Ujian Setelah Kemenangan

Tidak semua orang mengetahui bahawa ujian diwaktu lapang itu jauh lebih dahsyat daripada ujian diwaktu sempit, sebagaimana ujian diwaktu kaya itu jauh lebih dahsyat daripada ujian diwaktu miskin. Ramai orang yang dapat melepasi ujian diwaktu sempit, waktu sulit, sakit, atau kekurangan harta, malah waktu ini menjadikan mereka lebih dekat dengan Allah, tetapi bongkak dan angkuh waktu diuji sebaliknya.


Samalah juga semasa diuji dengan ujian kemenangan, hendaklah berwaspada agar tidak menjadi fitnah yang lebih besar, mesti dipastikan supaya sentiasa dalam kemenangan yang Allah redhai. Ini kerana dalam kemenangan terdapat ancaman kesombongan, merasai bahawa kemenangan itu adalah haknya sahaja, kepunyaannya sahaja, atas usahanya semata-mata dan paling bahaya mengetepikan hal-hal yang lain.

Ketika mengecapi kemenangan akan ada penjilat-penjilat yang datang mengerumuni, menawarkan segala sesuatu selain Allah dan ada pula yang akan berusaha menjatuhkannya. Perhatikan sahaja bagaimana seorang Muslim sepatutnya menghadapi hal ini, di dalam Al-Quran, kemenangan selalunya dikaitkan dengan "dari Allah", iaitu anugerah Allah kepada hamba-Nya. Maka di hadapan anugerah Allah ini, tiada yang lebih layak dilakukan kecuali bersyukur kepada Allah SWT. Apabila kita bersyukur, maka Allah SWT akan menambahkan nikmatnya, tapi apabila kita mengkufurinya, maka akan berakhir dengan siksaan. Na`uzubillah.

Bersyukur telah pun dirumuskan oleh Al-Quran dan Sunnah, iaitu memanfaatkan nikmat Allah yang dianugerahkan itu sesuai dengan apa yang Allah mahukan dan perintahkan. Kemudian, untuk apakah Allah memberikan kekuasaan kepada kita? Tidak lain dan tidak bukan, supaya boleh menerapkan Islam dalam setiap aspek kehidupan, begitulah yang mesti kita fahami dan ketahui. Kisah kehidupan Nabi, sahabat, tabiin, tabiut tabiin memberitahu kita, bahawa tugas pemerintah adalah menerapkan hukum Allah dengan adil dan begitulah juga yang disepakati oleh ulama.

Maka inilah sikap yang wajar kita zahirkan terhadap kemenangan yang paling hakiki, iaitu menjadikannya perantara untuk melakukan ketaatan yang lebih banyak lagi dan yang lebih baik lagi. Inilah tugas yang paling berat, inilah pekerjaan yang paling banyak dan inilah tanggungan yang tiada waktu rehatnya. Dakwah supaya pemimpin Muslim kita menerapkan Islam di dalam kehidupan.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment