Khaulah Al-Azwar: Muslimah Pedang Allah

Oleh: Pn. Hidayah Muhammad (Ketua MHTM Cawangan Sandakan)

Muqaddimah

Kemenangan Islam adalah sesuatu yang nyata dan pasti, apatah lagi itu merupakan janji daripada Allah SWT Yang Maha Esa dan bisyarah (khabar gembira) daripada Rasulullah SAW. Firman Allah SWT,

“Allah SWT telah berjanji kepada orang-orang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum kamu berkuasa dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah Dia redai (Islam). Dan Dia benar-benar akan mengubah keadaan mereka setelah berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tidak mempersekutukan-Ku dengan sesuatu pun. Dan barangsiapa yang tetap kafir sesudah janji itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik” [TMQ an-Nur (24):55].

Sebagai Muslimah, adakah kita ingin turut serta dalam memperjuangkan agama Allah SWT? Sudah tentu jawapannya ya bagi Muslimah yang bertakwa kerana janji Allah SWT merupakan motivasi terkuat baginya dalam beramal. Tambahan pula, kisah tentang peranan Muslimah dalam memenangkan Islam telah menjadi tinta emas dalam sejarah Islam seperti peranan yang dimainkan oleh serikandi pilihan kita kali ini.

Muslimah Di Medan Perang

Muslimah yang layak dijadikan teladan pada kali ini ialah seorang sahabiyah yang hidup pada zaman sahabat iaitu Khaulah al-Azwar al-Kindi RA. Seperti Khalid al-Walid yang digelar pedang Allah, Khaulah juga digelar sebagai pedang Allah dan ada juga yang menggelarkannya sebagai wanita besi kerana keberanian serta kekuatan jiwa dan fizikalnya dalam berjuang untuk Islam khususnya di medan jihad.

Khaulah al-Azwar lahir pada abad ke-7 Masihi dan merupakan anak kepada salah seorang daripada Bani Asad. Nama bapanya Malik atau Tariq bin Aus yang juga dikenali sebagai al-Azwar dan Khaulah merupakan saudara perempuan kepada Dhirar bin al-Azwar iaitu salah seorang penunggang kuda yang terkenal dalam kalangan bangsa Arab.

Beliau lahir dan dibesarkan dalam keluarga yang memang mahir dalam perang, maka tidak hairanlah sejak kecil lagi beliau sudah mahir bermain pedang, tombak dan berkuda. Kehandalannya bermain pedang dan berkuda ini diwarisi daripada ayahnya yang mempunyai kemahiran dan teknik berperang yang tinggi. Al-Azwar terbunuh ketika mempertahankan Rasulullah SAW.

Sifat keberanian Khaulah telah tercatat dalam beberapa siri peperangan antara tentera kaum Muslimin menentang kaum kuffar seperti Perang Yarmuk dan ketika menyelamatkan saudaranya, Dhirar yang ditawan oleh tentera Rom.

Dalam perang Yarmuk, beliau menjadi salah seorang tentera yang menonjol dan memimpin tentera dalam kalangan wanita. Berbekalkan keberanian dan kekuatan jiwanya, beliau mampu mengharungi perang tersebut sehingga selesai walaupun mengalami kecederaan di bahagian kepala. Dalam Misi membebaskan saudaranya, Dhirar yang telah menjadi tawanan tentera Rom semasa pentempuran di sekitar Damaskus, beliau mengenakan pakaian hitam dan bertopengkan skarfnya meluncur laju dengan kudanya bersama-sama menyertai pasukan bantuan Khalid bin Al-Walid.

Rafik bin Umairah, panglima tentera yang memimpin pasukan Islam sebelum kedatangan panglima Khalid bin Al-Walid sangat terkesan dengan keberanian dan kehandalan Khaulah dalam membantu tentera Muslimin yang pada ketika itu sudah berasa letih dalam pertempuran. Rafik mengatakan, “Beliau berlawan seperti Khalid, namun jelas beliau bukan Khalid” yang menunjukkan ketakjubannya terhadap Khaulah, seorang Muslimah yang gagah di medan perang bersama kuda tunggangannya dan bersenjatakan tombak di tangan sehingga mampu bertarung secara bersendirian, mencederakan dan membunuh tentera Rom yang lain.

Kehandalan yang terserlah akhirnya mampu membangkitkan semangat tentera kaum Muslimin yang melihatnya untuk terus berjuang dalam medan perang. Sebelum kembali dengan kemenangan dalam misi membebaskan saudaranya Dhirar, beliau pun memperlihatkan wajahnya yang tertutup dengan skarfnya yang membuatkan kaum Muslimin yang melihatnya terkejut. Malah, tercatat dalam sejarah, hampir sahaja Khalid bin Al-Walid terjatuh daripada kuda yang dinaikinya apabila Khaulah menunjukkan identiti sebenarnya.

Di samping itu, Khaulah juga terlibat dalam Perang Sahura. Dalam perang ini, beliau dan beberapa orang wanita telah menjadi tawanan tentera musuh. Mereka telah dikurung dan dikawal rapi oleh musuh tanpa senjata dalam beberapa hari lamanya. Walaupun sebagai seorang wanita yang memiliki keterbatasan, itu tidak menjadi penghalang baginya untuk melakukan ikhtiar dalam rangka untuk membebaskan diri. Beliau berusaha untuk memberi dan membakar semangat tawanan wanita yang lain untuk terus mencari jalan keluar daripada cengkaman musuh. Akhirnya mereka semua sepakat untuk berlawan walau terpaksa berkorban jiwa semata-mata untuk mencari syahid atau bebas daripada tawanan musuh. Dengan rancangan dan strategi yang diatur oleh Khaulah serta pertolongan daripada Allah SWT, akhirnya mereka semua selamat dan bebas.

Khatimah

Begitulah secara ringkas kisah Khaulah, seorang Muslimah yang terserlah kewanitaannya, namun gagah dalam perang mempertahankan agama. Semoga para Muslimah dapat mengambil ibrah daripada perjalanan hidup Khaulah al-Azwar bahawa sifat seorang wanita yang berperanan sebagai ibu dan pengurus rumahtangga bukanlah alasan untuk hanya berdiam diri dan tidak mengambil peranan penting dalam melakukan pembelaan terhadap agama.

Bermotivasikan kisah serikandi teladan inilah, maka para Muslimah harus segera mengambil peranan penting, berani dan gagah untuk berusaha memenangkan Islam. Bahkan, jikalau perlukan pengorbanan, raihlah peluang ini demi mengharap reda daripadaNya. Jika Khaulah sanggup mengorbankan jiwa untuk agama, apa yang kita ada untuk turut dikorbankan bersama?
Wallahhu ‘alam..

Rujukan:
Terjemahan al-Quran
https://wwwgoogle.com/amp/m.republika.co.id/amp_version/lzsbyj
http://www.kiblatmuslimah.com/2016/11/14/khaulah-binti-al-azwar-sang-bidadari-besi/
http://en.wikipedia.org/wiki/Khawlah_bint_al-azwar
http://fakir-insani.blogspot.my/2009/04/kisah-seorang-muslimat-khaulah-al-azwar.html?m=1
http://srikandiukm.blogspot.my/2011/01/srikandi-islam-khaulah-al-azwar-html




SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment