JAIS Tangkap Anggota Hizbut Tahrir Di Bulan Haram Kerana Sebar Risalah Dakwah!

Seorang anggota Hizbut Tahrir / Malaysia (HTM), Azmi Rahman Bin Mat Zuini, 49, ditahan oleh empat orang anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semasa mengedar risalah mingguan terbitan HTM, Sautun Nahdhah. Azmi ditahan di Masjid Nahdah al-Islam, Seksyen 18, Shah Alam, Selangor di bawah Seksyen 12 (c) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Selangor 1995 atas tuduhan menghina arahan Mufti kerana bertindak bertentangan dengan fatwa. Fatwa yang dimaksudkan ialah Fatwa Kedudukan Hizbut Tahrir yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor pada September 2015 yang hakikatnya dipenuhi dengan fitnah, pembohongan, pemesongan dan kekeliruan ke atas Hizbut Tahrir. Sebaik sahaja ditangkap, Azmi telah dibawa ke Ibu Pejabat JAIS di Shah Alam di mana kertas siasatan telah dibuka ke atas beliau. Beliau kemudian dibebaskan dengan jaminan lisan dengan seorang penjamin, dan dipanggil semula untuk memberi keterangan pada 17/04/2017. JAIS telah menetapkan 12/07/2017 untuk anggota Hizbut Tahrir itu hadir ke mahkamah untuk pendakwaan.

Dengan tangkapan terbaru ini, JAIS nampaknya sekali lagi bertindak zalim ke atas Hizbut Tahrir, tanpa mempedulikan hukum syarak dan tanpa mempedulikan kes Semakan Kehakiman yang difailkan oleh Hizbut Tahrir, yang sedang berjalan di Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung fatwa berkenaan. Pihak berkuasa agama Selangor sampai sekarang gagal menjawab Bantahan oleh Hizbut Tahrir ke atas fatwa yang mereka keluarkan, sebaliknya terus menggunakan kuasa yang ada untuk menzalimi anggota Hizbut Tahrir dengan melakukan penangkapan yang menyalahi hukum syarak. Setelah memfitnah Hizbut Tahrir sedemikian rupa melalui fatwa yang dikeluarkan, mereka tidak merasa takut atau malu sedikitpun kepada Allah (swt) dengan menangkap anggota Hizbut Tahrir yang sedang melakukan dakwah di jalan Allah (swt). Walhal berapa banyak risalah pinjaman riba yang jelas-jelas haram, dibiarkan sahaja tersebar di masjid-masjid di seluruh Selangor. Berapa banyak daripada rumah berhala, pusat perjudian, rumah urut, pusat hiburan, kilang arak yang terbesar dan bermacam jenis keharaman lainnya ada di Selangor yang hanya dibiarkan sahaja oleh pihak berkuasa agama Selangor.

Wahai pihak berkuasa agama Selangor! Bacalah risalah Sautun Nahdhah bertajuk “Kerajaan Teknokrat: Pewangi Beralkohol Penutup Kebusukan Demokrasi” yang kalian rampas daripada anggota kami dan terangkan kepada kami di manakah kandungannya yang menyalahi Islam? Jika ada, silalah tegur kami dan Insya Allah kami akan perbetulkan kesilapan kami. Jika tiada, maka ini bermakna kalian telah melakukan kemungkaran dengan menangkap anggota kami yang sedang menyebarkan kebenaran! Apakah kalian sudah begitu ketandusan hujah sehingga sehelai kertas yang mengandungi kebenaran yang disebarkan oleh anggota kami “dijawab” oleh kalian dengan sebuah penangkapan? Jika di hadapan kami pun kalian sudah tidak memiliki hujah, maka apakah hujah kalian di hadapan
Allah (swt) kelak?

Wahai pihak berkuasa agama Selangor! Dengan menangkap anggota kami pada hari ini, sedarkah kalian bahawa kalian telah melakukan kemungkaran ini pada hari Jumaat yang merupakan penghulu segala hari? Lebih buruk, kalian melakukan kemungkaran ini di bulan Rajab yang merupakan salah satu bulan yang diharamkan (disucikan) oleh Allah (swt) di mana pahala dan dosa di bulan ini akan dilipatgandakan oleh Allah (swt). Kami dengan ini ingin nasihatkan kalian, cukuplah segala kezaliman yang kalian telah lakukan ke atas Hizbut Tahrir selama ini dan hentikanlah, kerana jika kalian tidak berbuat demikian, kalian hanya mengundang murka Allah (swt) ke atas kalian. Bermula dengan fatwa fitnah, gangguan ke atas aktiviti kami, penutupan laman sesawang kami sehinggalah kepada penangkapan dan pendakwaan ke atas para anggota kami di mahkamah, semua ini tidak akan mendatangkan apa-apa kebaikan kepada kalian kecuali dosa. Semoga Allah (swt) mengasihi kalian dan mengampuni dosa-dosa kalian.

Sesungguhnya Hizbut Tahrir telah bersumpah kepada Allah (swt) bahawa ia akan terus berjuang dengan jalan dakwah secara intelektual dan politik sehingga hukum Allah (swt) tertegak secara kaffah di muka bumi ini. Hizbut Tahrir telah bersumpah kepada Allah (swt) bahawa ia akan menegakkan kembali Khilafah Rasyidah ala minhaj nubuwwah yang mana umat Islam akan bersatu di bawahnya, dan akan bersatu di bawah naungan al-liwa’ dan ar-rayah (bendera dan panji) Rasulullah (saw). Sesungguhnya apa yang dilakukan oleh Hizbut Tahrir adalah untuk kebaikan kalian dan untuk kebaikan umat ini dan tiada apa yang kami harapkan daripada perjuangan ini kecuali redha Allah (swt) dan syurgaNya. Maka hulurkanlah tangan kalian untuk bersama dengan Hizbut Tahrir dalam melakukan kemuliaan ini dan janganlah menjadi penghalang dakwah, yang hanya akan merugikan kalian di dunia dan akhirat.

Abdul Hakim Othman
Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment