokrasi hukumnya boleh, dengan anggapan bahawa demokrasi adalah alat untuk memilih pemimpin!

Khilafah Sebagai Solusi

Begitulah demokrasi, yang jelas merupakan sistem kufur yang berasal dari Barat, penuh penipuan, gagal, rosak lagi merosakkan. Ia kufur dan gagal bukan kerana ia berbicara tentang pemilihan pemimpin, tetapi perkara yang mendasar dalam demokrasi adalah menjadikan autoriti untuk membuat hukum berada di tangan manusia, bukan pada Allah selaku Tuhan manusia. Padahal Allah SWT berfirman, “Menetapkan hukum itu hanyalah milik Allah.” [TMQ Yusuf (10):40]. Dalam demokrasi, manusia telah mengambil hak Allah sebagai pembuat hukum. Justeru, wajar sahaja jika demokrasi itu gagal, kerana ia sistem yang berasal daripada manusia yang memiliki kemampuan akal yang sangat terbatas, tetapi mempunyai hawa yang tidak terbatas.

Sesungguhnya dalam Islam, sistem, undang-undang dan hukum-hakam itu datangnya daripada Allah Azza wa Jalla, penentuan halal dan haram serta terpuji dan tercela itu datangnya daripada Allah selaku Pencipta manusia, Yang Maha Tahu kelemahan dan kehendak manusia, Yang Maha Mengatur makhluk-makhluknya, Yang Maha Bijaksana dalam pengaturanNya dan Yang Maha Adil dalam hukumanNya. Sistem Pemerintahan Islam ialah Khilafah dan bukan demokrasi, sebuah sistem yang diwariskan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat dan kepada kita semua. Sistem Khilafah sangat berbeza dengan demokrasi dalam seluruh aspek dan bentuknya baik dari segi asas yang mendasarinya hinggalah ke rincian-rinciannya. Justeru, Khilafah sebagai sistem Islam, adalah satu-satunya solusi bagi menggantikan segala kebatilan, kerosakan, kegagalan dan masalah yang mendominasi dunia pada hari ini yang diakibatkan oleh sistem buatan manusia, demokrasi.

Wahai kaum Muslimin! Sudah saatnya untuk kita mencampakkan demokrasi ke dalam bakul sampah kerana itulah tempat yang layak untuknya dan itulah tempat kembalinya yang sebenar. Sudah saatnya untuk kita kembali kepada sistem Khilafah, yang merupakan sebuah sistem pemerintahan yang berasal daripada wahyu, yang telah menaungi dua pertiga dunia lebih daripada 13 abad; yang telah mengeluarkan manusia daripada kegelapan menuju cahaya; yang telah membawa manusia ke puncak ketamadunan dan kemajuan; yang telah membawa kesejahteraan bukan sahaja kepada manusia, malah haiwan melata, pepohonan dan tumbuh-tumbuhan; yang telah menjadikan bumi dipenuhi berkat; yang telah membawa rahmatan lil alamin; yang telah meletakkan umat Islam sebagai umat yang terbaik lagi mulia; yang telah meletakkan agama Allah di tempat yang tertinggi berbanding agama-agama lain; yang akan kembali semula dengan izin Allah dalam masa yang terdekat. Wallahu a’lam.

Sumber: Hizbut Tahrir Malaysia
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment