Hari Ini Hari Anda

Hari ini (05/05/2017) merupakan hari sebutan untuk permohonan penarikan balik Semakan Kehakiman yang saya (HTM) failkan terhadap empat Responden iaitu Mufti Selangor, Jawatankuasa Fatwa Selangor (JFS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap Fatwa Kedudukan Hizbut Tahrir.


Seperti biasa saya sampai ke mahkamah lebih kurang 10 minit awal dan seperti biasa juga beberapa orang SB sudah sedia menanti di depan pintu Dewan. Baguslah mereka mengikuti kes ini dan semoga mereka semakin nampak mana yang benar dan mana yang batil dengan taufiq daripada Allah.

Hakim telah menetapkan sebutan kes pada pukul 10 pagi, tetapi pukul 10.35 barulah hakim muncul setelah semua pihak kelihatan jenuh menunggu. Tidak ada kes lain pada hari ini kecuali kes kami sahaja.

Setelah kes dipanggil, saya mulakan ucapan dengan memohon menarik balik kes atas alasan permohonan saya untuk meminda Seksyen yang betul dalam Afidavit ditolak oleh hakim pada 21 April lepas. Jadi, tiada guna meneruskan kes dengan Seksyen yang salah. Kesilapan tersebut amat kecil sahaja dan tidak disengajakan, malah terjadi melalui Borang yang dibekalkan sendiri oleh mahkamah. Malangnya hakim tidak mahu menerima hakikat tersebut, lalu saya yang menanggung “padah”.

Tidak mengapa, Allah Maha Adil. Dari awal saya telah bertawakal dan menyerahkan urusan ini kepada Allah dan saya berusaha sebaik mungkin untuk menegakkan kebenaran. Apa jua qadha’ Allah, saya terima dengan redha. Jika hakim tidak berlaku adil, maka dia kena menjawab di hadapan Allah nanti, saya tidak perlu risau. Saya cuma perlu berusaha menurut kemampuan yang ada pada saya, dalam batas-batas hukum syarak. Selebihnya saya serahkan kepada Allah.

Sebaik sahaja saya selesai bercakap, peguam MAIS bangun dan bercakap sedikit lalu terus meminta kos sebanyak RM5000 atas penarikan balik permohonan saya. Begitu juga dengan peguam Mufti, JFS dan JAIS.

Saya kemudian meminta agar persoalan kos diputuskan kemudian kerana bagi saya kes belum tamat. Saya menarik balik permohonan dengan kebebasan untuk memfailkan semula, bukannya menarik terus kes ini. Inilah yang telah saya tekankan kepada hakim pada 21 April lepas dan saya tekankan sekali lagi hari ini. Jadi, saya memohon izin mahkamah untuk memfailkan semula kes dengan Seksyen yang betul, dan meneruskan kes.

Namun, persoalan tidak semudah yang saya sangka apabila peguam-peguam Responden mula membantah. Sejak awal mereka asyik membantah sahaja atas perkara-perkara teknikal dan prosedur, dan bukannya fokus untuk meneruskan perbicaraan mengenai fatwa fitnah (kes Semakan Kehakiman) tersebut. Nampak sangat pihak Responden tidak mahu kes fatwa fitnah ini dibicarakan, kerana mereka sudah ketandusan hujah, maka bantahan demi bantahan atas perkara teknikal dan prosedur dibangkitkan. Saya cuba tekankan kepada mahkamah akan hal ini tetapi dibantah pula oleh peguam mereka sebelum saya habis bercakap dan mahkamah menerima bantahan tersebut.

Diringkaskan cerita, mahkamah menerima permohonan penarikan balik saya, tetapi mengarahkan saya memfailkan permohonan untuk kebenaran memfailkan semula kes. Kemudian, mahkamah memutuskan agar saya membayar RM2000 kepada setiap Responden sebagai kos. Setelah itu hakim terus menutup kes.

Saya cuba bangun untuk merayu terhadap kos tersebut, kerana saya belum diberi peluang untuk berbuat demikian. Saya merasa tidak adil kerana saya tidak diberi peluang untuk merayu mengurangkan bayaran. Bagi saya, hakim sepatut memberi peluang kepada saya untuk merayu terlebih dahulu sebelum memutuskan tentang kos, apatah lagi pada awalnya saya telah meminta agar persoalan kos diputuskan kemudian kerana kes belum selesai dan saya akan failkan semula kes dengan Seksyen yang betul.

Namun, hakim sudah tidak mahu lagi mendengar hujah saya, lalu terus memberi salam dan terus bangun dari kerusinya menuju ke kamarnya.

Petang tadi terdapat laporan di Malaysiakini bertajuk “Hizbut Tahrir gagal semak semula fatwa ‘menyeleweng’”. Terdapat juga beberapa laporan di akhbar lain yang hampir sama. Ramai sahabat yang bertanya saya tentang laporan tersebut. Saya cuma katakan laporan itu tidak tepat dan mengelirukan. Tak apalah sebab tiada wartawan yang hadir tadi, jadi mereka mungkin memetik berita tersebut daripada pihak lain, yang menjadikannya tidak tepat.

Hizbut Tahrir bukan gagal semak semula, sebab perbicaraan mengenai kes Semakan Kehakiman sebenarnya belum bermula pun lagi. Saya (Hizbut Tahrir) yang menarik balik permohonan Semakan Kehakiman tersebut untuk memfailkannya semula, dan mahkamah telah membenarkan kes itu ditarik balik. Jadi bagaimana Hizbut Tahrir boleh dikatakan gagal?

Perbicaraan tentang Semakan Kehakiman belum bermula pun lagi kerana Responden-responden asyik membantah sahaja. Mereka memfailkan bantahan awal atas faktor teknikal dan prosedur yang pada hemah saya langsung tidak bermerit, dan mereka turut membantah permohonan saya untuk membetulkan Seksyen dalam Afidavit. Jadi, mahkamah terpaksa mendengar dan memutuskan bantahan-bantahan awal ini terlebih dahulu, sehingga menjadikan kes induk (kes Semakan Kehakiman) belum didengar sampai ke hari ini. Inilah kedudukannya. Jadi, Hizbut Tahrir bukannya gagal dalam kes Semakan, cumanya Responden-responden “menang” dalam bantahan mereka terhadap permohonan pembetulan Afidavit yang saya pohon. Dan setelah saya memohon untuk menarik balik kes, lalu mereka meminta kos dan mahkamah berikan sebanyak RM2000 seorang. Itu sahaja.

Apa pun, walaupun keputusan mahkamah setakat ini dilihat berpihak kepada Responden, hal ini tidak mengejutkan dan memang telah dijangkakan dari awal. Sebagaimana saya sebut, saya (Hizbut Tahrir) akan berusaha sebaik mungkin untuk menegakkan kebenaran berlandaskan hukum syarak, dan bukannya mencari kemenangan. Tiada guna kita menang jika kita sebenarnya berada di pihak yang salah. Tidak mengapa kita kalah di sisi manusia, asalkan kita adalah pihak yang benar di sisi Allah. Hari ini manusia yang mempunyai kuasa, pengaruh dan kekuatan boleh menang, namun hari esok keputusannya di tangan Allah, Dzat yang pasti akan memutuskan dengan seadil-adilnya. Saya yang kerdil ini akan terus berusaha dan berdoa kepadaNya.

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment