Mengingati Mati

Pada suatu hari, Ibnu Mas'ud berkata, "Rasulullah SAW membuat gambar segi empat tepat. Di tengah-tengahnya ditarik satu garisan sehingga keluar. Kemudian, Beliau membuat garisan pendek-pendek di sebelah garisan yang di tengah-tengah seraya bersabda, 'Ini adalah manusia dan segi empat tepat yang mengelilinginya adalah ajal. Garisan yang di luar ini adalah cita-citanya. Sementara garisan yang pendek-pendek adalah kekangan-kekangannya'." [HR Bukhari].


Ilustrasi yang digambarkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis tersebut menguatkan keyakinan bahawa garisan nasib setiap manusia telah ditentukan oleh Allah SWT. Kehidupan di dunia ini sebenarnya dibataskan dengan garisan ajal, bersedia atau tidak, semua akan menemui garis ajalnya dan tidak seorang pun dapat menolak atau menangguhkannya. "... Maka apabila datang ajal yang telah ditentukan bagi mereka, tidaklah mereka dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak pula memajukannya." [TMQ (16): 61].

Walau bagaimanapun, sebelum tiba di garisan ajal yang telah ditetapkan oleh Allah, sudah semestinya manusia sentiasa bertaubat dan beramal soleh. Malangnya, ramai orang yang sibuk mengejar cita-cita dengan pelbagai ragamnya, sehingga mereka lupa melakukan amal soleh sehingga ajal mendatanginya. Mereka itulah golongan orang yang mensia-siakan peluang dalam hidupnya. Mereka juga tidak cerdas memahami garis-garis takdir yang telah dibawanya.

"Bersegeralah kalian untuk beramal soleh sebelum datang tujuh perkara; apa yang kamu tunggu selain kemiskinan yang memperdayakan, atau kekayaan yang menyombongkan, atau sakit yang menyusahkan, atau tua yang melemahkan, atau kematian yang memutuskan, atau Dajjal yang merupakan sejahat-jahat makhluk yang dinantikan, atau Kiamat yang sangat berat dan menyusahkan." [HR Tirmizi].

Oleh kerana itu, suratan takdir yang sedang dan akan dijalani bukan menjadi alasan untuk seseorang pasrah menerima nasib apa adanya. Walaupun rezeki, jodoh, dan ajal telah ditentukan oleh Allah dan tiada seorang pun mengetahuinya, tetapi Allah Yang Maha Pemurah masih memberi peluang kepada semua manusia untuk berusaha mengubah nasibnya sendiri. "... Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum, sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri." [TMQ (13): 11].

Pada akhirnya, jadilah orang-orang seperti yang diharapkan oleh Rasulullah SAW, iaitu yang cerdas memanfaatkan hidup dan bersedia untuk mati. Kerana orang yang sentiasa mengingati mati cenderung untuk takut jika dia melakukan perbuatan maksiat, dan selalu berusaha memotivasi dirinya untuk melakukan amal kebajikan. Merekalah orang-orang yang mendekatkan diri kepada Allah dan menjauhi kilauan kehidupan dunia yang melalaikan ini, supaya hidupnya tidak menjadi rugi, baik di dunia mahupun di akhirat kelak.

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingati Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian, maka mereka itulah orang-orang yang merugi. Dan belanjakanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu..." [TMQ (63): 9-10].

Sumber: http://m.republika.co.id/…/17/04/11/oo7eol313-mengingat-mati
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment