Lebih 50 Warga Syria Terbunuh Dalam Serangan Kimia Yang Kejam Di Idlib

Serangan kimia terbaru di Idlib oleh rejim Assad dilaporkan telah membunuh lebih 50 warga Syria, termasuk ramai kanak-kanak yang terkorban, di samping puluhan yang lain cedera. Serangan kejam itu dilakukan tatkala waktu tidur.


Rejim Assad menafikan melakukan serangan tersebut. Persoalannya, jika bukan mereka, siapa lagi? Jika menyembelih manusia sanggup dilakukannya, apatah lagi untuk berbohong. Cukuplah Allah menjadi saksi akan kekejaman manusia bernama Bashar al-Assad, dan Allah adalah sebaik-baik Pembalas kepada segala kejahatannya.

Namun, tidak kurang jahatnya ialah penguasa Muslim di seluruh dunia, yang sejak tercetusnya revolusi di Syria hingga sekarang, hanya sekadar berpeluk tubuh menyaksikan pembunuhan kejam demi pembunuhan kejam yang dilakukan oleh Assad. Sesungguhnya penguasa Muslim ini hakikatnya bersama Bashar di dalam kekejamannya, malah lebih buruk lagi.

Ibarat sang pembunuh yang membunuh ahli keluarga kita, memanglah pembunuh tersebut seorang yang kejam, namun si bapa sebagai ketua keluarga lebih kejam lagi, kerana hanya menyaksikan pembunuhan sambil ketawa, sedangkan segala kekuatan ada di tangannya untuk menghalang si pembunuh!

Ingatlah wahai pemimpin kaum Muslimin, sesungguhnya anak-anak Syria yang terbunuh itu akan bangkit di akhirat kelak dan akan mengadu kepada Allah darihal kalian, sebagaimana anak-anak yang dibunuh di zaman Jahiliyyah yang akan bangkit dan mengadu kepada Allah.

وَإِذَا الْمَوْءُودَةُ سُئِلَتْ - بِأَىِّ ذَنبٍ قُتِلَتْ

“Dan ketika anak perempuan yang dikubur hidup-hidup ditanya, atas dosa apakah dia dibunuh” [TMQ At-Takwir (81):8-9].

Ingatlah wahai para pemimpin yang khianat, bahawa masa kalian sudah tidak lama, sama seperti masa Bashar. Ingatlah juga wahai para ulama dunia yang mendukung pemimpin yang khianat, bahawa dukungan kalian kepada mereka hanya akan membawa penyesalan yang tak terhingga di hari kiamat.

Sungguh, kita memerlukan seorang Khalifah yang akan membela darah dan nyawa kaum Muslimin. Hizbut Tahrir berusaha siang dan malam untuk mewujudkannya, walaupun dengan pelbagai ujian, halangan dan tentangan. Sungguh kami tidak akan berhenti, dan tidak akan rehat daripada usaha ini sedikitpun.

Ya Allah! Engkau rahmatilah warga Syam, lindungilah mereka, berilah kekuatan kepada mereka dan kepada kami untuk mengalahkan musuh-musuhMu. Sungguh kemenangan itu ada di tanganMu ya Allah. KepadaMu kami memohon dan kepadaMu kami berlindung.

Ikuti Facebook Jurucakap HTM:
https://www.facebook.com/JurucakapHTM/posts/186065778570293
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment