Tidak Berharganya Hak-Hak dan Nyawa Kaum Muslim Moro di bawah Pemerintahan Undang-Undang Tentera Duterte di Mindanao


Berita:

Para peguam di Lanao del Sur Filipina meluahkan kemarahan mereka yang teramat atas dakwaan pelanggaran undang-undang oleh tentera di Kota Marawi, Mindanao - sebuah kota dengan penduduk majoriti Muslim dan didiami oleh sekitar 200 000 orang. Presiden Filipina Rodrigo Duterte mengumumkan pemerintahan undang-undang darurat tentera di wilayah tersebut sehari setelah pengepungan Marawi yang didakwa sebagai ISIS. "IBP (The Integrated Bar of the Philippines) Cawangan Lanao del Sur dengan ini menyatakan kemarahan dan kritikan keras ke atas penggeledahan dan penyitaan secara haram di Kota Marawi oleh pihak tentera, polis, dan ejen-ejen penguatkuasaan undang-undang yang telah mengakibatkan kerugian dan kehilangan harta benda dan harta milik orang awam yang tidak bersalah.” Kata mereka seperti yang dilaporkan oleh Rappler pada 10 Jun.

Mereka mengatakan bahawa pihak tentera dan polis Filipina telah melakukan "pengabaian sewenang-wenangnya terhadap domisil yang suci, hak menentang perampasan harta benda tanpa proses perundangan yang adil, hak untuk mendapatkan rasa selamat terhadap diri sendiri, rumah, dan dokumennya, serta kesan terhadap penggeledahan dan penyitaan yang tidak masuk akal, dan privasi komunikasi dan penulisan oleh orang awam yang tidak berdosa." Para peguam tersebut mengatakan bahawa dakwaan mereka didasarkan kepada "data dan maklumat secara langsung dari medan perang" yang telah mereka kumpulkan sejak pemerintahan undang-undang tentera diterapkan, 23 Mei.

Wartawan Al Jazeera Jamela Alindogan mengesahkan bahawa penduduk yang awalnya melarikan diri dan ingin kembali ke kota telah dihentikan oleh pihak tentera. "Pemerintahan undang-undang tentera sedang dilaksanakan di sini dan di seluruh pulau Mindanao. Sesiapa pun tertakluk kepada siasatan, termasuklah kanak-kanak," kata Alindogan.

Komentar:

Pemerintahan undang-undang tentera Duterte jelas merupakan sebahagian daripada ketundukannya terhadap agenda AS melawan ISIS dan juga mencerminkan sikap tidak bermoralnya terhadap kaum Muslim, terhadap nilai-nilai kemanusiaan termasuklah terhadap kaum Muslimah. Dia memberikan carte blanche (mandat kosong, atau kekuasaan penuh) kepada pasukannya untuk melakukan kejahatan yang paling keji dan dia akan bertanggungjawab jika tenteranya melanggar hak-hak warganegara di Mindanao, termasuk melakukan pemerkosaan. "Jika anda memperkosa tiga (perempuan), saya akan menjadi orang yang akan mengakui bahawa itu adalah (perbuatan) saya," kata Duterte. Inilah epitomi peradaban Barat di mana orang-orang jahat bertanggungjawab atas urusan masyarakat.

Jika kita melihat konteks yang lebih luas, umat Islam selalu menjadi mangsa, dan dianggap tidak bernilai dalam hampir semua projek melawan keganasan (counter-terrorism) secara global. Peperangan yang dikobarkan oleh Barat ini telah membunuh empat juta kaum Muslim sejak tahun 1990. Kajian oleh Landmark membuktikan bahawa 'perang melawan keganasan’ di bawah pimpinan AS ini telah membunuh sebanyak 2 juta orang, namun ini hanyalah sebahagian kecil dari tanggungjawab Barat atas banyaknya kematian di Iraq dan Afghanistan selama dua dekad terakhir. Kaum Muslim selalu menjadi mangsa yang dianggap remeh atas nama "perang melawan keganasan". Mengapa kehidupan umat Muhammad begitu tidak berharga di era yang moden ini? Sedangkan Nabi kita (saw) yang mulia bersabda:

‎«لَزَوَالُ الدُّنْيَا أَهْوَنُ عِنْدَ اللهِ مِنْ قَتْلِ رَجُلٍ مُسْلِمٍ»

“Hancurnya dunia lebih ringan di sisi Allah dibandingkan terbunuhnya seorang muslim” [HR An Nasa’i].

Tidak ada bezanya dengan saudara dan saudari kita di Kota Marawi, yang dikenali sebagai Muslim Moro. Sebagaimana negara-negara berpenduduk majoriti non-Muslim lainnya di mana diskriminasi terhadap kaum minoriti Muslim sangat kuat, Muslim Moro di selatan Filipina juga tidak terkecuali. Jika dibandingkan dengan warganegara non-Muslim, kebanyakan kaum Muslim yang tinggal di Pulau Mindanao telah jauh ketinggalan dalam kehidupan mereka. Hal ini kerana pemerintah Filipina menganggap mereka sebagai pemberontak. Padahal kawasan ini merupakan daerah yang paling subur dan kaya dengan sumber alam di Filipina. Namun fakta menunjukkan, kawasan ini telah menjadi daerah termiskin di negara ini tanpa mengalami pembangunan, setelah konflik yang bermula empat dekad lalu. Pemerintah Filipina telah melarang umat Islam untuk memerintah di wilayah mereka sendiri dan mengendalikan kekayaan mereka.

Saat ini di bawah kepemimpinan Duterte, rejim Filipina menjadi semakin represif terhadap kaum Muslimin dengan mengatasnamakan agenda melawan keganasan. Selama puluhan tahun, mereka telah menjadi mangsa yang lemah kepada para penguasa kafir yang ibarat predator yang dibiarkan wujud oleh sistem dunia yang mendiskriminasikan kaum Muslimin. Selama sistem dunia masih seperti sekarang ini, tidak diragukan lagi penderitaan umat Muhammad di seluruh dunia Islam tidak akan pernah berakhir. Hal ini kerana akar permasalahan penderitaan ini tidak lain adalah ketiadaan Khilafah yang merupakan perisai bagi umat Islam yang akan menghilangkan hegemoni kafir atas kaum Muslimin dan melindungi kehormatan para Muslimah dan anak-anak Muslim di seluruh dunia Islam. Ingatlah kata-kata Nabi (saw):

إِنَّمَا الإِمَامُ جُنَّةٌ يُقَاتَلُ مِنْ وَرَائِهِ وَيُتَّقَى بِهِ

”Sesungguhnya al-imam (khalifah) itu perisai, di mana (orang-orang) akan berperang di belakangnya (mendukung) dan berlindung (dari musuh) dengan (kekuasaan) nya” [HR Muslim].

Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir oleh
Fika Komara
Ahli Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment