Pendedahan Rafizi – Memang berani, tapi..


Rafizi Ramli memang terkenal dengan pendedahan fakta-fakta yang melibatkan salah laku kerajaan. Terbaru, beliau sekali lagi membuat pendedahan yang menggemparkan, cuma kali ini lebih gempar daripada biasa kerana melibatkan PAS. Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa yang PAS menerima sejumlah wang daripada akaun 1MDB yang disalurkan melalui bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, satu pendedahan yang dilihat mengakhiri polemik yang telah ditimbulkannya sejak berapa lama. PAS sebelumnya dipalitkan dengan dana sebanyak RM90 juta daripada kerajaan.

Selain mendapat pujian, Rafizi turut dikecam hebat atas tindakannya itu. Apa pun, Rafizi pastinya telah bersedia dengan segala kecaman dan tindakan undang-undang terhadap beliau dengan pendedahan berani tersebut. Beliau bukan tidak tahu undang-undang rimba di Malaysia ini, siapa yang ada bukti dan cuba melaporkan tentang si jerung penjenayah, orang itu yang akan ditangkap terlebih dahulu. Polis Malaysia lebih berminat menangkap si pelapor berbanding si penjenayah. Semua ini dalam pengetahuan Rafizi, malah beliau telah ada pengalaman pun.

Namun, Rafizi semacam tidak peduli dengan itu semua, dan sudah pasti beliau telah menghitung dari segenap sudut akan kesan pendedahannya ini. Sebagai seorang bekas ketua strategi, beliau juga sudah tentu mempunyai plan dan percaturan tersendiri. Itu dari sudut beliau secara peribadi. Dari sudut lain, tentu banyak pihak yang panas punggung dengan pendedahan ini dan tentu banyak sekali aspek positif dan negatifnya kepada pihak-pihak tertentu, termasuk kepada rakyat secara umumnya. Positif dan negatif ini sebenarnya adalah subjektif kerana ia mungkin positif untuk satu pihak tetapi negatif bagi pihak lain dan begitulah sebaliknya.

Jika Rafizi benar dan berjaya membuktikan dakwaannya, ia akan menaikkan lagi tahap kepercayaan rakyat kepadanya yang akan meningkatkan lagi populariti beliau dan parti yang diwakilinya, sekaligus menambahkan lagi daftar panjang kekorupan kerajaan, khususnya PM sendiri. Lebih dari itu, mungkin buat pertama kali dalam sejarah, sebuah parti Islam berjaya dibuktikan terpalit dengan penyelewengan kerajaan dengan dana yang terbesar dalam sejarah negara. Semua ini, selain boleh jadi pembukan jalan kepada siasatan jenayah, sudah pasti akan mempengaruhi perjalanan parti-parti menuju PRU 14 nanti.

Tolak ke tepi sama ada dakwaan Rafizi benar atau salah, sebenarnya pengaliran dana secara halal mahupun haram oleh parti-parti politik yang bertanding dalam pilihanraya dalam sistem demokrasi bukanlah satu perkara baru dan bukanlah satu perkara pelik. “Harga” pilihan raya dalam sistem demokrasi sangatlah mahal. Minta maaf sahajalah kepada parti-parti yang tak berduit untuk terlibat dalam pilihanraya. Malah minta maaf juga kepada parti yang hanya mempunyai duit kecil untuk terlibat dalam pilihanraya. Demokrasi hanya “membenarkan” parti (atau individu) yang kaya-raya sahaja untuk terlibat dalam pilihan rayanya. Atas dasar ini, setiap pihak yang nak bertanding dalam pilihanraya memang memerlukan bergunung-gunung dana bagi memastikan kejayaan. Jadi, tidak hairanlah jika wujud pengaliran haram jutaan ringgit ke akaun parti itu dan ini atau individu itu dan ini, kerana itu semua merupakan harga yang perlu dibayar untuk demokrasi.
Orang yang berjuang dalam demokrasi juga boleh dibeli dengan mudah, termasuk golongan agama sekalipun, sehingga istilah “agamawang” sudah menjadi masyhur di Malaysia. Realiti boleh dilihat di depan mata dan hal ini berlaku berulang-ulang dari semasa ke semasa. Orang yang mulanya berapi-api berjuang menentang kerajaan, ahirnya dalam sekelip mata bertukar menjadi penjilat kerajaan. Tun Mahathir telah pun mempopularkan istilah “dedak”, satu istilah yang cukup tepat bagi menggambarkan situasi ini, yang sebenarnya tidak dapat dipisahkan daripada beliau sendiri.

Inilah praktis politik demokrasi yang lahir daripada ideologi kapitalisme, sebuah ideologi kufur yang bertentangan dengan Islam, yang meletakkan “manfaat” sebagai asas kepada segala-galanya. Politik akan berjalan selari dengan manfaat, malah akan bergantung sepenuhnya kepada manfaat. Politik demokrasi tidak mengenal halal dan haram, tetapi hanya akan melihat aspek “manfaat” dalam segenap hal. Bila terdapat manfaat, musuh ketat boleh bertukar menjadi kawan baik dan bila hilang manfaat, kawan baik boleh bertukar menjadi musuh ketat. Begitulah seterusnya dan seterusnya dan seterusnya dalam sistem demokrasi ini.
Sistem ini juga telah melahirkan ramai politikus hipokrit yang sudah tidak ada maruah dan harga diri. Perjuangan agama pun boleh tergadai dek sistem ini kerana demokrasi tidak akan membenarkan agama Islam berada lebih tinggi daripadanya. Kebenaran atau kesalahan setiap tindakan hanya diukur dengan demokrasi, bukan lagi dengan Islam. Jika sesuatu tindakan itu sesuai dan dibenarkan oleh demokrasi (walaupun Islam mengharamkannya), maka perbuatan itu akan dikira sah dan boleh dilakukan, dan jika ia bertentangan dengan demokrasi (walaupun Islam membenarkannya), maka ia akan dikira salah dan tidak boleh dilakukan. Itulah hukum demokrasi.

Dari aspek inilah ramai orang gagal melihatnya dengan jernih, walaupun usaha untuk mendedahkan kemungkaran yang dilakukan memang cukup baik. Banyak golongan yang ikhlas inginkan perubahan dan kebaikan, tetapi gagal melihat bahawa kemunculan politikus-politikus yang jahat dan hipokrit ini sebenarnya “dilahirkan” oleh sistem. Sistem (demokrasi) ini adalah “kilang” yang telah melahirkan dan mencetak mereka. Jadi, jika Rafizi berjaya sekalipun menghapuskan seorang atau dua orang penjahat politik dengan pendedahan demi pendedahan yang dilakukannya, baguslah...namun selagi kilang ini tidak dihapuskan, maka ia akan terus melahirkan dan mencetak ribuan lagi penjahat politik, malah mungkin lebih jahat daripada yang sebelumnya.

Atas dasar inilah, amat penting untuk kita dedahkan keburukan, kebusukan, kerosakan dan segala malapetaka yang dibawa oleh sistem ini sendiri, kerana dengan terhapusnya sistem, maka terhapuslah segala keburukan, kebusukan, kerosakan dan mala petaka yang dibawanya. Sebuah kapalterbang yang sudah buruk dan rosak, walau dipandu oleh seorang pilot yang cekap dan ikhlas sekalipun, tidak akan dapat memastikan keselamatan penumpangnya. Apatah lagi jika pilotnya seorang penjahat dan mementingkan diri sendiri. Maka selain mendedahkan kejahatan pilotnya jika kita memang tahu, kita perlu sedarkan penumpang akan keburukan dan kerosakan kapalterbang ini sendiri, yang perlu diganti dengan yang baru, barulah semua penumpang akan selamat Insya Allah.

Sumber: https://www.facebook.com/JurucakapHTM/photos/a.163612524148952.1073741828.137151040128434/193146687862202/?type=3&theater
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment