Jika Mati, Kita Dikenang Sebagai Apa?

Satu demi satu sahabat seperjuangan dipanggil menghadap Allah SWT, sudah tentu tanpa pernah dapat melihat dan merasakan kembalinya Khilafah 'ala Minhaj an-Nubuwwah yang mereka perjuangkan siang dan malam.


Terus terang, menyaksikan kematian, termasuk kematian orang yang terdekat, mungkin terlalu biasa bagi kita. Padahal, setiap kematian adalah nasihat yang amat berharga bagi kita. Bahkan, seandainya tidak ada apa jua nasihat di dunia ini, sabda Baginda Nabi SAW, "Cukuplah kematian sebagai penasihat (كفي بالموت واعظاً)."

Melalui hadith ini, Baginda Nabi SAW seolah-olah ingin menegaskan: "Apa jua nasihat tiada yang lebih berharga daripada nasihat kematian"; atau "tidak perlu banyak nasihat, cukuplah kematian sebagai nasihat".

Walhasil, jika kematian--sebagai nasihat yang terbaik--sahaja tidak cukup untuk menggetarkan hati kita dan menggerakkan jiwa untuk menjadi lebih taat kepada Allah SWT, semakin giat memperbanyakkan amal soleh, semakin meningkatkan amal dakwah demi menjadi bekalan untuk menghadap-Nya, nasihat apa lagi yang kita perlukan?

Ya, diakui atau tidak, kematian adalah nasihat yang terus berulang, tetapi terus juga berulang kita lupakan; seolah-olah kematian itu hanya mensasarkan orang lain, bukan kita. Padahal Allah SWT menyatakan dengan tegas: "Kullu nafsin zaa'iqatul mawt (Setiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian)."

Penting juga untuk direnungkan, jika kita mati, sebagai apakah kita akan dikenang oleh orang-orang yang kita tinggalkan?

Adakah kita akan dikenang sebagai ahli ibadat atau orang yang malas beribadat? Adakah sebagai orang yang tidak pernah ketinggalan solat lima waktu di masjid atau orang yang selalu meninggalkan solat fardhu di masjid? Adakah sebagai orang yang rajin bersedekah atau orang yang kedekut berinfak? Adakah sebagai pengemban dakwah yang gigih atau yang malas? Adakah sebagai orang yang amanah atau orang yang suka berkhianat? Adakah sebagai orang yang rajin membaca al-Quran setiap hari atau tidak pernah kelihatan membaca al-Quran? Adakah sebagai orang yang rajin berpuasa sunat atau tidak pernah melakukannya? Adakah sebagai suami atau isteri yang baik dan lembut atau yang buruk dan kasar? Adakah sebagai ayah atau ibu yang bertanggung jawab atau yang lari daripada tanggung jawab? Adakah sebagai suami atau isteri yang suka menyayangi pasangannya atau yang suka menyakiti pasangannya?

Terus terang, saya sangat bimbang ketika mati nanti, saya dikenang oleh manusia sebagai orang yang memilki sifat-sifat yang buruk walaupun sudah tentu saya percaya mereka tidak akan mengungkapkannya atau menjadikannya sebagai bahan umpatan.

Mereka terbukti tetap istiqamah sehingga akhir hayat di jalan dakwah yang penuh dengan cabaran ini. Mereka juga terbukti dikenang oleh orang-orang terdekatnya sebagai orang-orang yang baik, yang selalu bersemangat dan gigih dalam dakwah. Semoga di mata Allah SWT, mereka jauh lebih baik daripada yang kita lihat dan saksikan.

Semoga kita juga mampu istiqamah di jalan dakwah seperti mereka. Semoga ketika mati, kita juga dikenang sebagai orang baik, bukan hanya di mata manusia, tetapi yang lebih penting adalah di mata Allah 'Azza wa Jalla. Semoga ketika mati nanti, entah esok atau lusa, kita sentiasa berada dalam keredhaan-Nya. Amin.

Oleh: Arief B Iskandar
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment